Info & Tips

Knowledge of the World

  • nuffnang_bid = "50801bc826867ddc07b0abad04f947ff";
  • Iklan Berbayar

    Sebulan hanya RM10.00. Jika berminat sila e-mail kepada kami di bussinternet@gmail.com

  • PERCUMA!!!

Archive for the ‘Bercakap Dengan Jin’ Category

17.Bertarung dengan bomoh orang asli

Posted by putera2info on October 27, 2009

Dan Wansi segera bangun. Datuk juga begitu. Dalam beberapa saat saja lelaki itu hilang dari penglihatan datuk dan Wansi. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan Latifah yang cukup keras dan nyaring. Datuk dan Wansi segera masuk ke dalam bilik Latifah.Latifah Berguling-guling atas lantai, kedua belah tangannya memegang batang leher. Matanya kelihatan merah. Haji Azhar dan isterinya tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada menangis. Wansi segera memegang pergelangan kaki kiri Latifah. Ditekannya dengan sekuat hati atas lantai. Jeritan Latifah berhenti dan tidak lagi berguling-guling atau meronta-ronta. Wansi menyuruh Haji Azhar mengangkat anaknya ke atas tilam. Datuk rapat kepada Wansi dan mendengar dengan tiliti apa yang dicakapkan oleh Wansi padanya. Dtuk keluar dari bilik untuk beberapa minit. Masuk kembali dengan kain hitam terselipang di bahu. Wansi menyambar kain hitam itu lalu melibas ke badan Latifah tiga kali berturut-turut.

Datuk duduk di hujung kepala Latifah. Dia membaca sesuatu. Tiga kali dahi Latifah ditamparnya dengan belakang tangan. Latifah bangun dan terus duduk.

“Apa yang kau nampak nak?” tanya Wansi.

“Orang hitam mengajak saya keluar,” sura Latifah merendah.

“Lagi apa yang dibuatnya pada kau,” sanggah datuk.

“Dia lari dengan tiba-tiba,” jawab Latifah tenang.

Wansi terdiam seketika. Dia meminta pencil dan kertas. Bila kertas dan pencil sudah ada di tangannya. Dia menulis sepotong ayat al-Quran. Kertas yang sudah ditulinya itu diserahkan pada Haji Azhar.

“Bacalah ayat ini, ke telinga Latifah bil di agak resah. Dan kau harus mengamalkannya,” ujar Wansi.

“Caranya?” tanya Haji Azhar.

“Baca seratus kali selepas kau sembahyang yang lima waktu, bila dia sebati dengan dirimu, banyak faedahnya. Untuk menghalau hantu syaitan.” Cukup lebut nada suara Wansi. Serentak dengan itu dia menyerahkan sebatang besi pendek yang berbentuk tulang. Menurut Wansi besi itu adalah besi tulang lengan mawas.

“Besi ni saya tinggalkan pada awak untuk tiga minggu, lepas tu saya ambil balik,” tambah Wansi. Besi tulang mawas bertukar tangan dari Wansi ke tangan Haji Azhar.

“Untuk apa?”

“Untuk mengubat penyakit anak kau,” sahut datuk.

“Kalau dalam tempoh tiga minggu, anak saya tak baik macam mana?”

“Dengan pertolongan Allah anak kau akan baik. Percayalah, dengan syarat selama tiga minggu, jangan beri sesiapa menemui Latifah, kecuali kau dan emaknya,” Wansi memberikan sebuah keyakinan dan harapan pada Haji Azhar.

Haji Azhar tersenyum. Sebelum meninggalkan bilik Latifah Wansi berpesan pada Haji Azhar supaya mengunci bilik dari dalam. Dan jangan memperhiraukan dengan apa yang berlaku di luar. Haji Azhar angguk kepala.

Rumah Haji Azhar cukup besar. Ada lapan bilik di dalamnya. Jarak bilik Latifah dengan anjung rumah memang agak jauh juga jaraknya. Pada mulanya Haji Azhar menawarkan dua bilik penginapan untuk kami, tetapi datuk dan Wansi menolak dengan alasan tidur di anjung lebih baik. Tidak panas serta mudah menjalankan kerja-kerja untuk mengubati Latifah.

Saya resah tidak menentu. Dua tiga kali saya memejamkan mata. Saya tidak juga mahu tidur. Lampu gaslin sudah lama dipadamkan. Digantikan dengan lampu minyak tanah sengaja dipendekkan oleh datuk. Cahayanya sekadar cukup menerangi wajah datuk dan Wansi, tetapi lingkaran cahaya lampu itu sampai juga ke muka saya, agaknya kerana itulah saya tidak dapat tidur.

Saya merenung ke arah datuk dan Wansi. Mereka sedang membalut rokok daun sambil bercakap sesuatu. Saya mula terdengar kokok ayam bertalu-talu, saya kira sudah hampir pukul dua malam. Dugaan saya tepat sekali. Tidak lama lepas itu, terdengar bunyi jam loceng Haji Azhar berbunyi dua kali berturut-turut.

Angin malam yang bertiup menambahkan rasa dingin di badan. Saya terpaksa membengkokkan badan, seperti angka lima. Sayup-sayup saya terdengar suara burung hantu dan suara anjing menyalak panjang. Datuk dan Wansi masih juga belum tidur.

Tiba-tiba, datuk dan Wansi melompat dan lampu padam. Bila datuk menyalakan lampu minyak tanah kembali terdapat batang pisang berkembar dua terletak atas lantai di anjung rumah. Batang pisang itu seolah-olah baru lepas digunakan untuk memandikan mayat. Bila datuk mahu menjamah batang pisang tersebut, cepat-cepat Wansi menyepak tangan datuk.

“Jangan dipegang,” kata Wansi.

Saya mengeletar sendirian. Dua kali saya cuba bangun, tetapi saya terjatuh dengan sendiri hingga kain yang saya pakai terlucut dari pinggang. Saya bogel dalam sinar samar-samar cahaya lampu minyak tanah. Wansi yang terpandangkan saya turut tersenyum.

“Kau pergi ke sana,” katanya pada saya, sambil merungut kerana datuk membawa saya. Tanpa banyak bicara saya akur dengan perintahnya. Saya bersandar pada tiang rumah. Saya lihat dari batang pisang itu keluar asap berkepul-kepul. Dua tiga ekor kelawar hitam berterbangan dengan bebasnya di anjung ruamh, kelawar hitam itu akan kencing, airnya merah macam darah.

Di luar anjung, kedengaran bunyi deru angin yang cukup kuat. Saya lihat ada bayang putih memanjang melayang di halaman rumah. Darah saya tersirap. Benda putih itu masuk ke dalam kawasan anjung dan hilang betul-betul di tengah-tengan batang pisang. Suasana di luar rumah agak gamat juga dengan bunyi suara kokok ayam, salakkan anjing dan suara jampuk bersahut-sahutan. Kelawar yang hinggap di bahagian anjung rumah terus bersuara, cukup seram, giginya yang putih berkilat itu nampak tajam di samping memperlihatkan taringnya.

Saya jadi tidak tentu arah. Berdiri salah, duduk pun salah. Apakah syaitan-syaitan ini akan meragut nyawa saya. Timbul pertanyaan dalam diri. Dalam keadaan yang serba gawat itu, saya masih dapat membaca beberapa potong ayat al-Quran yang saya kira dapat menghalau syaitan-syaitan itu. Datuk dan Wansi kelihatan tenang memandang batang pisang yang berasap itu.
Wansi berdiri lalu mengangkat sebelah tangannya ke atas. Lengan tangan kanan yang diangkatnya itu dirapatkan pada lubang telinga kanannya. Sementara tangan kirinya diletakkan atas dada, kaki kanannya, menapak dua tapak ke depan. Manakala kaki kirinya dibengkokkan sedikit.

Wansi menjerit sekuat hati. Bila jeritannya berakhir. Dia bercakap dalam loghat bahasa Bawean, selesai dia bercakap, beberapa ketul batu dan kayu berterbangan masuk ke dalam anjung ruamh. Wansi sedikitpun tidak bergerak. Bunyi suara kucing hutan melalak di bawah rumah. Beberapa ekor tupai hitam, entah dari mana datangnya berlompatan di lantai. Semuanya melompat ke tanah. Sebaik saja tupai-tupai itu ghaib, seekor beruk besar muncuk di depan datuk dan Wansi.

Kali ini datuk mara ke depan dan menolak Wansi ke belakang. Saya agak, tentulah datuk tahu, bahawa kawannya itu tidak berdaya menentang cubaan syaitan-syaitan itu. Datuk berpeluk tubuh. Dia membaca mentera hingga tubuhnya kelihatan berasap. Batang pisang di tengah anjung bagaikan diangkat orang, bergerak sendiri menuju ke muka pintu dan hilang dalam gelap.
Tempat batang pisang itu digantikan dengan api yang menyala ganas. Bahang panas itu terasa ke muka saya. Wansi mengambil uncang hitam lalu memukul ke arah api. Api itu mula runduk. Wansi memukul lagi hingga api itu bertukar mejadi bara sebesar bola pingpong. Bara itu terbang. Berlegar-legar dalam rumah akhirnya keluar menuju ke pondok tempat saya dan datuk serta Wansi beranung dulu. Pondok itu terbakar.

“Orang ni benar-benar mahu memalukan keluarga Haji Azhar dan mahu membinasakan kita,” kata Wansi sambil melurut langan kirinya dengan tapak tangan kanan. Dalam beberapa saat saja pondok itu hancur menjadi abu. Bara api sebesar bola pingpong menuju ke arah kepala Wansi. Cepat-cepat Wansi mengelakkan diri. Sementara itu , datuk masih berusaha untuk menghalau syaitan-syaitan ganas itu mengikut kemampuan yang terdaya olehnya.

Bara api sebesar bola pingpong terus berlegar-legar dalam ruang anjung. Wansi mula bertindak, saya lihat mukanya berubah. Mulutnya terus bercakap dalam bahasa Bawean. Wansi membalut tangan kanannya dengan uncang hitam, kemudian bola bara api itu dipegangnya sekuat hati. Saya lihat tapak tangannya berasap. Saya kira dalam hal ini Wansi lebih gagah dan banyak ilmu dunianya jika dibandingkan dengan kehandalan yang terdapat dalam diri datuk.

Datuk tersandar di dinding. Mukanya kelihatan biru. Dua kali datuk terbatuk dan mengeluarkan darah yang cukup kental. Saya urut belakang datuk. Wansi meletakkan bola api yang sudah menjadi seketul arang itu di tengah anjung rumah. Dia rapat pada datuk. Dua kali dia menumbuk belakang datuk.

Datuk terbatuk,dari mulut datuk keluar segumpal cacing tanah dan ulat bulu. Cacing dan ulat bulu itu bergerak atas lantai. Wansi memukulkan uncangnya ke muka datuk. Datuk segera pulih. Wansi kembali ke tempat arang yang diletaknya. Arang itu masih berasap. Bila asapnya hilang saya lihat ada kepala manusia terletak di situ, Berlilit dengan kain. Matanya terkedip-kedip merenung ke muka datuk, bagaikan minta pertolongan.

“Saya kenal dia Wansi,” kata datuk.

“Siapa manusia ni?”

“Bomoh orang asli, dari batu enam belas, saya pernah bertemu dengannya dua kali,” terang datuk dengan jujur. Wansi tersenyum. Wansi duduk bersila di depan kepala manusia yang seoah-olah melekap pada papan lantai itu.

“Kenapa kau buat jahat dengan orang?” tanya Wansi.

“Saya dapat upah encik,” jawab kepala itu dalam gaya bahasa orang asli bercakap Melayu. Matanya terkelip-kelip macam katak puru kena sembur air. Wansi atau datuk. Biarkan mereka dengan tugas mereka. Saya cuma mahu melihat peristiwa ini sebagai bahan kenangan atau sejarah yang tersimpan dalam diri saya. Itu saja tekad saya.

“Siapa yang mengupah kau?” datuk menyoal.

“Orang kampung ini juga.”

“Siapa namanya.”

“Tak boleh cakap encik, itu sumpah saya,”

“Awak tahu, kerja awak ni menyusahkan saya dan orang lain,” kian keras nada suara Wansi. Datuk mula resah. Dia berpusing-pusing dua tiga kali di depan kepala yang terlekap di lantai.

“Tak tahu encik, dia datang minta tolong, katanya orang itu meludah mukanya waktu dia usik-usik untuk ajak kahwin, orang itu maki dia, jadi saya ingat perbuatan orang itu tak baik menghina sesama manusia kerana itu saya tolong dia.” Bagaikan mahu berbuih mulut orang itu bercakap, cukup siksa.

Datuk dan Wansi berbisik. Kepala yang terlekap di lantai kelihatan bergerak-gerak. Mukanya berpeluh-peluh. Dua tiga helai rambunya gugur. Suasanan malam yang tadi agak gawat sekarang sudah cukup tenang.

“Awak mesti bercakap betul dengan saya, kalau tidak saya botakkan kepala awak di sini,” Wansi mula mengugut. Datuk mengigit bibir.

“Jangan buat jahat dengan orang encik.”

“Saya tak buat jahat, awak yang mulakan dulu.”

“Saya mengaku, saya dah kalah, encik kuat. Apa yang encik mahu sekarang?”

“Jangan kacau orang di baruh, nanti orang di darat susah, siapa orang di baruh yang upah awak?”

“Baiklah encik, kalau saya cakapkan, encik mesti berjanji dengan saya tidak balas dendam.”

“Kami tak mahu balas dendam, kami cuma mahu tahu saja.”

“Orang itu akan datang sendiri berjumpa encik minta maaf, saya akan suruh dia jumpa encik,”

“Bila?” potong datuk dengan cepat.

“Dua hari lagi.”

Selesai saja orang itu bercakap. Wansi pun memukul kepala orang itu dengan uncang yang dibuat dari kain hitam. Kepala orang itu pun hilang. Jam milik Haji Azhar berbunyi empat kali berturut-turut. Dingin subuh mula meresap ke batang tubuh saya. Dalam kedingannan yang menggigit tulang itu saya terlelap . Bila saya membuka kelopak mata, matahari pagi sudah pun memancarkan sinarnya di halaman rumah. Murai dan merbah sudahpun berhenti berkicau.

Datuk dan Wansi duduk bersila panggung sambil menghisap daun rokok nipah. Mereka merenung ke arah pondok yang tertegun gagah di bawah kelopak matahari pagi. Kepala saya terasa pening kerana malam tadi saya menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri pondok itu musnah dijilat api. Apakah saya bermimpi atau ditipu oleh perasaan takut yang menguasai diri saya. Timbul berbagai pertanyaan dalam hati kecil saya.

“Kenapa pondok ini tidak hancur tok, malam tadi saya lihat terbakar,” itulah pertanyaan pertama pagi itu, saya ajukan pada datuk. Datuk merenung muka saya sambil tersenyum.

“Memang terbakar, tetapi dibakar oleh syaitan,” balas datuk.

Saya terdiam. Memanglah perkara ini tidak masuk di akal. Kalau diceritakan pada sesiapapun tidak ada orang yang percaya sedangkan pada kenyataannya saya melihat kejadian-kejadian itu sendiri.

Bila datuk melihat daya termenung panjang, dia pun menghampiri saya. Dan menyatakan apa yang saya lihat iut, bukanlah satu perkara yang aneh. Semuanya terjadi atas kemahuan Allah yang maha besar.

“Allah itu maha pemurah dan penyayang.”

“Jadi,” tingkah saya.

“Dia akan memperkenankan apa juga yang diminta oleh mahkluknya sama ada jahat atau baik.”

“Kalau minta jahat bagaimana?”

“Dipenuhinya dan tanggunglah akibat dari permintaan itu. Sebagai manusia kita diberikan fikiran untuk meminta sesuatu yang baik atau jahat.”

Saya pun angguk kepala mendengar cakap datuk itu. dalam masa yang sama Haji Azhar minta datuk dan Wansi duduk sebulan di tempatnya.

“Minta maaf, saya banyak urusan. Saya boleh tunggu hingga hari Jumaat kerana ada orang yang akan datang ke sini?” Saya lihat wajah Wansi cukup tenang.

“Siapa?” soal Haji Azhar.

“Nantilah saya beritahu kemudian, lagi pun saya mesti balik cepat kerana saya belum lagi membuat persiapan untuk…’” suara Wansi terhenti. Dia merenung keluar pada pepohon rambutan dan langsat yang disentuh angin pagi. Matahari terus bersinar garang.

“Nak ke mana selepas mengubat anak saya ni?”

“Saya nak berangkat ke Tanah Suci,” jawapan Wansi itu amat mengejutkan hati datuk. Memang sebelum ini, Wansi tidak pernah menceritakan hal itu padanya. Saya merasa amat kagum dengan datuk dan Wansi yang tidak mahu menceritakan apa yang di alaminya malam tadi pada Haji Azhar. Meskipun Haji Azhar bertanya beberapa kali. Seolah-olah mereka sepakat merahsiakan perkara itu.

Bagi menanti hari Jumaat yang ditunggu, saya dan datuk serta Wansi ke Cangkat Banjar dan Cangkat Melintang mencari akar-akar kayu dan pucuk-pucuk hutan. Akar-akar kayu yang dipilih itu dijadikan minuman menggantikan kopi, sementara pucuk-pucuk kayu dijadikan air pembasuh muka selepas menunaikan sembahyang subuh.

Menurut Wansi akar-akar kayu itu berguna bagi mencegah sakit buah pinggang, darah tinggi. Pucuk-pucuk hutan pula berkesan bagi perjalanan darah di samping mengkalkan wajah supaya kelihatan muda dan merah.

Memang sudah menjadi amalan dalam hidup datuk selepas menunaikan sembahyang subuh, dia akan membaca Quran. Begitu juga dengan Wansi. Saya disuruh oleh datuk membaca surah Yassin. Kelam-kabut juga saya dibuatnya oleh datuk. Bagamana tidak menggelabah bila datuk menyuruh saya membaca surah Yassin tanpa naskah Yassin Bila melihat saya dalam keadaan cemas begitu. Wansi memberikan naskah Yassin pada saya.

“Kau mesti ikut macam datuk kau, boleh baca Yassin tanpa buku,” ujar Wansi.

“Dah diajar, tapi cucu saya ni keras kepala sikit,” tingkah datuk. Disambut dengan ketawa yang memanjang dari Wansi.

Ketika matahari mula bersinar. Dari muka jalan masuk ke rumah Haji Azhar, kelihatan seorang pemuda berbadan tegap mendatangi ke arah datuk dan Wansi. Sebaik saja sampai di kaki tangga pemuda itu memberi salam. Wansi mempersilakannya naik.

“Jangan mengapakan saya, malam tadi saya tak boleh tidur, badan saya macam tebakar hangat sampai ke pagi,” terus terang pemuda berkulit hitam manis, berhidung mancung, rambut ikal itu meluah kan rahsia dirinya. Wansi dan datuk berpandangan.

“Badan saya masih terasa dingin, walaupun matahari bersinar terang, kabus nipis kelihatan keluar dari bumi di antara pepohon manggis dan langsat. Suasanan di Kampung Belanja kiri pagi itu terasa cukup tenteram dengan kicau burung. Melompat dari dahan ke dahan.

“Apa sebabnya awak datang ke sini?” datuk bersuara parau.

“Sayalah yang mengupah bomoh orang asli memasukkan kain batik ke dalam perut anak Haji Azhar,” sambung pemuda itu sambil merenung lantai. Wansi memperkemaskan silanya.

“Kau harus tahu membuat atau menganiaya sesama manusia satu dosa besar. Allah tidak dapat mengampunkannya sekiranya orang yang kena aniaya itu tidak memaafkannya,” terang Wansi.

“Saya tahu, saya bertaubat tuan, saya melakukannya kerana mengikut nafsu.” Sebaik saja pemuda itu selesai bercakap. Haji Azhar dipanggil oleh Wansi. Haji Azhar pun segera datang. Duduk bersila di antara datuk dan Wansi.

“Inilah orang yang saya tunggu,” kata Wansi pada Haji Azhar. Bila mata haji Azhar terbeliak. Dia kenal benar dengan pemuda itu, pernah berkerja dengannya sebagai pemandu bot penambang dari Belanja Kiri ke Pekan Parit, di seberang tebing Sungai Perak, Haji Azhar tahu pemuda itu boleh bergerak bebas dalam kawasan rumahnya. Orangnya pendiam dan bersopan-santun.

“Apa, dia keluarga awak?” Satu pertanyaan keluar dari mulut Haji Azhar.

“Tidak tuan Haji,” pendek jawab Wansi.

“Habis kenapa dia jumpa awak.”

“Usah tanya tentang hal itu, kalau awak sayangkan anak awak, jangan rosakkan budak ni, jangan dipukul atau membalas dendam.”

“Saya tak faham.”

“Saya boleh beri awak faham, tapi awak jangan membalas dendam kerana perbuatan itu ditegah oleh agama kita yang suci, kalau awak boleh memenuhi syarat ni, awak akan bahagia hidupnya dan pemuda ini akan tenteram jiwanya.”

“Saya berjanji,” satu keputusan tegas dari Haji Azhar.

Datuk serta Wansi berdiri. Pemuda dan Haji Azhar duduk berhadapan sambil bersalaman, waktu salam keduanya belum terbuka. Datuk membaca ikrar yang bermaksud, bahawa Haji Azhar tidak akan membalas dendam dan pemuda itu akan bertaubat. Selasai saja ikrar itu dibuat, barulah Wansi menceritakan apa yang dilakukan oleh pemuda itu terhadap anaknya. Badan Haji Azhar saya lihat menggigil menahan marah.

Bila semua urusan selesai. Pada sebelah malamnya diadakan kenduri doa selamat. Dan pada keesokan harinya kami bertiga pun berangakat meninggalkan Kampung Belanja Kiri. Dua bulan lepas itu, saya dijemput oleh Haji Azhar datang ke rumahnya lagi sekali, untuk menyaksikan Latifah bersanding dengan pemuda yang dipilih oleh Haji Azhar.

Dengan pemuda pilihan bapanya itu, Latifah memperolehi dua orang anak. Sekarang Latifah menetap di Kulai, Johor. Menurut cerita yang terbaru saya dengar, anak sulung Latifah sudah melahirkan dua orang anak. Haji Azhar meninggal dunia dalam tahun 1980 di Belanja Kiri kerana sakit tua, isterinya masih lagi hidup dan tinggal bersama Latifah.

Pemuda yang mengupah bomoh siam itu meninggalkan kampung, Belanja Kiri, sesudah meminta ampun dan maaf pada Haji Azhar. Walaupun perkahwinan Latifah pada hari itu cukup meriah tetapi datuk tetap berwajah suram, kerana Wansi yang banyak berjasa pada keluarga Haji Azhar tidak dapat datang. Dia meninggal dunia di Tanah Suci.

Dua hari selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Haji Azhar itu, saya dengan datuk pergi ke Cangkat Pinggang dekat Kampar kerana urusan membeli tanah dusun. Dua malam tidur di rumah ketua Kampung Cangkat Pinggan. Lepas itu kami bertolak ke Tapah. Di Tapah datuk menginap dua hari di rumah kawannya di Lubuk Katak kira-kira suku batu dari Pekan Tapah.

Pada keesokan harinya saya dengan datuk bertolak dari Pekan Tapah menuju ke Cameran Highlands. Sampai di Batu enam belas datuk memetik loceng bas. Kami turun di situ. Dari gigi jalan kami memasuki satu lorong yang kiri kanannya di tumbuhi pokok-pokok hutan. Di hujung lorong itu terdapat sebuah perkampungan orang asli.

Tidak jauh dari kampung ornag asli pada masa itu, terdapat berberapa buah bangunan pekerja-pekerja yang terlibat dengan pembinaan projek haidro elektrik. Kebanyakan pekerjanya terdiri daripada pemuda-pemuda Melayu terutama di bahagian buruh kasar seperti menebuk terowong dan meratakan batu. Pergerakkan pekerja-pekerja itu dapat dilihat dengan mudah dari perkampungan orang asli yang terletak di kawasan tanah yang tinggi. Sekarang projek itu sudah siap.

Kedatangan saya disambut dengan baik oleh bomoh orang asli yang berwajah agak garang itu. Namanya Bah Lanjut. Dia mempersilakan saya dan datuk duduk di anjung rumahnya. Apa yang mendatangkan rasa kurang senang dalam diri saya, bila melihat anjing kepunyaannya berkeliaran dalam rumah. Hati saya agak terhibur kerana dari radionya terdengar suara Saloma mendendangkan lagu Mengapa Dirindu yang menjadi lagu top ketika itu.

Kerana mahu menghormati datuk dan saya yang diketahuinya tidak berapa senang dengan keadaan rumahnya, lalu dia menempatkan kami di sebuah pondok yang keadaannya cukup bersih. Siap dengan tempat tidur dan tikar sembahyang. Menurut Bah Lanjut, pondok itu memang dikhaskan untuk orang Melayu dan Islam bermalam bila meminta ubat darinya. Dalam pertumuan itu Bah Lanjut berkali-kali minta ampun dan maaf atas perbuatannya di masa lalu. Malah, dia sanggup mengajar beberapa ilmu yang ada pada dirinya untuk datuk.

Hasratnya itu tidak ditolak, datuk mahu menuntut ilmu darinya asalkan ilmu yang dituntut itu tidak bercanggah dengan hukum-hukum Allah. Bagi tujuan itu, datuk dan saya terpaksa tinggal di perkampungan orang asli itu selama dua minggu. Di sini tugas saya bertambah lagi, terpaksa menjadi tukang masak pada datuk di samping berburu ayam hutan dan pelanduk untuk lauk makan tengahari dan malam, beras disediakan oleh Bah Lanjut hasil dari tanaman padi humanya di lereng bukit.

~bersambung~

Posted in Bercakap Dengan Jin | Tagged: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

16. Kain Dalam Perut Gadis

Posted by putera2info on October 27, 2009

Sesudah perempuan muda itu mencium tangan datuk, dia pun membetulkan selindangnya yang jatuh ke atas bahu. Saya lihat alis mata perempuan itu cukup tebal dan lentik. Kerlingnya cukup tajam. Datuk memperkemaskan silanya dan sepasang mata datuk terus meratah ke paras wanita muda di depannya.Nenek terus menghidangkan lemang dan rendang. Bunyi mercun dan meriam buluh sekali-kali terdengar juga memecah kesunyian kampung. Tiba-tiba saya terkejut, perempuan tua bangun serentak, tanpa menjamah barang-barang yang dihidangkan oleh nenek.

Mereka menuju ke muka pintu, sampai bendul pintu mereka merenung ke arah nenek dan datuk sambil melambaikan tangan. Datuk kelihatan tersenyum senang. Perempuan tua dan perempuan muda memijak anak tangga. Sinar matahari yang mencerah di luar menerpa ke wajah mereka.
Datuk, tiba-tiba terbatuk dengan kuat. Mata nenek dan mata saya tertumpu ke wajah datuk sebentar. Bila saya dan nenek berpusing ke arah muka pintu, batang tubuh perempuan muda dan tua sudah tidak kelihatan lagi di situ. Hilang entah ke mana.

“Ke mana mereka pergi tok?” saya bertanya. Datuk merenung muka nenek. Mereka berbalas senyum lalu datuk menghadapi hidang yang tersedia.

“Siapa mereka tok?”

Datuk terus menghampiri saya. Dia menepuk bahu saya sambil berkata :

“Itulah nenek muda kau,” suara datuk menendang gegendang telinga saya. Wajah datuk saya lihat, terpamir sejuta kepuasan dalam dirinya. Saya renung muka nenek, rasa cemburu di wajahnya tidak timbul. Betapa nenek berkorban untuk kebahagian datuk. Fikir saya dalam hati.

“Sudahlah tu, mari minum,” datuk menarik tangan saya. Nenek ketawa melihat telatah saya yang menurutperintah datuk itu. Nenek terus duduk di sisi saya. Selesai makan ketupat dan rendang datuk mengajak saya ke tanah perkuburan untuk melihat pusara datuk nenek. Selesai menziarahi kubur datuk nenek dan menghadiahkan al-Fatihah atas roh, mereka, datuk terus mengheret saya bertandang ke rumah kenalannya. Satu kerja yang amat tidak saya senangi. Menyusurlah sayadi bawah pepohon getah mengikut langkah datuk yang rancak. Sinar matahari yang keras petang itu memaksa badan saya mengeluarkan peluh. Baju dan seluar terasa bergetah. Kain samping sudah tidak lekat di pinggang sudah bertukar menjadi kain selipang.

“Ke mana kita tok, saya dan tak tahan ni,” saya mengadu.

“Jalan sikit lagi, kita pergi ke rumah Ujang Selamat.”

“Jauh lagi ke ?”

“Lepas pokok asam kumbang sampailah kita.” Suara datuk mula keras. Matanya, tajam memandang muka saya.

Tempat yang dituju sampai juga, sebuah rumah papan beratap zing di pinggir bukit Paya Takung . Halaman rumah yang bersih itu menghala ke sawah yang saujana mata memandang. Itulah rumah Ujang Selamat ketua kampung Paya Takung dan rumahnya adalah rumah yang paling cantik dan besar di dalam kampung tersebut.

Ujang Selamat yang berbadan tegap, bermisai lebat memakai seluar dan baju hitam mempersilakan saya dan datuk naik. Datuk dan Ujang Selamat bersalaman. Ujang Selamat ketawa menampakkan giginya yang besar dan kekuningan itu. Data datuk, Ujang Selamat berasal dari negeri Petani di Selatan Siam. Dia meninggalkan kampung halamannya sesudah tercetus peperangan antara rakyat Petani yang menuntut kemerdekaan dari kerajaan Siam.

Dalam pertempuran itu, banyak rakyat petani yang tewas ditawan oleh tentera Siam. Ujang Selamat melarikan diri hingga sampai ke kampung Paya Takung. Dia bertani dan bercucuk tanam hingga berjaya mendirikan rumah dan membeli tanah di situ. Kemudian kahwin dengan orang di situ hingga beranak cucu.

Sedang saya dan datuk asyik menjamah lemang, tiba-tiba rumah Ujang Selamat didatangi tetamu. Lima orang semuanya. Ujang Selamat memperkenalkan saya dan datuk pada tetamu tersebut. Kami bersalaman, berkenal mesra dan sama-sama menjamu selera.

Selesai mengisi perut. Kelima-lima tetamu itu meninggalkan rumah Ujang Selamat. Saya bingkas, duduk kat bendul.

“Memang hajat tu nak ke rumah awak, bila awak dah datang elok benarlah,” kata Ujang Selamat pada datuk sambil mengipaskan badannya dengan kertas suratkhabar.

“Apa halnya?”

“Awak pawang besar tentu tau atau dapat tanda-tanda,”

“Saya bukannya pawang, saya cuma berusaha untuk menolong.”

“Begini.” Ujang Selamat memperkemaskan silanya. Perut gendutnya yang berlapis itu bagaikan bergerak-gerak. Angin dari tengah wawah terasa menyapu wajah.

Datuk termenung panjang, saya lihat daun telinganya bergerak tiga kali ke depan, macam telinga arnab. Mata dan muka Ujang Selamat ditenungnya.

“Ada saudara mara awak yang sakit?” tanya datuk.

“Semalam, ada orang dari Parit mencari, kalau ada orang yang boleh mengubat anak dara
berperut buncit.”

“Tidak, dia sakit,” biji mata Ujang Selamat terbeliak memandang wajah datuk. Saya sandarkan badan ke dinding. Matahari petang kian condong.

“Kaum awak Ujang?” soal datuk.

“Ada kena mengena dengan bini saya.”

“Jadi apa ikthiar kau?”

Minta jasa tok pawanglah untuk mencari orang mengubatnya atau tok pawang sendiri berusaha.”

Datuk terdiam, saya tahu datuk tidak berapa senang kalau dia dipanggil pawang atau bomoh. Itu bukanlah cita-citanya, tetapi kalau dia dipanggil pemburu atau tok buru, dia memang tak menolak. Dia megah kalau ada orang yang memanggilnya demikian. Datuk termenung panjang. Saya memanglah tidak begitu gembira kalau datuk memenuhi permintaan Ujang Selamat itu, tetapi sesiapa pun tidak dapat menahan sikap terpuji datuk yang suka menolong orang itu.

Di luar, matahari mula condong, tanah sawah yang sudah ditumbuhi rumput-rumput padi sudah tidak berapa jelas kelihatan, burung pipit terbang rendah menuju ke pohon yang memagari batas sawah.

“Bagaimana?” soal Ujang Selamat sebaik saja kami sampai di kaki tangga. Datuk terdiam. Ujang Selamat masih lagi berdiri di tepinya. Memang, Ujang Selamat minta kata pasti dari datuk.

“Kena tengok macam mana jenis penyakitnya.”

“Bila agaknya, kita boleh pergi.”

“Ujang, usahlah kau susah, pagi esok kita pergi dengan bas.”

“Baiklah,” suara Ujang Selamat dibungai kegembiraan.

Malam itu datuk menceritakan pada nenek tentang hasratnya untuk menolong orang sakit. Nenek membantah dengan alasan, sejak akhir-akhir ini, setiap kali datuk pulang dari mengubati orang sakit, dia pula akan diserang sakit, hingga terpaksa menjemput isteri mudanya. Dan hal bigini tidak berapa digemari oleh nenek, sebagai seorang wanita walau sebaik mana hatinya, raca cemburu itu tetap wujud dalam dirinya. Akhirnya, nenek mengalah juga bila datuk menerangkan bahawa di dalam hidupnya dua perkara saja yang boleh mengembirakan hatinya.

Pertama memburu binatang dan kedua menolong orang sakit dengan tidak membelakangi kasih sayang dan tugasnya sebagai seorang suami terhadap isteri. Seperti biasa sebelum datuk pergi ke suatu tempat untuk mengubat orang dia akan melakukan sembahyang hajat. Mohon restu dari Allah yang maha besar. Dan malam itu datuk pun melakukan sembahyang hajat.

Dan pagi esoknya, saya, datuk dan Ujang Selamat bertolak dengan bas menuju ke Parit. Dari pekan kecil itu kami menaiki perahu menyemberang Sungai Perak menuju ke sebuah kampung. Belanja Kiri namanya. Dari pengkalan perahu kami berjalan arah ke utara menuju ke sebuah rumah yang dikelilingi dengan pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis dan rambutan.
Ujang memperkenalkan datuk dengan Haji Azhar tuan rumah. Dan Ujang Selamat menyatakan tujuan dan maksud datuk datang ke rumahnya. Haji Azhar yang berkulit putih berambut jarang itu tersemyum. Dia mempersilakan kami naik ke rumahnya. Kami naik ke rumahnya. Kami duduk di bahagian anjung rumah. Haji Azhar terus menyatakan rasa putus asanya untuk mengubati sakit yng dideritai oleh anaknya. Sudah berbelas ekar tanah bendangnya dijual. Sudah berpuluh dukun Siam, China, Gurkha dan orang Asli ditemui mengubati sakit anaknya, semuanya menemui kegagalan.

Dia hanya menyerahkan pada keadaan saja. Dan menerima siapa saja yang datang ke rumahnya untuk mengubati sakit anaknya itu. Untuk mencari dukun atau pawang dia tidak mahu. Dia benar-benar kecewa.

Datuk meminta izin pada Haji Azhar untuk melihat si sakit. Dengan rasa rendah hati Haji Azhar membawa saya dan datuk masuk ke dalam bilik anaknya. Datuk merenung muka anak dara Haji Azhar sambil mulutnya membaca sesuatu.

Anak dara Haji Azhar gelisah di tempat pembaringan. Matanya bersinar-sinar merenung ke wajah datuk. Perut anak dara Haji Azhar kelihatan membusut mengandung sembilan bulan. Nafasnya kelihatan tersangkut-sangkut, rambut panjangnya menutup bantal di bawah kepalanya.

Datuk minta kebenaran pada Haji Azhar dan isterinya untuk menjamah tubuh anaknya. Mereka mengizinkan. Datuk pun meraba pergelanggan tangan anak dara Haji Azhar lalu berkata :

“Dah berapa lama kena sakit ni?”

“Dah dekat setahun , tapi baru dua bulan ni yang teruknya.”

“Berjalan ke bilik air pun kena pimpin,” celah isteri Haji Azhar. Datuk anggukkan kepala.

Saya, datuk dan Haji Azhar kembali ke ruang tengah rumah. Kami dapati Ujang Selamat tidak ada . Dada saya berdebar. Dengan tidak diminta Haji Azhar terus menceritakan pada datuk selain daripada berubat cara kampung dia juga sudah membawa anaknya ke rumah sakit Ipoh. Hampir sebulan anaknya ditempatkan di rumah sakit tersebut.

Setelah diperiksa didapati anaknya itu tidak mengalami sebarang sakit ataupun mengandung. Phak rumah sakit berpendapat sebab perut anaknya buncit kerana mengandungi air. Dan mereka pun berusaha mengeluarkan air dari perut anaknya itu, tetapi usaha itu gagal. Perut anaknya tidak juga mahu surut. Akhirnya anak kesayangan Haji Azhar dibawa pulang.

Dua bulan sesudah itu lagi sekali Haji Azhar membawa anaknya ke rumah sakit besar – Ipoh. Perut anaknya di X-ray. Pihak doktor di rumah sakit itu tetap berpendapat anaknya tidak menghidap sebarang jenis penyakit, malah salah seorang doktor Melayu bertugas di situ, Dr. Megat Khas telah menasihatkan Haji Azhar supaya berubat cara kampung. (Dan Megat Khas sudah meninggal dunia dalam tahun tujuh puluhan).

Semua yang diceritakan oleh Haji Azhar itu, didengar oleh datuk dengan cukup teliti. Dan setip kali Haji Azhar berhenti bercakap sepasang matanya tetap tertumpu ke wajah datuk, seolah-olah dia mengharapkan sangat-sangat datuk dapat menyembuhkan penyakit dideritai oleh anaknya itu.

“Siapa nama anak tuan Haji itu?”

“Latifah.”

“Dulu pernah dipinang orang atau ada menaruh hati pada sesiapa?”

“Menaruh hati tu, saya tak tahulah, tapi orang meminangnya memang ada.”

“Jadi bertunang.”

“Tidak, saya tolak.”

“Sebab.”

“Belum masanya.”

Datuk anggukkan kepala dua tiga kali. Sesekali datuk merenung keluar ikut tingkap rumah yang terdedah. Kemudian datuk memberi janji pada Haji Azhar untuk berikhtiar mengubati anaknya, dengan syarat Haji Azhar harus menyediakan buah pinang merkah di pokok, daun delima dan tulang kucing hitam. Dengan pertolongan Ujang Selamat semua benda-benda tiu dapat diadakan.
Lebih kurang pukul sepuluh malam datuk pun mula menjalankan tugasnya denga penuh teliti. Sedang datuk membaca mentera, tiba-tiba seketul batu melayang masuk ke dalam rumah. Jatuh di hujung kepala anak dara Haji Azhar. Dengan sekelip mata saja batu kecil itu, mengeluarkan asap yang berkepul-kepul penuh satu ruang rumah. Semua orang dalam rumah itu habis terbatuk.
Datuk bangun, lalu membuka kain lilit kepalanya. Dua tiga kali dia mengibaskan kain lilit kepalanya ke kanan dan ke kiri. Asap itu berhenti dan batu pun ghaib. Tempat batu itu jatuh nampak berlubang dan hangus. Datuk berhenti dari meneruskan kerjanya.

“Nampaknya sakit anak tuan haji ni, dibuat dengan cara sihir, ada orang dendam dengan keluarga tuan haji. Ini semua kerja syaitan,” rungut datuk sambil merenung muka Haji Azhar.

“Orang yang membalas dendam ni, bukan kepalang orang, saya minta diri untuk mengubatnya,” sambung datuk. Muka Haji Azhar berubah. Saya perhatikan kedua belah kelopak matanya digenangi air jernih. Anaknya yang terlentang kelihatan resah dan badannya berpeluh.
Datuk menarik tangan Haji Azhar ke sudut rumahnya. Datuk merapatkan mulutnya ke telinga Haji Azhar.

“Tangguh dulu, kita ikhtiar cara lain malam, esok,” kata datuk.

“Saya mengikut saja, asalkan sakit anak saya baik.”

“Saya tahu, sakit anak tuan haji ni, bukan sebarang sakit, ada campur kerja syaitan.”

“Habis apa yang mesti saya buat?”

“Bersabar dan berikhtiar, dalam alam ini, yang maha berkuasa adalah Allah dan tidak ada penyakit yang tidak boleh diubat, kalau diizinkan Allah.”

Mendengar cakap datuk itu, Haji Azhar tersenyum. Masih ada harapan untuknya berusaha. Ujang Selamat juga memberi harapan yang begitu juga pada Haji Azhar. Sepanjang malam itu, saya dan datuk tidak dapat tidur dengan cukup lena, kerana bermacam-macam bunyi yang kami dengar di luar rumah Haji Azhar, bila hal itu diceritakan pada Haji Azhar pagi esoknya, dia mengakui bahawa sejak anaknya jatuh sakit. Bunyi begitu memang selalu didengarnya.

Datuk membuat keputusan untuk pergi ke rumah kawannya di Sungai Rokam – Ipoh. Menurut datuk kawannya itu berasal dari Bawean dan boleh mengubati sakit yang dialami oleh anak Haji Azhar itu. Dengan daya usaha Ujang Selamat, datuk pun bertolak ke Ipoh dengan sebuah kereta kepunyaan anak buah Ujang Selamat. Datuk meninggalkan Kampung Belanja Kiri di tepi tebing Sungai Perak itu, kira-kira pukul lapan setengah pagi. Dan pukul lima petang dia pun pulang dengan seorang wakil yang berbadan kurus.

“Ini kawan saya, namanya Wansi, dah dua kali ke Mekah,” datuk memperkenalkan kawannya pada Haji Azhar dan orang-orang yang menyambut kepulanganya di halam rumah. Datuk terus bercerita tentang kawannya tiu pada orang ramai. Kata datuk, kawannya itu dulu bekerja dengan Kelab Lumba Kuda Perak, memang handal berjudi, minum arak dan kaki perempuan, bila dia jatuh sakit teruk, tiga bulan terlantar di rumah membuat dia insaf, bila dia baik dari sakit terus menjadi baik dan meninggalkan kerja-kerja yang ditegah oleh Allah.

Sebelum mengubati anak dara Haji Azhar, Wansi meminta hanya saya, datuk dan dirinya saja yang boleh berada di tempat dia akan lakukan kerjanya. Semua permintaannya itu dipenuhi. Dia juga meminta pada Haji Azhar semua kerja yang dilakukannya jangan diberitahu pada orang ramai.

Satu syarat yang agak ganjil yang dikenakan oleh Wansi, dia minta Haji Azhar membuat sebuah pondok kecil di depan rumah Haji Azhar dan pondok itu tidak berpintu. Orang yang boleh mendiami pondok itu ialah saya, datuk dan dirinya sendiri. Hari yang dipilih oleh Wansi untuk mengubat ialah hari Rabu, mulai pukul satu tengahari.

Sebelum itu, kami tidak diberkan menemui sesiapa, selama lima jam, kami tidak boleh memijak tanah, tidak buang air kecil dan besar. Satu kerja yang cukup siksa saya rasakan, kerana datuk mahu saya mengenali berbagai ragam kehidupan yang ganjil atas dunia ini, saya terpaksa mematuhinya.

Tengahari Rabu, matahari sudah agak tergelincir dari ubun-ubun kepala. Saya dan datuk serta Wansi menghadap dupa yang mengeluarkan asap kemenyan kerana semua tingkap di pondok itu ditutup, badan terasa panas.

“Sedia,” kata Wansi yang sebaya dengan usia datuk. Dia pun mula bercakap dalam bahasa Bawean, terlalu cepat cakapnya. Dia berhenti lalu merenung pada datuk. Dia angguk kepala. Datuk juga angguk kepala. Datuk menghampirinya.

“Ada apa Wansi?” tanya datuk.

“Kita baca ayat Quran dulu,” jawab Wansi sambil menerangkan pada datuk ayat mana yang mesti dibaca. Sedang mereka asyik membaca ayat-ayat suci itu, pondok kami bagaikan digegar orang, serentak dengan itu api menyala dengan tiba-tiba di tengah pondok. Bila api itu dipadamkan, menyala pula di bahagian lain. Saya jadi kelam-kabut di buatnya.

Dengan tenang Wansi mencampakkan seketul besi ke tempat api yang menyala itu. Tiba-tiba api itu padam dengan sendiri. Dan api ajaib itu tidak lagi datang menyerang pondok. Saya diberitahu oleh datuk, besi yang berjaya memusnahkan api ajaib itu di depan dupa.

Muka Wansi kelihatan berkerut. Seekor kelawar hitam terbang rendah di depan dupa lalu jatuh di situ. Wansi mengambil kelawar hitam itu dimasukkan ke dalam uncang yang dibuat dari kain hitam.
Wansi bangun. Dia merenung datuk dan saya. Wansi melangkah keluar pondok, ikut tingkap. Saya dan datuk juga berbuat demikian, sebaik saja kami bertiga memijak bumi, dua tiga titik darah jatuh atas pipi kami, dari mana datangnya saya pun tidak tahu. Wansi naik ke rumah Haji Azhar terus masuk ke dalam bilik tempat anak dara Haji Azhar terkapar.

Saya terkejut, bila Wansi merentap kain yang menutup perut anak dara Haji Azhar. Perut anak dara itu kelihatan berkilat dengan urat-urat yang timbul sekali imbas macam buah tembikai. Wansi menekan perut anak dara itu dengan kedua belah tangannya. Jeritan anak dara itu menguasai seluruh Kampunh Belanja Kiri. Saya dengan datuk hanya melihat saja. Jeritan anak dara yang kuat itu, makin lama, makin beransur kurang dan akhirnya berhenti terus. Dari hidung anak dara itu keluar darah.

Wansi terus menekan perut anak dara itu, saya lihat tangan Wansi yang keras itu masuk ke dalam perut anak dara itu bagaikan terkoyak. Pergelangan tangan Wansi penuh dengan darah. Tiba-tiba Wansi berpaling pada datuk dan berkata:

“Sudah dapat.”

“Apa dia?”

Wansi tidak menjawab pertanyaan datuk itu. Dia terus menarik tangannya dari perut anak dara. Saya lihat ditangan Wansi terlekat kain batik Jawa yang berlipat cantik. Dengan segera perut anak dara yang buncit itu terus kempis dan rata. Wansi melihat lilihan darah di perut anak dara itu. Dia membaca susuatu, kemudian perut anak dara itu digosoknya dengan tapak tangan kanan tiga kali berturut-turut. Dalam sekelip mata saja perut itu bercantum kembali tidak terdapat sebarang kesan luka atau darah di situ

Anak dara Haji Azhar sedar dari pensan. Dia membuka matanya dan memandang ke arah datuk. Anak dara Haji Azhar bangun dan terus duduk.

“Kenal, kain siapa ni?” tanya datuk pada anak dara Haji Azhar.

“Saya punya, tapi sudah lama hilang dalam simpanan saya.”

“Di mana hilangnya?” Wansi pula menyoal.”

“Kain batik tu, saya jemur di ampai, tiba-tiba hilang, itu saja yang saya ingat,” terang anak dara Haji Azhar dengan jujur.

Datuk pun memanggil Haji Azhar dan isterinya. Mereka mengakuinya, bahawa kain batik tu dibeli oleh Haji Azhar ketika dia pergi menziarahi keluarganya di Bandung-Indionesia, bila pulang ke rumah kain itu dihadiahkan pada Latifah anaknya. Dan pada suatu hari Latifah mendapati kain batik itu hilang di ampaian sesudah basuh.

Pada petang Rabu itu juga, Latifah anak dara Haji Azhar dimandikan dengan tujuh jenis bunga di tepi tebing Sungai Perak oleh Wansi, Menjelang waktu Maghrib Latifah di letakkan di atas pelantar yang dibina berhampiran dengan ampai tempat kain batiknya hilang. Semua kerja dilakukan oleh Wansi.

Pada sebelah malamnya, ketika Wansi dan datuk bercakap di anjung rumah, seketul tulang lengan manusia dilemparkan oleh satu lembaga hitam dari halaman rumah. Bila tulang lengan itu dijamah oleh datuk, tulang itu terus menjadi arang.

“Sekarang, kita mesti menangkap orang yang mensihirkan kain batik ke dalam perut anak dara Haji Azhar,” ujar datuk pada Wansi.

“Ya, tapi aku tak mahu orang itu dibalas memadai saja dia disuruh bertaubat,” sebaik saja Wansi habis bercakap, wajah seorang lelaki muncul di depan Wansi dari dalam kegelapan malam itu, bila datuk mengamati wajah pemuda itu ternyata dia adalah pawang orang asli yang terkenal dari batu enam belas jalan Tapah ke Cameron Highland, Pahang.

Wajah lelaki yang bengis itu kelihatan mengeluarkan asap dan melangkah mahu menerkam ke arah datuk dan Wansi…

~bersambung~ 17. Bertarung dengan Bomoh Orang Asli

Posted in Bercakap Dengan Jin | Tagged: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

15. Dikejar Mayat

Posted by putera2info on October 27, 2009

Dalam pergelutan yang hebat itu, ternyata datuk tidak dapat menandingi tubuh lembaga yang berbulu lebat itu. Datuk sering saja tercampak. Dan memang perangai datuk tidak mudah mengaku kalah. Dia terus bergelut.Saya dan ketua kampung didakap rasa kecemasan. Di langit saya lihat tidak ada sebiji bintang bersinar. Pokok-pokok di kiri kanan bagaikan dilanda taufan. Suara burung hantu bagaikan orang berlagu mengiringi petarungan datuk dengan lembaga itu.
Tiba-tiba,saya lihat berpuluh-puluh ekor burng gagak hinggap di ranting pokok. Berbunyi bersahut-sahutan. Kemudain burung-burung gagak itu terus turun ke tanah lapang. Tanah tiu jadi gelap dengan burung gagak. Saya benar-benar berada dalam keadaan cemas.Lembaga yang berbulu lebat terus mencampakkan tubuh datuk kepangkal pokok pisang.

“Bacalah ayat al-Qurshi,” bisik keuta kampung pada saya. Saya terdiam, dalam saat-saat cemas begitu, saya jadi terlupa untuk mengingati ayat tersebut. Bila saya cuba, pembacaan saya banyak yang silap. Saya menggelabah tidak tentu arah. Datuk tidak juga bangun dari perdu pikok pisang.
Saya teringat pesan datuk, bahawa ayat al-Fatihah adalah ibu segala ayat dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Jadi, kalau kita berhadapan dengan musuh dan sudah tidak ada cara lain untuk mempertahankan diri, bacalah ayat tersebut sambil berusaha melepaskan diri dari musuh dengan bertawakal pasa Allah yang maha besar.

Jadi, al-Fatihah pun saya baca dengan teliti supaya tidak silap. Bila sudah selesai dibaca saya mula terasa semacam ada semangat baru dalam diri saya. Fahamlah saya, bahawa tidak ada kuasa yng lebih gagah dan kuat dari kuasa Allah. Saya perhatikan ketua kampung masih terus membaca ayat al-Qurshi.

Di tanah lapang lembaga hidup yang berbulu, berdiri gagah dikelilingi oleh berjuta-juta burung gagak. Saya renung ke langit. Saya lihat ada benda terbang separas pucuk pokok kekabu, berkilau-kilau. Benda itu seakan-akan bentuk batang buruk, di bahagian bawahnya keluar sejenis benda semacam tali, berwarna merah. Benda itu berlegar-legar atas bumbung rumah Timah dan akhirnya hilang lalu diganti oleh suara perempuan ketawa manja.

Saya raba telinga, hidung dan mata bagi mempastikan apakah perkara yang saya alami, satu khayalan saya sendiri. Saya meraba bumi dan rumput. Ternyata saya tidak berhhayal, saya berhadapan dengan satu dunia yang cukup ganjil dan aneh sekali.

Dalam samar-samar malam itu , cara kebetulan di langit bulan mula bersinar. Saya lihat datuk bangun menuju ke arah kami. Di tangannya masih tergenggam batan serai dan bulu burung gagak.
“Hebat,” sepatah perkataan kelaur dari mulut datuk. Dia terus duduk, kemudian mencangkung, macam orang mahu memulakan perlumbaan lari. Lepas itu bergerak lagi. Kedua belah tangannya diletakkan ke daepan, kaki diluruskan ke belakang. Dengan perintah datuk, ketua kampung mencacakkan bulu burung gagak dan batang serai di depannya.

Datuk merenung ke arah lembaga yang berbulu hitam, saya lihat datuk bagaikan harimau yang mahu menerkam mangsanya. Sepuluh jarinya mencakar-cakar tanah. Dia pejamkan matanya lalu mulutnya bergerak-gerak. Saya terdengan datuk memebaca sepotong ayat dari al-Quran. Saya amati pembacaannya, memang datuk membaca ayat yang pernah dibaca oleh nabi Allah Yunus ketika ia berada dalam perut ikan.

Datuk menyerahkan hati dan perasaannya pada Allah yang maha besar. Memang semua kepandaian yang ada padanya tidak terdaya melawan hantu raya jelmaan syaitan itu. datuk terus berdiri. Bulu gagak diangaktnya. Serentak dengan itu dia menyuruh saya membakar kertas. Bila api sudah menyala. Ketua kampung lalu menghimpunkan daun-daun kering atas api yang membara itu.

Entah dari mana datuk mendapat kemenyan, dalam tempoh beberapa saat sja kawasan kami penuh dengan bau kemenyan. Makin kuat bau kemenyan masuk lubang hidung, kian kuat bunyi pokok-pokok di sekeliling kami dirempuh angin, dahan-dahan bagaikan jatuh mahu menimpa kami, tetapi bili dilihat ke atas pokok pun tidak bergoyang. Suara gagak tetap bersahut-sahutan.
Datuk membongkok dan terus menumbuk tanah. Semua burung gagak di tanah. Semua burung gagak di tanah lapang berterbangan. Hilang dengan sekelip mata. Deru angin tidak sekuat tadi. Semuanya terasa menyepi. Saya lihat lembaga hitam hilang. Lebih kurang antara lima hingga tujuh minit kami dipeluk sepi. Datuk meletakkan bulu gagak atas lengan. Ditiup tiga kali berturut-turut.

“Kau,” tempik ketua kampung, bila di depan kami wuduj batang tubuh suami Timah. Bila datuk mahu menerpa ke arahnya. Batang tubuh suami Timah segera hilang. Tempatnya digantikan dengan kain putih. Kain itu bergerak dan mengelumbung. Saya, ketua kampung dan datuk terus melihatnya dengan penuh teliti.

“Mayat,” kata saya

“Ya,” memang dalam kain itu mayat,” jawab datuk.

“Mayat siapa?” tanya ketua kampung.

“Mayat suami Timah ,” pendek datuk menjawab, sambil menyinsing lengan baju.

Mayat yang terbujur itu begerak lalu mengoyakkan kain kapannya. Mayat itu terus duduk. Kainkapan berkumpul di bahagian pinggang. Ketua kampung memberitahu saya, bahawa itulah mayat suami Timah yang telah ditanam oleh orang-orang kampung saya dulu. Mayat itu memusingkan badannya sambil duduk. Merenung ke arah datuk dengan pandangan yang cukup tajam. Bau busuk mula menguasai kawasan tempat kami bernaung. Saya bagaikan mahu terkeluar isi perut.

Angin malan terus bertiup. Macam-macam bunyi yang kami dengan. Dalam suasana yang begitu, saya terdengar bunyi suara orang lelaki merintih menahan kesakitan. Saya tidak tahu dari mana suara itu datang.

“Kau orang jang bercakap walau sepatah apapun,” datuk mengingatkan kami. Dia maju selangkah ke depan. Saya perhatikan mata mayat itu lama-lama. Saya terkejut, memang di bahagian mata itu terdapat lubang yang boleh mengeluarkan cahaya, kalau seimbas pandang lubang itu tidak mudah kelihatan terpelohong, kelihatan macam mata manusia yang sempurna.

Datuk undur ke belakang. Dia membuka baju dan mengenakan ke tubuhnya kembali dalam keadaan terbalik. Dari rusuk baju sebelah kirinya datuk mengambil sebatang jarum panjang. Mayat yang sudah berbau itu berpusing-pusing di atas tanah. Datuk membaca mentera dan menepuk bumi tiga kali. Batang serai dibuang ke arah kanan manakala bulu burung gagak dipijaknya dengan kaki kiri. Datuk melangkah dua tapak ke depan.

:”Kau suami Timah.”

Cukup lantang suara datuk. Mayat itu angguk kepala dan menutup kepalanya dengan kain kapan semula.

“Kau kenal ketua kampung,” tambah datuk. Mayat itu buka kain kapan lalu merenung ke muka ketua kampung. Mayat anggukkan kepala. Saya merasa cukup seram. Datuk menggawang-gawangkan tangan di depan matanya.

Mayat itu berpusing ke arah datuk kembali. Datuk menumbuk tanah dan mayat suami Timah di depannya terus menjerit. Bergema ke seluruh kawasan., pokok-pokok kecil bagaikam mahu tercabut. Mayat itu cuba bangun, tetapi tidak boleh. Punggungnya seperti melekat pada bumi.

Datuk pun mengangkat kedua belah tangannya ke ats. Lalu diturunkan perlahan-lahan. Berhenti separas dada. Sepuluh jari tangan datuk kelihatan kembang macam menahan sesuatu. Saya perhatikan kaki kanan datuk terbenam ke dalam bumi separas buku lali. Mayat di depannya terus berhempas pulas.

Mulut datuk berkumat-kamit. Fahamlah saya datuk sedang berdailog dengan mayat. Kerana selalu saja mengikut datuk dan selalu pula melihat dia bercakap dengan makhluk ganjil. Saya dapat membaca dan mentafsir apa yang dicakapkan oleh datuk menerusi gerak bibirnya.

Lebih kurang datuk berbicara :

“Kenapa kau datang ke dunia ini?”

“Menuntut sesuatu.”

“Apa yang kau tuntut?”

“Isteriku.”

“Engkau dengannya tidak boleh bersama.”

“Aku tahu, tapi aku mahu pulang padanya, aku mahu dia membela dan memberi aku makan.”

“Kalau dia tidak mahu bagaimana?”

“Aku akan mencari keluarga aku yang terdekat untuk meminta perlindungan.”

Datuk berhenti bercakap. Timah yang sedar dari pengsan menerkam ke arah kami. Mayat itu masih terkapai-kapai. Timah terus berlindung di belakang ketua kampung.

“Apa pesannya pada kau sebelum dia mati?”

Dengan mendadak saja datuk mengajukan pertanyaan pada Timah. Timah termenung sejenak mengingati sesuatu.

“Tak ada apa-apa,” sahut Timah.

“Mesti ada, kalau tidak hantu suami kau tidak pulang,” sanggah datuk. Timah mengigit bibir.
Mayat suami Timah kelihatan berhempas pulas mahu bangun. Bila mayat itu boleh bangun, datuk menekan kaki kirinya yang terdapat bulu burung gagak di bawahnya.

“Kalau kaki ini terangkat, syaitan yang menyerupai suami Timah akan lari, kemudian mengacau semua penduduk kampung,” ujar datuk pada ketua kampung. Serentak saya dan ketua kampung angguk kepala

Dalam keadaan yang serba gawat itu, dengan tiba-tiba Timah bersuara :

“Dia ada pesan, sebelum dia dimandikan dan dikapan, dia suruh saya tikamkan tapak kakinya dengan jarum.”

“Kau buat apa yang disuruhnya,” datuk memotong cakap Timah.

“Tidak.”

“Sebab?”

“Tak sampai hati.”

“Kalau kau membuatnya dulu, semua ini tidak akan terjadi.”

“Saya tak faham.”

“Suami kau yang sebenarnya sudah mati, apa yang kau lihat dan kita lihat ini ialah kapitnya .”

“Maksudnya,” soal Timah macam orang bodoh.

“Suami kau masa hidupnya berkawan dengan syaitan, bila dia mati, kapit atau kawannya itu mencari tuan yang lain.”

Dengan cakap datuk itu, Timah mengerti tentang keadaannya yang sebenar. Dan dia mula faham, kenapa masa suaminya hidup dulu, tanah sawah dan kebun tidak pernah dijenguk, tetapi habis ditebas dan dicuci orang. Bila ditanya pada suaminya. Dia hanya mendapat jawapan begini: Sahabat kita yang mengerjakannya. Dan sekarang fahamlah Timah, siapakah sahabat suaminya yang sebenar. Dia juga mula faham kenapa suaminya selalu bercakap seorang diri waktu dinihari. Ketua kampung terus tercenggang melihat keadaan yang tidak pernah dimimpikan untuk melihatnya.

Datuk menyuruh saya memijak bulu burung gagak. Saya akur dengan perintahnya itu. Bila dipijak, tapak kaki saya terasa cukup panas. Datuk terus meluru ke arah mayat. Datuk merentap kain kapan yang membalut bahagian kaki mayat itu. Mayat terus menghulurkan kedua belah tangannya pada datuk, seolah-olah minta tolong.

Datuk tidak menghiraukan semuanya itu. saya lihat datuk terus menarik kaki mayat. Dia memasukkan sesuatu di situ. Lagi sekali mayat itu menjerit. Bila gema jerit mayat itu berakhir, saya lihat datuk duduk berdirikan lutut. Di atas kepala saya terdengar bunyi sesuatu yang berat dan keras melanggar pokok. Saya terus meniarap. Bila saya bangun dari meniarap. Saya lihat mayat suami Timah sudah tidak ada lagi di situ, tetapi bau busuk tidak juga hilang dari tempat yang kami duduki.

Datuk datang ke arah kami. Di kaki langit cahaya kemerah-merahan mula naik. Tidak lama sepelas itu, terdengar suara beduk dipalu orang bertalu-talu dan diikuti dengan suara Azan memecahkan kedamaian subuh hening.

Datuk menyuruh Timah kembali ke rumahnya, kami bertiga terus menuju ke surau. Selepas mandi dan menunaikan fardhu subuh, datuk mengadu pada saya kepalanya terasa pening. Sebaik saja datuk melangkah mahu keluar dari surau, dia terjatuh. Orang-orang kampung mengusung datuk ke rumah ketua kampung.

Seorang dukun dipanggil untuk merawat datuk, setelah minum air panas bercampur limau nipis, sakit kepala datuk beransur kurang, kemudian dukun itu mengurut seluruh badan datuk hingga pulih.

“Angin,” kata dukun itu pada datuk, sebaik saja datuk sendawa dan kentut bertalu-talu. Semua orang yang berada di rumah riuh rendah. Bila ketawa sudah berakhir, ketua kampung menceritakan apa yang kami alami malam semalam. Ada yang mengkerutkan muka dan ada pula yang geleng kepala. Tetapi, mereka tidak menolak untuk diajak pergi tempat kejadian malam semalam.

Semuanya terpaksa mengalah pada ketua kampung yang meminta mereka sarapan pagi di rumahnya. Kira-kira dua belas orang penduduk kampung, termasuklah saya, datuk dan ketua kampung terpaksa duduk bersila di anjung rumah ketua kampung menikmati kopi dan rebus pisang pagi itu. Badan terasa segar, bila perut sudah diisi barulah sedap mengatur perjalanan.
Matahari pagi terus bersinar ketika kami meninggalkan anjung rumah ketua kampung. Sepanjang perjalanan tidak banyak orang yang bertanya sesuatu daripada datuk atau saya, semuanya melangkah dengan tenang.

Kira-kira dua rantai mahu sampai ke tempat kejadian tersebut, semua orang menekup hidung. Bau busuk mula tercium. Dua tiga orang kampung tidak mahu meneruskan perjalanan. Mereka muntah dan terus pulang.

“Bau bangkai apa?” saya terdengar suara bertanya pada datuk. Pertanyaan itu tidak segera dijawab oleh datuk. Dia cuma tersenyum.

“Entah, cuba tanya ketua kampung,” sebaik saja datuk habis bercakap dia berdehem dua tiga kali.
“Itulah bau yang kami cium sepanjang malam.” Sahut ketua kampung sebelum orang yang bertanya mengemukakan pertanyaan padanya.

Bila saja kami masuk ke tempat kejadian malam tadi. Bau busuk itu bertambah kuat. Datuk terus menunjukkan pada orang-orang kampung tempat mayat itu duduk. Tanah di situ kelihatan berlubang. Di sekelilingnya terdapat sejenis serbuk berwarna putih seperti hampas kelapa. Bau busuk yang cukup meloyakan tekak itu berpunca dari situ.

Tiba-tiba datuk mengambil secebis kain putih yang terdapat di situ. Bila diangkat kain itu, ia bertukar menjadi habuk macam tepung. Tangan datuk yang memegang kain itu digosokkan ke tapak kaki kiri. Tujuan datuk berbuat begitu mahu menghilangkan bau busuk yang terdapat di tapak tangannya.

“Ini membuktikan, bahawa syaitan tu memang wujud, dia mempengaruhi anak adam mengikut keadaan,” ujar datuk tenang.

Matahari pagi kian meninggi, sudah melampaui pucuk getah. Dari situ, kami terus ke rumah Timah. Sampai saja di kaki tangga rumahnya, Timah terus mengadu bahawa dia tidak boleh duduk di dalam rumah peninggalan suaminya.

“Kenapa?” Ketua kampung menyoal.

“Seluruh rumah berbau busuk, macam bau bangkai, hingga beras dalam tempayan pun berbau busuk tok,” suara Timah sayu. Dengan perintah datuk, saya disuruh naik ke rumah. Sebaik saja saya berada di muka pintu , saya terus termuntah. Semua yang saya makan pagi itu habis keluar. Cepat-cepat saya turun.

Atas persetujuan orang-oarng kampung sebuh rumah lain didirikan untuk Timah. Rumah lamanya ditinggalkan terbiar. Rumah baru Timah didirikan berhampiran dengan rumah ketua kampung, dengan usaha ketua kampung itu sendiri (tiga bulan selepas itu) Timah dijodohkan dengan seorang nelayan yang tinggal di Telok Gadung – Pulau Pangkor.

Habis dari perkongsian hidup Timah dengan suami barunya itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Dan anak lelaki itu kini sudah bekerja dengan Bank Bumiputra. Dalam tahun 1977, anak lelaki Timah itu telah ditukarkan dari Bank Bumiputra Ipoh ke Bank Bumiputra Batu Pahat – Johor dan sekarang bertugas di Kuala Lumpur. Masa orang-orang kampung mendirikan rumah Timah, saya dan datuk turut membantunya. Malah, sebelum Timah pindah ke rumah barunya, datuklah orang pertama tidur di situ. Tujuan datuk berbuat begitu untuk menjamin rumah itu tidak didatangi oleh sebarang hantu syaitan, di samping datuk mencari sesuatu alamat.

Menurut datuk, setiap orang yang mahu menduduki rumah baru, sekurang-kurang satu malam mesti ditidur oleh orang lelaki terlebih dulu dengan membawa sebungkus gula, susu dan segenggam beras. Orang yang tidur di situ, mestilah dirinya dalam keadaan bersih.
Sebaik-baiknya melakukan sembahyang hajat di rumah itu, mohon petunjuk dari Allah atau memohon padaNya supaya orang yang akan mendudukinya kelak tetap selamat serta melakukan sesuatu yang baik dan teguh iman serta kuat beribadat.

Pada hari Timah menaiki rumah barunya, orang-orang kampung telah mengadakan pembacaan doa selamat. Dua hari selepas Timah duduk di rumah baru, saya dan datuk pun meninggalkan Kampung Cangkat Cermin.

Sebaik saja datuk sampai ke rumahnya, dia lagi sekali jatuh pengsan. Bila datuk sedar dari pengsan seluruh badannya lebam. Dia tidak boleh berdiri. Datuk terpaksa merangkak dari muka pintu hingga ke tempat tidur. Seluruh sendinya tersa sakit, macam ditikam-tikam dengan jarum.
Bila malam, datuk menjerit sendiri. Anehnya datuk saya, bila dibawa ke doktor ternyata dia tidak mengalami sebarang sakit dan bila dia masuk ke dalam rumah, sakitnya datang semula. Dan datuk tidak mengizinkan saya atau nenek mencari dukun untuk mengubatinya.

Sakit datuk itu berlanjutan hingga ke bulan puasa, tetapi yang peliknya datuk dapat meneruskan puasanya dengan sempurna. Pada malam dua puluh tujuh likur, datuk memanggil saya dan nenek. Dia menyuruh kami mencari limau tiga serangkai yang mengarah ke matahari terbit.

Limau itu harus dipetik sendiri tanpa mengunakan galah atau tangga. Akhirnya apa yang dikehendaki oleh datuk itu saya perolehi. Dia suruh saya meletakkan limau itu di atas pinggan putih bersama pinang kering.

Lebih kurang pukul dua belas malam. Rumah datuk didatangi oleh bau yang cukup wangi. Saya lihat pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Tidak berapa lama selepas itu, saya terdengar bunyi suara orang perempuan membaca Quran, suaranya cukup merdu yang datangnya dari tempat tidur datuk.

Perkara itu berlaku tiga malam berturut-turut. Saya tanyakan hal itu pada nenek. Kata nenek isteri muda datuk datang mengubatnya. Kadang-kadang saya terdengar orang bercakap dengan datuk. Pernah saya terdengar orang itu bertengkar dengan datuk. Bila pertengkaran itu berakhir suasanan menjadi sepi.

Kemudian dengan jelas saya mendengar suara orang perempuan barkata begini pada datuk : Al-Quran yang diturunkan oleh Allah sudah cukup lengkap untuk manusia. Di dalamnya tersembunyi seribu rahsia perubatan, apa salahnya kita mengambil ayat-ayat darinya untuk penawar.
Dan saya tidak pernah bertanyakan hal itu pada datuk. Walau bagaimanapun saya merasa gembira, bila pagi Syawal tiba, saya lihat datuk sudah sihat. Dia bangun pagi-pagi dan membaca al-Quran sebelum pergi sembahyang hari raya. Di masjid datuk duduk di barisan hadapan membaca takbir bersama orang ramai.

Setelah selesai sembahyang hari raya, saya dan datuk terus menziarahi rumah seluruh penduduk kampung. Bila saya dan datuk kembali ke rumah , saya terkejut melihat dua orang perempuna duduk di anjung ruamh. Perempuan yang berusia agak lanjut itu tersenyum pada saya bila saya melintas di depannya, manakala perempuan muda yang berselindang lingkup itu wajahny terlalu manis air mukanya cukup bersih.

Siapa bertanya dalam diri saya, siapakah gerangan perempuan itu?” Dalam keadaan yang kebingungan itu saya lihat perempuan itu mendekati datuk lalu mencium tangan datuk dengan diperhatikan oleh perempuan di sebelahnya. Nenek cuma tersenyum saja.

~bersambung~ 16. Kain Dalam Perut Gadis

Posted in Bercakap Dengan Jin | Tagged: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »

14. Bersuamikan Hantu Raya

Posted by putera2info on October 27, 2009

Tanpa bertangguh-tangguh lagi datuk pun menceritakan, apa yang kami alami dalam hutan Ulu Kinta pada orang-orang kampung Ulu Kinta yang menanti kami di depan Balai Polis Tanjung Rambutan.Saya tidak melibatkan diri ketika datuk bercerita. Saya lebih senang duduk di pangkal pokok kelapa di rusuk kanan balai tersebut. Balai itu kini sudah dirobohkan, digantikan dengan bangunan yang baru.

“Pelik juga ceritanya, betul ke ni?” Saya terdengar salah seorang daripada orang kampung itu bersuara. Sepasang mata datuk merenung tepat ke arah batang hidung orang itu.

“Terpulanglah pada awak, sama ada awak mahu percaya atau tidak, saya dan cucu sudah merasa dan mengalaminya.”

“Apa yang orang tu berikan pada awak.”

“Beri apa? Awak gila ke.” Suara datuk mula meninggi dan orang itu terus diam.

Seorang anggota polis menghampiri kumpulan orang yang mengerumi datuk lalu bertanyakannya: “Apa halnya ni.”

“Orang hilang ni dah jumpa di sini,” seorang lelaki berbadan tegap memberitahu anggota polis yang sudah berusia hampir lima puluh tahun itu. Tanpa diminta datuk pun menceritakan apa yang dialaminya pada anggota polis itu.

Kemudian anggota polis itu mengakui apa yang dialami oleh datuk itu pernah dialami oleh beberapa orang penduduk di sekitar Tanjung Rambutan yang pergi memburu ke kawasan itu.
“Tapi, saya belum pernah bertemu dengannya,” suara anggota polis itu merendah. Menurutnya, dalam waktu-waktu tertentu lelaki berserban hijau itu pernah muncul di Market Tanjung Rambutan. Anehnya, dia hanya bersalam saja dengan siapa yang disukainya, bila orang yang disalami mahu bertanya sesuatu padanya dia akan hilang dengan sekelip mata sahaja.

“Bagi saya perkara ni, sudah jadi perkara biasa,” anggota polis itu menamatkan ceritanya dengan datuk. Datuk tidak puas hati dengan apa yang dicakapkan oleh anggota polis itu.

“Biasa macam mana?’ Datuk mendesak Anggota polis yang mahu melangkah masuk ke dalam balai berpatah balik.

Dia berdiri betul-betul di depan datuk. Matanya cukup tajam menyorot wajah datuk kemudian dia senyum sinis.

“Awak orang luar, mana awak tahu.” Termenung sejenak datuk mendengar cakap anggota polis itu.

“Memang, saya bukan orang di sini, tentulah banyak perkara yang tidak saya tahu.”datuk merendah diri.

“Saya orang Tambun, saya tahu serba sedikit tentang orang yang awak kata itu.”

“Itulah yang mahu saya dengar.”

“Begini, orang itu namanya Haji Lokman. Masa zaman Jepun dulu, dia membunuh tiga orang askar Jepun di Pekan Tambun.”

“Sebabnya?”
“Dia tak tahan melihat penyiksaan yang dilakukan oleh askar-askar Jepun pada orang kampung.”

“Jepun tak tangkap dia?” soal datuk lagi.

Anggota polis yang berbadan tegap itu memicit pangkal dagunya sambil mengkerutkan kening lebatnya.

“Jepun cuba menangkapnya tapi tidak berjaya. Akhirnya dia ditangkap ketika menunaikan sembahyang Zohur. Dia dikurung, pada sebelum malamnya dia berjaya melepaskan diri, sejak itu dia tidak pulang ke rumahnya.”

“Agaknya dia dibunuh Jepun, cerita dia melepaskan diri waktu malam tu sengaja diada-adakan,” celah datuk.

“Itulah yang anehnya, nak dikatakan mati, orang selalu berjumpa dengannya. Kalau dia hidup apa faedahnya menyiksa diri dalam hutan meninggalkan anak bini.”

“Betul juga cakap awak tu.”

“Tapi awak jumpa dia bukan?” soal anggota polis itu. Datuk angguk kepala.

“Lupakan saja perkara itu,” tambah anggota polis itu sambil meninggalkan datuk, Orang-orang dari Ulu Kuang yang berhimpun di situ berpandangan sama sendiri.

“Sudah, anggaplah ini pengalam yang berharga untuk awak, sama ada orang mahu percaya atau tidak itu bukan soalnya, tapi awak sudah melihat dan bercakpa dengannya,” salah seorang penduduk Kampung Ulu Kuang membisikan ke telinga datuk.

“Betul cakap awak tu,” balas datuk.

Datuk dan orang-orang dari Kampun Ulu Kuang meninggalkan Balai Polis Tanjung Rambutan menaiki bas menuju ke Chemor . Dari Chemor naik basikal menuju ke Kampun Ulu Kuang.
Dua hari kemudian, saya dan datuk pun meninggalkan Kampung Ulu Kuang. Pengalaman-pengalaman aneh yang saya alami itu merupakan khazanah pengalaman yang tinggi nilainya. Saya kira boleh dijadikan panduan untuk hidup.

Sekaligus mengajar saya erti kebesaran serta kekuasaan Allah. Sesungguhnya Allah maha besar dan maha berkuasa boleh melakukan apa saja yang diinginnya dan tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia yang selalu mendakwa sudah cukup maju dengan ilmu pengetahuan.

“Tahukah kau, di dunia ini, tidak saja dipenuhi dengan manusia, tetapi dipenuhi juga dengan jin yang tak dapat dilihat dengan mata kasar, di sinilah pentingnya agama untuk manusia,” kata datuk pada saya ketika bas yang kami naiki melintasi Pekan Menglembu.

“Aku harap,” tambah datuk lagi, “kau akan jadi orang Islam yang baik. Manusia yang tidak beragama selalu sesat.”

“Saya pun berharap hidup saya akan menjadi manusia yang dikasihi oleh Allah.”

“Bagus tu, kau mesti patuh apa yang dipertintahnya, jauhi dari perkara yang ditegahnya. Tunaikan apa yang ditetapkanoleh rukun kerana Islam itu tiang agama.”

“Saya faham tok.”

“Jika tidak patuh pada yang lima tu, Islam kau tidak akan sempurna.”

“Saya tahu tok,” tekanan suara saya merendah. Angin yang masuk ikut tingkap bas menolak rambut saya denga mesranya.

Sampai saja di kampung halaman datuk kami disambut oleh nenek dengan senang hati. Datuk tidak menceritakan apa yang dialaminya pada nenek.

Sayalah yang jadi tukang lapur kejadian pada nenek dan nenek tidak memberikan sebarang pendapat tentang peristiwa itu. Dia lebih banyak tersenyum dan angguk kepala. Saya tidak tahu apakah nenek suka atau percaya dengan apa yang saya katakan.

“Saya nak pergi,” tiba-tiba datuk muncul di ambang pintu tengah. Perbualan saya terhenti. Saya lihat datuk sudah berpakaian cukup kemas dengan baju melayu teluk belangga hitam serta seluar hitam. Songkok juga hitam.

“Ke mana ?” tanya nenek.

“Ke rumah bini muda,” balas datuk selamba. Nenek mengizinkan datuk pergi.

Dua hari sesudah datuk pergi ke rumah bini mudanya di kampung orang bunian. Saya dipanggil oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ke Batu Gajah untuk menjalani temuduga bagi memenuhi jawatan buruh hutan yang kosong dalam jabatan tersebut.

Saya terpilih dan ditempatkan di Slim River. Tidak lama saya bertugas di situ. Cuma satu minggu sahaja. Saya berhenti kerana kerja itu saya kira tidak sesuai dengan jiwa saya.

“Aku tahu, kau tak sesuai, perangai kau tak suka diperintah orang. Kau ni layak kerja sendiri jadi petani atau peniaga,” kata datuk menyambut kepulangan saya di anjung rumah.

Sesungguhnya jiwa saya rasa tenteram menjaga kebun datuk dan menjual buah-buahan hasil dusun datuk di Cangkat Beranagan. Saya rasa hidup begini agak bebas. Sekali sekala ikut datuk menembak rusa atau kijang di mana-mana yang disukainya.

Pagi itu, seperti biasa saya pergi kedusun memetik buah langsat dan rambutan untuk dijual pada peraih yang datang pada sebelah petang. Sedang saya asyik bekerja, datuk menemui saya.

“Banyak yang kau dapat langsat?”

“Kira dua pikul ada tuk.”

“Tinggalkan pada nenek untuk menyelesaikan bila peraih Kum Meng datang petang ni.”

“Kenapa ?”

“Aku nak ajak kau ke kampung Cangkat Cermin, ada wakil ketua kampung datang menjemput aku.”

“Apa halnya.”

“Usah tanya, ikut cakap aku.”

Saya terdiam dan meninggalkan bakul buah langsat di dusun. Dengan basikal saya dan datuk ke kampung Cangkat Cermin yang terletak di lebuh raya Ipoh – Lumut. Masa itu, lebuh raya masih belum dibina lagi. Kami terpaksa berbasikal membelah jalan tanah merah.

Sejak adanya lebuh raya, orang-orang di Cangkak Cermin tidak menggunakan jalan tanah merah yang lama itu. Kami sampai ke rumah ketua kampung lebih kurang pukul dua petang. Saya dan datuk ditempatkan di satu bilik khas.

“Apa salahnya Tok Sidang memanggil saya ?” soal datuk kepada Ketua Kampung yang berjanggut itu. Ketua Kampung mengerutkan keningnya.

“Ada hajat besar.”

“Apa hajatnya?”

“Anak buah saya berlakikan hantu raya.”

“Ha…,” mulut datuk ternganga.

Saya mula resah tidak menentu. Ketua Kampung terus bercerita tentang diri anak buahnya yang malang itu. Setiap malam anak buahnya yang baru kematian suami itu di datangi oleh hantu raya. Menurut ketua kampung itu, hantu raya tersebut tidur dan bercumbuan mesra dengannya hingga menjelang subuh.

“Siapa nama perempuan itu?” datuk mula menyoal.

“Timah.”

“Bila suaminya mati?”

“Kira-kira enam bulan yang lalu.”

“Ada anak?”

“Tak ada, suaminya mati dilanggar lori balak di Pekan Air Tawar.”

“Ini kerjanya sulit sikit.” Datuk separuh mengeluh.

“Dia mengadu pada saya minta tolong, bukan setakat itu saja, hantu raya itu kadang-kadang mengacau orang kampung,” tambah Ketua Kampung.

Datuk terdiam. Dia berfikir. Tiba-tiba datuk bangun. Berdiri dan berjalan di anjung rumah Ketua Kampung.

“Saya perlu jumpa dengannya,” itu yang terkeluar dari mulut datuk.

“Bila ?”

“Kalau boleh sekarang juga.”

Ketua Kampung, saya dan datuk turun dari rumah. Ketua Kampung membawa kami ke rumah Timah dengan melintasi ladang getah kepunyaan orang Inggeris. Rumah Timah terletak di sebidang tanah yang agak terpisah dengan rumah-rumah penduduk di situ. Di kawasan sekeliling rumahnya ditanam dengan ubi kayu dan keledek. Di bahagian belakang rumahnya terdapat sepohon pokok cempaka. Tidak jauh daripada pokok itu terdapat sebatang pokok pulai.
Dari kaki tangga, Ketua Kampung memberi salam. Tidak ada jawapan. Lagi sekali salam diberi. Pintu rumah Timah terkuak dengan sendiri. Batang tubuh Timah tidak juga muncul. Datuk pandang saya dan saya pandang Ketua Kampung. Dahi Ketua Kampung kelihatan berkerut.

Sinar matahari petang beransur teduh. Saya terdengar bunyi burung helang bertalu-talu, beberapa ekor burung gagak terbang rendah sambil berbunyi. Saya terasa bunyi burung gagak itu agak berbeda dengan bunyi suara gagak yang selalu saya dengar.

Tiba-tiba Timah muncul dari bawah rumah. Rambutnya tidak terurus. Mukanya kelihatan pucat dan matanya nampak tidak bercahaya. Dia semacam takut saja melihat kedatangan kami. Ketua Kampung segera memberi tahu tujuan kedatangan datuk dan saya. Timah tersenyum lalu mempersila kan kami naik ke rumah.

“Minta maaf ya,” kata datuk sambil memandang ke wajah Timah. “Rumah ini ada dua bilik, yang satu lagi untuk siapa?”

“Untuk …,” Timah terdiam. Dia merenung muka Ketua Kampung. Melihat keadaan itu datuk tidak mengemukakan pertanyaan lagi.

“Memang rumah ini ada dua bilik, saya ingat kerana saya yang mendirikan rumah ini bersama arwah suaminya dulu,” kata Ketua Kampung memberi penjelasan.

Datuk angguk kepala. Saya agak terkejut bila datuk bersikap kurang ajar sedikit. Dia bangun lalu melihat kedua-dua bilik yang terdapat di dalam rumah itu. Saya tahu Ketua Kampung dan Timah tidak senang dengan sikap datuk itu.

“Itu bilik saya ! jangan masuk,” jerit Timah bila datuk menghampiri bilik di bahagian kiri rumah. Datuk angguk kepala sambil meraba-raba misai tebalnya. Datuk pergi ke bilik yang satu lagi.
Saya terkejut bila datuk tunduk sambil kedua-dua belah tangannya memegang perut. Saya segera menerpa untuk membangunkan datuk. Secara mendadak saya rasa pangkal lehar saya dipukul oleh sesuatu. Pandangan saya berpinar.

“Jangan datang,” pekik datuk bila dia melihat Ketua Kampung mahu menerpa ke arahnya. Ketua Kampung pun tak jadi datang. Saya dan datuk segera meninggalkan bilik tersebut.
“Merbahaya, kita mesti balik sekarang,” kata datuk. Ketua Kampung tergamam, bagitu juga dengan Timah. Dalam keadaan kelam kabut itu, datuk mengemukakan soalan pada Timah,

“Bilik siapa itu?”

“Bilik suami saya,” Jawab Timah

“Dia dah mati. Untuk apa bilik tu buatnya.”

“Saayyyya…,” suara Timah terputus.

Datuk tersenyum. Dia sudah tahu apa yang dirahsiakan oleh Timah. Kami bertiga meninggalkan rumah Timah pulang ke rumah Ketua Kampung. Sebaik saja sampai ke kaki tangga, datuk meminta jasa baik Ketua Kampung untuk meminjam senapang kampung dan pada sesiapa yang memiliki senapang.

“Buat apa?” Ketua Kampung menyoal penuh ragu,.

“Nak menembak gagak untuk menolong Timah.”

“Begitu,” suara Ketua Kampung menurun.

Dia segera mencari senapang kampung. Setengah jam kemudian Ketua Kampung kembali dengan senapang di bahu dan menyerahkan pada datuk.

Datuk membidik-bidik senapang itu. Dia melurut laras senapang dengan tapak tangan kanan. Dengan tenang datuk memasukkan peluru kedalam laras senapang, kemudian dia meludah tapak tangan kanan dua tiga kali. Buntut senapang digosok dengan tapak tangan yang ada air liur itu.
Datuk menghalakan senapang ke arah sepasang burung gagak yang terbang rendah mencari ulat daun pisang di kawasan rumah Ketua Kampung. Datuk segera mengambilnya segera. Bangkai gagak itu digantungnya pada dahan pokok mempelam dekat rumah Ketua Kampung.

Datuk naik ke rumah. Waktu hari mula remang-remang senja datuk menuju ke pangkal pokok mempelam. Dia menepuk bangkai gagak tiga kali sambil menabur garam halus di bangkai gagak tersebut. Gerak geri datuk itu saya perhati dengan teliti dari tingkap rumah Ketua Kampung.
“Suami Si Timah itu mengamalkan, ilmu salah, membela hantu raya semasa hidupnya. Begitulah datuk menyatakan pada Ketua Kampung sebaik saja dia masuk ke dalam rumah. Dengan jujur Ketua Kampung menyatakan dia memang tak tahu walaupun suami Timah kawan rapatnya.
Ketua Kampung juga mengakui terdapat beberapa perkara aneh pada diri arwah suami Timah, antaranya dia selalu ditemui oleh orang kampung bekerja di ladang pada waktu malam seorang diri, bertukang rumah waktu malam, mencari kayu waktu malam seorang diri. Ketika orang-orang melihat kejadian aneh itu , suami timah sebenarnya tidak ke mana-mana, berbual kosong dengan Ketua Kampung di rumahnya.

Bila Ketua Kampung bertanyakan hal itu suami Timah. Dia menafikan yang dia membuat kerja-kerja itu. Malah menuduh orang-orang kampung mengadakan cerita yang bukan-bukan kerana dengki dengan kesenangannya. Dan dengan penjelasannya itu Ketua Kampung tidak menyoalnya lagi.

Setelah menunaikan sembahyang magrib datuk mengajak saya pergi ke suatu kawasan hutan tebal. Dia mengandar bangkai gagak dengan tenang. Saya lihat mulut datuk terkumat kamit membaca sesuatu. Datuk menyuruh saya bersembunyi di sebalik pokok besar. Datuk meletakkan bangkai gagak yang sudah dipanggang itu di kawasan lapang. Datuk menghidupkan api. Dia duduk di depan unggun api itu sambil berpeluk tubuh.

Dengan pertolongan cahaya api itu , saya lihat satu lembaga hitam besar berdiri di depan datuk. Serentak saya terdengar bermacam-macam bunyi. Ada bunyi suara orang menangis dan mengilai. Ada suara gendang dipalu.

“Aku tidak bertujuan jahat, aku minta kau ambil anak kau semula, kau dari jin dan kami dari manusia. Tidak serupa cara hidupnya,” suara datuk meninggi. Lembaga hitam itu bertambah besar. Dua tiga pokok besar yang dirempuhnya habis tumbang.

Seluruh kawasan itu saya rasa seperti dilanda ribut taufan yang amat kuat. Saya terdengan bunyi burung gagak berbunyi dan dalam saat itu juga burung gagak datuk terbang menuju ke lembaga itu. suasana menjadi tenang. Lembaga hitam hilang dari pandangan saya. Datuk segera bangun dan mendapatkan saya.

“Kita ke rumah Timah,” perintah datuk. Saya pun ikut perintahnya. Bukan lah suatu perkara yang mudah berjalan dalam gelap. Dua tiga kali saya terjatuh tapi bangun semula. Akhirnya kami sampai rumah Timah. Lama juga kami di situ, tidak ada sesuatu pun yang dapat kami lihat. Semuanya macam biasa.

Datuk mengajak saya pulang ke rumah Ketua Kampung. Datuk menunaikan sembahyang Ishak. Sesudah makan, datuk mengajak Ketua Kampung ke rumah Timah kembali. Kali ini datuk menyuruh saya dan Ketua Kampung berpecah, mencari tempat perlindungan masing-masing. Datuk memakai baju hitam dan seluar hitam. Dia membawa tiga batang serai, tiga puntung kayu yang sudah menjadi arang serta sebatang paku. Datuk tidak memakai seluar hitam, dia memakai seluar kuning dan mengikat kepalanya dengan kain putih. Badan mula merasai kedinginan. Embun jantan mula menitik. Angin malam yang bergerak melanggar dedaun di halaman rumah. Dedaun yang berlaga sama sendiri itu melahirkan bunyi tidak menentu. Bunyi katak bersahut-sahutan sesekali terdengar bunyi suara anjing bertingkah dengan bunyi suara burung hantu dan jampok.
Saya lihat pintu rumah Timah berkuak dengan sendirinya. Sinar lampu minyak tanah menerangi sebahagian dari halaman rumah itu. saya lihat ada bayang-bayang hitam berdiri di muka pintu. Serentak dengan itu terdengar bunyi suara orang lelaki batuk bertalu-talu. Saya berlari mendapatkan datuk. Saya duduk di sisinya, tiba datuk menyepak pangkal peha saya, saya terduduk.

“Jangan dekati aku,” katanya.

Saya pun segera menjauhkan diri darinya. Datuk membakar kemayan dan membakar sesuatu. Dari rumah Timah terdengar suara lelaki. Anjing kian kuat melolong. Saya terdengar kicau burung murai ditengah malam. Bulu roma saya berdiri. Ketua Kampung datang ke tempat saya dan datuk.
Perhatian kami tertumpu pada pintu rumah Timah yang terdedah. Saya lihat seorang lelaki sedang duduk di muka pintu sambil menghisap rokok. Mukanya tidak berapa jelas kelihatan. Angin malam terus bertiup.

“Kau kenal siapa tu?” tanya datuk pada Ketua Kampung. Ketua Kampung terdiam. Dia terus menumpu perhatian pada rumah Timah.

“Latif, laki Timah,” katanya pendek. Datuk angguk kepala. Datuk meletakkan tiga batang serai di depannya. Tangannya menggenggam paku.

“Itu bukan latif, Itu hantu raya,” kata datuk. Sebaik saja datuk selesai bercakap, seketul batu melayang ke arah Ketua Kampung. Kerana Ketua Kampung juga pandai bersilat, dia mengelak. Batu terkena pangkal pokok. Datuk mencabut keris lalu menikam bumi. Ketika datuk mencabut keris pintu rumah Timah terkaup dengan sendirinya. Kami bertiga masuk ke bawah rumah Timah. Apa yang kami dengar Timah bercakap sesuatu. Kami juga terdengar suara Timah merayu dan suara lelaki sedang di lamun berahi yang kuat. Suara Timah bertambah manja dan mengerang kepuasan.

“Hantu tu sedang berkasih dengan Timah,” datuk memberitahu Ketua Kampung.

Datuk menikam tiang seri rumah Timah dengan sekuat hati. Bila datuk mencabut keris rumah Timah bergegar. Semua barang yang ada dalam rumah bergerak dan jatuh ke atas lantai. Timah menjerit dan terjun ke halaman rumah. Terjelepok Timah di situ. Satu lembaga hitam yang besar terus mengangkat Timah yang tidak sedar diri itu.

Datuk menyerbu ke arah lembaga hitam itu. datuk melintas di depannya. Ketua Kampung dan saya turut sama ke situ.

“Berhenti, kau syaitan.,” jerit datuk.

Lembaga hitam itu melepaskan Timah ke atas bumi. Dia merenung tajam ke arah datuk.

“Latif…,” pekik Ketua Kampung.

Lembaga hitam itu segera bertukar menjadi lelaki yang berbadan kurus, berkain pelekat tanpa baju dengan rambut tak terurus. Dia membuka langkah mengatur silat.

“Tidak ada jalan lain, kita mesti memusnahkannya malam ini juga, kalau sudah sampai subuh kita berjaya membunuhnya selama-lamanya kita tidak akan dapat melenyapkannya dari kampung ini,” ujar datuk.

Mendengar cakap datuk, lelaki kurus itu bertambah marah dan bertukar menjadi lembaga yang hitam sehitam bulu burung gagak. Seluruh badannya berbulu. Matanya kelihatan mengeluarkan cahaya.

Datuk mengambil tiga batang surai sambil mengacu-ngacu ke arahnya. Setiap kali serai itu di lihatnya, lembaga hitam itu akan menjerit. Seluruh kampung bergema dengan jeritannya yang amat menakutkan itu. Lembaga itu menutup matannya dari melihat batang serai. Datuk lalu menayangkan pula kepak burung gagak ke arahnya. Lembaga hitam itu berguling-guling di atas tanah bagaikan menahan kesakitan.

“Aku tahu asal usul mu dan roh mu tidak diterima bumi, aku akan menyempurnakan diri mu kerana engkau adalah manusia yang berasal dari tanah dan ke tanah juga lah engkau kembali,” kata datuk. Lembaga itu terus berguling-guling.

“Dia bini aku,” secara mendadak lembaga itu bersuara dan bangun. Datuk tergamam. Dalam rasa cemas itu lembaga hitam menerpa ke arah datuk sambil kedua-dua belah tangannya yang hitam berbulu tebal menekan batang leher datuk

~bersambung~ 15. Dikejar Mayat

Posted in Bercakap Dengan Jin | Leave a Comment »

13. Penunggu Hutan Hulu Kinta

Posted by putera2info on October 27, 2009

Datuk terus berbisik kepada saya, “tidurlah, esok kau akan tahu apa yang dah terjadi,” saya angguk kepala dan cuba memejamkan mata dengan harapan saya akan terus terlena. Usaha saya itu gagal sama sekali. Tetapi banyak perkara yang menakutkan datang dalam kepala saya. Datuk tahu dengan apa yang saya alami. Dua kali dia menghembus muka saay, kemudian memicit batang leher saya mencari urat tidur. Bila urat tidur itu dipicitnya, mata saya terasa berat sekali. Akhirnya saya terlena.

Bila saya membukakan kelopak mata, saya lihat datuk sudah pun selesai sembahyang subuh. Tanpa banyak bicara saya terus ke perigi mengambil air sembahyang. Bila saya mahu memulakan sembahyang saya lihat datuk menyandarkan badannya ke dinding. Kedua belah kakinya diluruskan.

“Aku harap kau akan jadi orang Islam yang teguh dengan rukun yang lima bila kau sudah jadi macam aku,” ujar datuk sebaik saja saya menyelesaikan perintah Allah. Saya tersenyum.
“Sembahyang itu tiang agama, kita pandai bercakap dan tahu hukum agama tidak bererti, kalau kita tidak sembahyang,” tambahnya sambil bangun. Datuk berdiri di muka pintu melihat matahari pagi yang mula terbit di kaki langit. Bunyi kicau burung mula kedengaran. Datuk turun ke tanah. Datuk turun ke tanah. Saya mengikutinya dari belakang. Sampai dekat pokok besar datuk berhenti berjalan.

“Kenapa ? Datuk tak mahu mandi embun pagi ni ?” tanya saya.

“Mandi, tapi aku nak mencari mayat Kidon dulu.”

“Aku agak di kawasan ni, kau cari arah matahari terbit dan aku arah matahari jatuh.” ” Baiklah Tok.”
Saya berjalan menuju ke arah pokok jejawi besar. Lebih kurang dalam dua puluh langkah mahu sampai ke pangkal pokok jejawi besar, saya terserempak dengan mayat Kidon. Badan saya menggigil saya lihat mayat Kidon tanpa kepala. Seluruh badannya bercalar, macam digaru oleh binatang buas. Datuk pun segera saya panggil.

“Kenapa ?” soal datuk

“Mayat.”

“Mayat,” suara datuk menurun. Dia pun melangkah menuju ke arah mayat Kidon. Datuk mematahkan anak-anak pokok lalu menutup mayat Kidon.

“Kita mandi embun dulu,” kata datuk dengan senyum.

“Mayat ni macam mana tok ?”

“Biarkan di situ dulu, lepas mandi embun baru kita uruskan, baru kita beritahu pada orang kampung.”

“Saya faham tok.”

Pagi itu, kami berjalan di tepi hutan kecil sambil mandi embun. Badan terasa cukup segar. Bila mandi embun selesai. Datuk terus menemui ketua kampung. Kerana Kidon tidak mempunyai sanak saudara, urusan pengkebumian mayatnya diuruskan oleh pesatuan khairat kematian kampung itu. Ketua kampung memberitahu pada semua penduduk, bahawa kematian Kidon di baham oleh harimau. Perkara yang serupa itu juga dilapurkan kepada pihak polis. Sejak kematian Kidon, Kampung Hulu Kuang tidak lagi diancam toyol yang mencuri wang penduduk dan barang-barang yang berharga.

Seminggu selepas itu kematian Kidon, pondoknya terbakar dengan sendiri waktu dinihari. Akhirnya orang-orang kampung tahu juga yang Kidon membela toyol jadi-jadian. Mereka datang mengucapkantahniah atas kejayaan datuk.

“Saya tidak membunuh Kidon, dia mati dimakan oleh toyol yang diciptanya sendiri, biasanya toyol jadi-jadian boleh mendurhaka pada tuannya, itulah kepala Kidon hilang,” kata datuk pada pada orang-orang kampung yang melawat pondok Kidon yang terbakar itu.

Waktu datuk mengkais-kais di kawasan rumah Kidon yang sudah dimakan api, datuk menemui tengkorak. Datuk yakin tengkorak itu ialah tengkorak Kidon. Masuk minggu kedua Kidon dikuburkan orang-orang kampung terdengar bunyi suara lelaki menjerit dari tanah kubur waktu malam. Bila disiasat ternyata suara itu datangnya dari kubur Kidon. Orang-oang kampung terpaksa membacakan Surah Yassin selama dua minggu di surau, mohon pada Allah supaya suara menjerit itu tidak kedengari oleh orang-orang kampung. Akhirnya dengan kuasa Allah yang maha besar suara itu tidak kedengaran lagi.

Menurut Imam Masjid kampung tersebut, perkara itu berlaku adalah dengan kuasa Allah yang mahu memperlihatkan kepada manusia di dunia, bahawa sesuatu yang dilakukan tidak mengikut atau terkeluar dari hukum-hukum agama akan mendapat balasan yang setimpal dari perbuatannya itu.

“Orang-orang islam yang baik mendapat rezeki yang halal melalui titik peluhnya sendiri, Islam menyuruh umatnya berusaha dengan cara yang baik, saya harap apa yang terjadi pada diri Kidon akan menjadi pelajaran pada kita semua.” Imam Kampung Hulu Kuang yang berbadan tegap itu memberitahu pada semua penduduk di satu petang di dewan orang ramai. Dalam jangkaannya, saya dan datuk akan meninggalkan Hulu Kuang pada petang Khamis kerana pada malam Jumaat datuk akan bermalam di rumah isteri mudanya orang bunian. Jangkaan itu tidak terlaksana. Waktu saya bersiap-siap pada petang Rabu seorang lelaki dari Tanjung Rambutan mengajak datuk menembak kijang di Hulu Kinta.

“Saya setuju, tapi macam mana sekarang musim dharurat,” datuk bertanya pada orang yang mengajaknya. Orang itu ketawa.

“Sebenarnya, saya memang ada memasang jerat pelanduk, kancil dan lain-lain di hutan Hulu Kinta, kita dikenakan perintah berkurung pada waktu malam saja,”

“Jadi.”

“Kita boleh pergi pada waktu siang.”

“Hum begitu.”

“Tentu Setuju.”

Pada pagi Khamis, saya dan datuk menaiki bas dari Chemor ke Tanjung Rambutan. Dari situ berjalan kaki menuju ke batu lapan. Belumpun pukul sepuluh kami sudah berada di dalam hutan tebal. Sebelum itu kami melapurkan diri di Balai Polis Tanjung Rambutan dan menyatakan tujuan kami masuk ke dalam hutan. Kawan baru datuk itu memberikan senapang kampunnya untuk digunakan oleh datuk di samping itu dia juga menyuruh datuk membuat beberapa jerat baru. Sampai di satu kawasan, kawan baru datuk menyuruh saya dan datuk menuju ke arah sebuah anak bukit yang menurutnya di situ ada beberapa jerat yang sedang dipasang. Sedangkan dia menuju ke arah lain.

Berpeluh juga saya berjalan dalam hutan itu. Satu keistimewaan datuk yang tidak terdaya saya melawannya ialah, dia terlalu cepat bergerak dalam hutan. Dahan-dahan dan pokok-pokok yang dipijaknya tidak berbunyi. Saya terkejut besar bila seekor harimau dengan tiba-tiba muncul dari balik rimbun pokok salak jambi. Matanya tajam merenung saya. Ekornya bergerak-gerak.
“Ah, kamu jangan kacau aku nak lalau di sini, pergi cari makan tempat lain,” begitulah datuk berdialog dengan harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang datuk katakan itu. Dia bergerak perlahan-lahan dan akhirnya menghilangkan diri dalamhutan yang tebal itu.

“Berhenti,” datuk memamaut bahu saya.

“Kenapa tok ?”

“Sembunyikan diri balik pokok.” saya pun akur dengan cakap datuk. Dia meniarap di pangkal pokok besar. Saya juga begitu. Datuk mencangkung, macam kucing mahu menerkam sesuatu. Mata datuk tajam melihat pada rimbun anak-anak pokok yang bergerak. Seekor kancil muncul di depan kami. Datuk melompat bagaikan kucing, dalam sekelip mata saja dia berjaya menangkap kancil lalu dimasukkan ke dalam guni.

Kawasan yang kami masuk itu, sekarang sudah dijadikan pusat latihan dan rumah pasukan polis hutan- Hulu Kinta. Hutan tebal yang kami jelajahi dulu, sudah digantikan dengan hutan rumah pangsa yang bertingkat-tingkat. Datuk dan saya terus berjalan, kalaulah datuk itu adik saya sudah pasti saya menarik tangannya pulang, saya terasa bosan berjalan dalam hutan yang tebal dan lembab, dnegan bermacam-macam bunyi burung hutan. Saya merasakan kesal mengikutnya, kalaulah saya mengikut cakap adik datuk yang menyuruh saya tinggal di rumah tentulah saya tidak mengalami kesengsaraan semacam ini.

Bila saya fikirkan dalam-dalam, ada baiknya menurut datuk berburu dalam hutan. Dapat menambahkan pengalaman saya sendiri. Kepala dah hati terus melayan perasaan, kaki terus juga melangkah meredah duri dan onak. Saya mula terasa dahaga, tekak terasa cukup kering,

“Saya dahaga tok.”

“Kau memang banyak ragam, tadi gatal sangat nak ikut.”

“Jahanam.” Datuk merungut panjang sambil menyambung, “jalan ke depan lagi kalau-kalau ada paya atau kolam, lepas tu kau minum sampai bengkak perut,” datuk terus menolak saya. Ramalan datuk tepat, dua puluh langkah melangkah ke depan kami bersua dengan sebuah paya airnya cukup jernih. Bila saya mahu minum datuk segera menahan.

“Jangan minum.”

“Saya haus tok.”

“Minum di sini, datuk pun mencetus akar besar yang tergantung dari sepohon pokok rendang. Bila akar itu dipotong, darinya keluar air yang bersih. Dan air itu terus saya minum. Dahaga saya terus hilang. Bila saya merenung ke arah paya yang berair jernih, saya lihat air di paya itu bergerak-gerak . Di tengah perut paya itu terdapat seketul batu besar macam bentuk kapal. Saya terdengar bunyi suara orang ketawa panjang tetapi bentuk manusia memang tidak kelihatan.

“Ada suara tok.”

“Aku tahu, aku mendengarnya kerana itu aku tidak membenarkan kau meminum air paya.”

“Kita balik saja tok.”

“Tak usah kita tengok apa yang terjadi.”

Datuk dan saya pun segera bersembunyi di dalam rumpun pokok-pokok hutan. Sya lihat seorang perempuan berkulit putih berambut panjang sampai ke pinggang. Perempuan itu berkemban berenang ke tengah dan ke tepi sambil ketawa. Tiba-tiba perempuan itu hilang. Cuma yang tinggal di tengah paya ialah gelombang air yang beralun-alun memburu tepi paya.

“Siapa tu tok,” saya menyoal.

“Penunggu paya, jangan tunggu lama di sini, susah kita ,” datuk dan saya mula mengubah haluan, kami berjalan ke arah selatan. Datuk mula terasa sesuatu yang ganjil. Dia menyatakan rasa sangsinya terhadap kenalan barunya yang mengajak dia masuk hutan tadi.

Dia mula merasa kesal menerima pelawaan kawannya itu. Lebih aneh lagi kenalan barunya itu tidak pula menjumpai orang-orang di Hulu Kuang sebelum menemuinya. Masa melapurkan diri di Balai Polis Tanjung Rambutan, anggota polis bertugas di situ tidak menyoalnya, seolah-olah kenalan baru datuk itu wujud di depan anggota polis itu, meskipun kenalan datuk itu berdiri di depannya.

“Keganjilannya baru aku sedar sekarang,” rungut datuk. Saya tersenyum. Tetapi wajah datuk kelihatan muram membayangkan rasa kesal yang amat berat dideritainya.

“Aneh juga kawan kita tu, aku bagaikan terpukau. Apakah dia benar-benar manusia atau jin atau syaitan,” sebaik saja datuk berhenti bercakap, kenalan barunya terpacul di depan kami. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan datuk. Datuk menyambutnya. Mulut datuk bagaikan terkunci. Tidak terlahir kata-kata. Kata kenalan datuk itu menundingkan jarinya ke arah barat daya. Datuk angguk kepala lalu menarik tangan saya ke arah barat daya. Bila datuk dan saya menoleh ke belakang, kenalan datuk itu sudah tiada lagi.

Saya terasa bulu tengkuk saya meremang. Bau harum dan wangi mula menusuk lubang hidung saya dan datuk.

Datuk dan saya tidak berkata walau sepatahpun kami terus berjalan hingga sampai ke tebing Sungai Kinta. Di seberang sungai terdapat perkampungan orang asli. Perkampungan orang asli itu sekarang terkenal dengan nama Kinta Intek, kebanyakkan orang asli di situ sudah memeluk agama Islam.

Matahari sudah mula condong, bunyi deru air Sungai Kinta memekakkan lubang telinga. Datuk dan saya terus membasuh muka. Tidak jauh dari tempat kami berdiri terdapat sebuah jambatan merintangi sungai tersebut. Di sekitar kawasan jambatan itu sekarang jadi tumpuan orang ramai setiap hari Ahad untuk berkelah.

“Ke mana kita nak pergi tok, ” saya menyoal datuk.

“Nampaknya ada orang mahu menguji ilmu aku, tapi biarkanlah, ilmu yang aku tuntut untuk kebaikan . Allah yang tahu hati aku,” datuk bagaikan mengeluh. Dia turun ke dalam sungai dan mandi. Lepas mandi datuk tukar pakaian, memeng datuk membawa dua pasang pakaian satu untuk dipakai waktu berjalan dalam hutan, mana kala satu lagi digunakan untuk sembahyang. Datuk terus sembahyang asar di tepi sungai. Marah juga datuk pada saya kerana tidak membawa pakaian yang bersih untuk sembahyang.

Lama juga datuk duduk berehat di tepi sungai. Dia membaca sesuatu dan mengambil seketul batu. Batu itu dilemparkannya ke dalam sungai. Saya diam saja. Biarlah datuk melakukan apa saja yang difikirkannya patut. Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu, saya tercium bau yang cukup wangi. Saya kira kenalan baru datuk akan menjelma di depan kami. Bau wangi itu hilang, kenalan datuk tidak juga menjelma.

Saya terus melihat langit, matahari kain condong ke barat. Hati saya sudah menggelabah. Datuk masih juga tenang dan damai.

“Kita balik saja,” datuk memberitahu saya. Cepat-cepat saya anggukan kepala. Saya dan datuk berpusing-pusing dalam hutan Hulu Kinta mencari jalan keluar. Kami tidak dapat menemui jalan yang mana kami lalu tadi, yang anehnay ialah sejauh mana kami bergerak, baik arah matahari jatuh atau matahari naik, kami akan sampai juga ke tepi tebing sungai, malah untuk sampai ke jambatan di sebelah hilir sungai kami tidak berdaya. Jambatan itu nampak dekat dan kami boleh melihat orang asli berjalan di atasnya, tapi kami tidak dapat menembusi hutan tebal untuk sampai ke jambatan. Berkali-kali diusahakan untuk pergi ke situ tetapi kami gagal juga. Pergi balik pergi balik kami tetap berlegar-legar di kawasan tepi sungai itu juga.

Hari mula remang senja. Datuk menggunakan segala kepandaiannya, ternyata kepandaian datuk tidak berguna sama sekali di dalam hutan Hulu Kinta. Akhirnya datuk memutuskan untuk bermalam saja di tepi tebing sungai tersebut. Waktu saya mahu pergi ke dalam perut sungai, saya terserempak dengan seekor ular, sebesar batang kelapa. Saya menjerit. Datuk segara menghampiri saya. Datuk juga terkejut melihat ular besar itu. Lama juga datuk menenung mata ular itu.

“Matanya berkedip.” Kata datuk dengan penuh semangat.

“Kenapa, mata ular tidak berkedip ke datuk ?”

“Biasanya begitulah, kalau berkedip tu, tandanya jin atau bukan ular biasa.”

Saya terdiam mendengar penerangan datuk itu. Lagi sekali, saya dan datuk tercium bau wangi yang amat sangat. Hari bertambah gelap. Fikiran saya bertambah kacau. Datuk terus mengadap ular besar. Perlahan-lahan ular itu membuka lingkarannya. Dalam sekelip mata saja, ekornya menjunam ke dalam sungai. Air sungai yang mengalir deras jadi tertahan. Saya lihat air sungai mula melimpah ke atas terbing. Menenggelamkan batu-batu besar di tengah sungai di bahagian hulu, manakala di bahagian hilir sungai, saya lihat air tidak mengalir.

Saya perhatikan datuk bercakap sesuatu dengan ular tersebut. Setiap kali datuk mengahkiri percakapannya, ular itu mengerakkan kelopak matanya. Ular itu bagaikan mengerti dengan apa yang datuk cakapkan. Datuk menyuruh saya menutup mata. Saya patut pada cakapnya. Masa saya menutup mata itu saya terdengar bunyi suara angin yang cukup kuat. Saya juga terdengar bunyi dahan patah dirempuh angin. Bumi yang saya pijak saya rasa bergerak macam berlaku gerak gempa yang cukup dahsyat.

“Buka mata,” ujar datuk.

Saya pun membuka mata. Saya dapat diri saya dan datuk berada di sebuah surau tua. Saya terdengar suara Azan. Seorang lelaki berjubah hijau, berjanggut separas dada menyuruh saya dan datuk mengambil air sembahyang, orang tua berserban hijau itu menjadi Imam sembahyang Maghrib. Selepas membaca doa, orang tua berserban hijau itu menghantar saya dan datuk ke perkampungan orang asli. Dia menyerahkan saya pada penghulu orang asli yang dipanggilnya dengan nama tok batin bah aloi. Dia juga menyuruh penghulu orang asli itu menghantar saya dan datuk ke jalan besar Tanjung Rambutan – Ipoh pada siang esoknya. Penghulu orang asli itu memberi pengakuan akan membuat apa yang diperintahnya.

Bila orang tua itu membuka serban dan bersalaman dengan datuk, barulah saya kenal bahawa orang tua itulah yang menjadi kenalan baru datuk itu. Dia mengucapkan terima kasih pada datuk yang telah membinasakan Kidon. Dia juga mengingatkan datuk supaya jangan datang ke hutan Hulu Kinta tanpa menemuinya terlebih dahulu. Menurutnya, kawasan hutan Hulu Kinta adalah kawasannya. Dia juga meminta datuk memulangkan kancil yang ditangkap oleh datuk.
“Kalau kamu tidak menangkap binatang peliharaan aku, kami tidak akan sesat di sini,” katanya dengan senyum.

“Tapi, awak yang mengajak saya ke mari berburu ?”

“Saya mahu menguji sejauh mana awak boleh menghargai nyawa makhluk lain,” katanya dengan senyum.

“Saya jadi bingung dengan perbuatan kamu,” tingkah datuk.

Jangan bingung, selain dari manusia ada makhluk lain diam di bumi ini, kamu harus mengenali mereka, tapi kau terlebih dulu mengenali kekuasaan Allah yang menjadikan langit dan bumi,” tambah lelaki serban hijau. Kemudian dia menghilangkan diri. Sebelum tidur, penghulu orang asli memberitahu saya dan datuk dia telah memeluk agama Islam. Orang bertanggung jawab mendorong dia memeluk agama islam ialah lelaki serban hijau itu. Saya menggigit lidah mendengar cakapnya. Datuk pun menceritakan semua peristiwa yang kami alami pada penghulu orang asli. Dia ketawa. Menurutnya ular besar memang selalu ditemui oleh anak buahnya. Anehnya ular itu tidak pernah membinasakan orang.

“Kalau dia lahu di depan rumah kami, waktu senja menunjukkan ada perkara yang tidak baik akan berlaku, tiga bulan dulu dia melintas waktu senja di kampung kami, seminggu kemudian anak saya mati lemas,” kata penghulu orang asli. Saya dan datuk anggukkan kepala.

“Lelaki serban hijau tu siapa tok batin ?” tanya saya

“Haji Lokman,” jawab penghulu orang asli. Selepas tida ada pertanyaan yang keluar dari mulut saya atau datuk. Saya dan datuk disuruh tidur di bahagian depan rumah penghulu itu. Pagi esoknya atas permintaan datuk penghulu orang asli itu membawa saya dan datuk ke kawasan tempat kami bertemu dengan lelaki serban hijau itu. Tidak terdapat sebarang kesan atau tanda kawasan itu pernah didiami oleh sesiapa pun.

“Di tempat ni tak ada apa-apa, dulu kami jumpa orang komunis bunuh diri di sini,” tanpa diminta penghulu orang asli menerangkan.

Saya dan datuk dihantar oleh penghulu orang asli hingga ke tepi jalan besar. Datuk dan saya membuat keputusan untuk berjalan kaki sahaja pergi ke Pekan Tanjung Rambutan yang jaraknya kira-kira dua batu saja. Sedang seronok melangkah, kenalan baru datuk muncul di depan kami dalam masa dua saat, kemudian dia menghilangkan diri. Sebaik saja saya dan datuk sampai di depan balai polis Tanjung Rambutan, beberapa orang Hulu Kuang bersama adik datuk tersenyum memandang kami, mereka sedang merancang untuk mencari kami di dalam hutan.

~bersambung~ 14.Bersuamikan Hantu Raya

Posted in Bercakap Dengan Jin | Leave a Comment »

12. Toyol Jadi-Jadian

Posted by putera2info on October 27, 2009

Kalaulah bukan datuk yang mengejutkan saya di tengah malam buta itu sudah pasti kena penendang sulung saya. Kerana datuk, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Terpaksa saya terima dengan manis muka, mestipun hati meradang dengan perbuatannya.

“Kenapa tok?” tanya saya sambil mengesel-gesel kelopak mata. Datuk tersenyum sambil meraba-raba misai bengkoknya yang macam tanduk seladang jantan. Sekali-kali misainya turut bergerak.

“Kita sudah hampir pada matlamatnya.”

“Matlamat apa tuk?”

“Mencari orang yang jadi tuan toyol.”

“Kalau kau faham baguslah.”

Datuk merebahkan badannya di sisi saya. Memang saya tidak sedar waktu mana datuk bangun. Bila saya buka kelopak mata, datuk sudah sudahpun selesai sembahyang subuh. Dia memaksa saya pergi ke perigi sendirian untuk mengambil air sembahyang. Saya patuh dengan cakapnya itu.
Datuk tidak dapat dapat melupakan kebiasaannya berjalan berbatu-batu sambil membasuh muka dan badannya dengan air embun waktu pagi. Datuk pula tidak mengambil semua air embun di daun kayu untuk membasuh muka dan badannya. Dia memilih jenis daun yang tidak miang atau gatal. Cara dia menyapu air ke muka juga agak ganjil. Dia memulakan dari pangkal dagu membawa ke atas hingga sampai ke gigi rambut. Kemudian baru dia membasuh kedua belah keningnya. Paling akhir sekali dilakukannya ialah memasukkan air ke dalam lubang hidung hingga bersin.

Kemudian datuk akan memijak rumput hijau tujuh kali ke arah matahari naik dan enam langkah ke arah matahari jatuh. Kebiasaannya itu, dibuatnya juga semasa dia berada di Ulu Kuang dekat Chemor, apa yang datuk lakukan saya terpaksa membuatnya dan datuk berjanji, pada suatu hari kelak, bila umur saya genap dua puluh satu tahun dia akan memberi beberapa mentera yang perlu dibaca bila mandiair embun.

Pagi itu, berjalanlah saya bersama datuk di pinggir Kampung Ulu Kuang sambil mandi air embun. Saya terasa seronok melihat matahari pagi dengan sinar yang kilau-kilauan di celah-celah pokok besar. Bila sinar matahari itu menikam air embun di hujung daun, kelihatan bermanik-manik dan sungguh menarik sekali.

Damai dan terhibur hati saya mendengan bunyi kicau beburung hutan yang bermacam ragam dan bermacam rupa yang terbang dan melompat dari dahan ke dahan. Sambil berjalan datuk memberitahu nama-nama burung yang saya nampak. Bilan matahari mula meninggi satu galah, saya dan datuk sudah jauh meninggalkan pinggir Kampung Ulu Kuang. Kami memasuki satu lorong kecil menuju ke arah sebuah anak bukit. Di kaki bukit itu ternampak sebuah pokok berdinding tepas dan beratapkan daun rumbia. Tiangnya dari kayu hutan jenis bulat. Dalam jarak lima puluh langkah mahu sampai ke halaman pondok itu datuk berhenti berjalan.

“Kenapa datuk?” tanya saya ragu-ragu. Datuk diam, kedua belah tangannya dilekapkan atas dada. Kedua belah kelopak matanya dirapatkan. Datuk melangkah tujuh tapak ke depandan berdiri atas kedua belah tumit kakinya beberapa detik. Bila mata dibuka dan kedua belah tangan diluruskan serta tapak kaki memijak bumi, datuk kelihatan tersenyum.

“Memang tidak salah penglihatan aku malam tadi, cahaya dari tanah kubur itu menuju ke sini, “dengan tenang datuk bersuara. Saya jadi termanggu-manggu.

“Kita balik, kalu kita maju, kita bahaya,” datuk pun menarik tangan saya. Kami berpatah balik menuju ke rumah adik datuk.

Sepanjang jalan pulang itu datuk tidak banyak bercakap. Dia lebih banyak memerhatikan gerak geri rumput dan dedaun. Saya faham benar, bila datuk berbuat demikian ertinya dia menumpukan seluruh perhatinnya pada sesuatu benda yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran manusia biasa. Saya kira, fikiran dan perasaannya tertumpu ke satu alam yang lain.

Saya tidak berani bertanya padanya tentang hal itu. Saya takut dia naik angin. Kalau datuk naik angin, saya kena maki dengan percuma. Kalau datuk tidak maki, dia akan menjegilkan biji matanya sebesar telur ayam hutan.

“Jauh berjalan pagi ni,” soal adik datuk sebaik saja kami tiba di kaki tangga. Dia baru saja melepaskan ayam di reban. Saya tidak menjawab kecuali tersenyum panjang.

“Macam biasa,” balas datuk. Kami terus membasuh kaki dan memijak tangga naik ke rumah.

Di rumah tengah rumah sudah tersedia sarapan. Air kopi pekat dan rebus ubi kayu serta kelapa parut.

“Rumah siapa dekat belukar tu,” datuk mengkemukakan soalan. Adik datuk terdiam mengingati sesuatu.

“Rumah Kidon.”

“Orang sini jati?”

“Tidak, macam kita juga berasal tanah seberang.”

“Orang Padang ke orang Jambi.”

Pertanyaan datuk itu segera dijawab oleh adiknya. Saya sudahpun berhenti makan ubi rebus, Isteri adik datuk sudah turun ke tanah pergi ke ladang. Bila pertanyaan itu tidak mendapat jawapan, datuk tidak lagi mahu mengemukakan pertanyaan. Dia terus menghirup air kopi dengan tenang.

“Dari Sumatera katanya dari keturunan Batak,” tiba-tiba saja adik datuk bersuara.

“Ada bini tak?” cara tidak sengaja saya bertanya. Datuk menjeling tajam pada saya.

“Dah mati, bininya orang Kedah, emak bapanya bininya menetap di Kuala Kangsar” terang adik datuk dengan jujur.

“Ada anak?’ cepat-cepat datuk meningkah.

“Tak ada, bininya tu mati bersalin anak sulung,”

“Hummmm…,” suara datuk perlahan. Dia menekan pipi kirinya dengan tangan kanan. Terus-terang datuk menyatakan pada adiknya, bahawa dia perlu duduk di Ulu Kuang paling kurang enam bulan. Datuk juga meminta adiknya membuat sebuah pondok untuk diri dengan alasan senang untuk beramal ibadat serta berusaha menghancurkan tuanpunya toyol jadi-jadian. Permintaan datuk itu tidak keberatan untuk dipenuhi oleh adiknya.

Seminggu kemudian, terpacaklah sebuah pondok baru di Ulu Kuang Chemor yang didirikan secara gotong-royong oleh penduduk-penduduk di situ. Saya dan datuk pun pindahlah ke pondok baru.

Perkara yang tidak menyenangkan hati saya, bila duduk di pondok baru, ialah bila bulan menggambang penuh. Ketika itu kelihatanlah beberapa ekor harimau besar di depan pondok. Dari atas pondok datuk melompat ke tanah lalu bersilat dengan harimau-harimau itu.

Sekiranya, datuk malas ke tanah kerana badannya terlalu letih. Harimau-harimau itu akan menjulurkan ekornya dari celah lantai buluh. Datuk akan mencium atau mengurut-urut ekor harimau itu sambil membelitkan ke batang lehernya. Bila terdengar bunyi suara burung jampok atau burung hantu, barulah datuk memerintahkan harimau-harimau perliharaannya pulang.

“Ambilkan aku kain putih, mangkok putih, taruh air dalam mangkok putih separuh, kain putih letakkan ke dinding,” datuk mengeluarkan perintah pada saya malam itu. Kalau tidak silap, malam itu malam Rabu kira-kira pukul sepuluh. Apa yang diperintahkan datuk saya lakukan dengan senang hati.

Datuk duduk bersila di tengan pondok, Asap kemenyan dari dupa melintuk-liuk memenuhi ruang pondok. Baunya semerbak. Datuk mengatur tujuh piring di depan. Piring tepi sebelah kanan ditaruh batang lengkuas, sementara di sebelah kiri ditaruh sebatang serai. Piring tengah ditaruh darah ayam yang disembelihnya petang tadi.

Tiba-tiba seekor kucing hitam melompat masuk ke tengah pondok melalui pintu yang terdedah. Kucing itu merenung muka datuk dengan tajam. Datuk menghalaunya, kucing itu tidak mahu bergerak. Saya lihat datuk mengeluarkan secekak tualng-tulang ikan dari karung yang terletak sebelah kanannya. Datuk melemparkan tulang-tulang ikan kering itu pada kucing hitam. Dengan tiba-tiba batang lilin yang menyala padam. Saya menyalakan lilin tersebut. Saya lihat kucing hitam sudah hilang dan tempatnya diganti oleh sebungkus kain hitam. Saya kenal, kain hitam itu kepunyaan datuk.

Datuk menyuruh saya memadamkan lampu minyak tanah. Sebatang lilin yang bercahaya dipadamkannya. Keadaan dalam rumah jadi agak samar-samar dan sepi sekali. Bunyi katak dan cengkerik jelas kedengaran. Sayup-sayup terdengar suara burung hantu ganas di ranting. Atap pondok bagaikan bergerak-gerak ditempoh angin. Serentak dengan itu terdengar bunyi air menimpa atap pondok. Bulu roma saya tegak berdiri bila terdengar bunyi suara orang perempuan ketawa dan menangis tersedu-sedu, dekat pokok tembusu di belakang pondok.

“Suara langsuir, bertenang cucuku, bertenang kitan mencari jalan kebaikan dan bukan jalan jahat,” bidik datuk ke telinga saya.

Datuk tidak bergerak bila seketul batu besar meluru masuk ke dalam pondok. Batu itu tepat mengenai pangkal bahu kiri datuk. Bila batu jatuh atas lantai, pondok kecil bergegar datuk tidak peduli. Dengan pertolongan cahaya lilin saya merenung ke muka pintu. Satu lembaga besar tanpa tangan, tanpa kaki dan kepala berdiri di situ.

Datuk menarik muka saya. Dia suruh saya melihat air dalam mangkok putih. Di luar guruh bersahut-sahutan sedangkan cuaca malam itu cukup baik.

“Pedulikan semuanya itu, sekarang kau tengok kain putih tu, apa yang kau lihat, jangan kau ceritakan pada sesiapa, kalau kau buat juga padahnya kau tanggung sendiri,” kata datuk, dia terus menabur kemenyan atas bara dalam dupa.

Saya terpaku, saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat pada kain putih. Saya raba ibu jari kaki saya, saya raba telinga kanan saya, semuanya ada dan saya tahu, bahawa apa yang saya lihat itu bukan mimpi. Saya melihatnya dalam keadaan sedar dan siuman.

Saya melihat pada kain putih itu, batang tubuh seorang lelaki sedang menggali kubur. Lelaki itu melakukannya waktu malam, Badannya kelihatan berpeluh.

“Itulah Kidon mengorek kubur anaknya,” datuk memberi tahu saya.

Saya lihat mata cangkul Kidon menyentuh papan keranda. Kidon meletakkan cangkul ke tepi lalu menyapu peluh di dahi sebentar.

Kidon mengambil sebatang besi lalu mencungkil papan keranda. Bau busuk membuat dia hampir-hampir muntah. Kidon tidak peduli semuanya itu. Dia turun ke dalam lubang kubur. Dia menatang mayat anaknya keluar dari dalam kubur. Diletakkan dekat pokok.

Kidon masukkan papan keranda kembali, kemudian menimbus lubang kubur seperti sedia kala. Kidon masukkan mayat anaknya ke dalam guni plastik berwarna hijau. Dia memikul cangkul dan besi di bahu kiri. Tangan kanannya menjinjing mayat anaknya, macam menjinjing ikan dari pasar.
Sampai di rumah Kidon membuka kain kapan anaknya. Mayat anaknya diletakkan atas para yang sudah disiapkannya terlebih dahulu. Dia membasuh mayat anaknya dalam baldi besar.
“Air basuh mayat itu, diambil dri tujuh kuala anak sungai,” beritahu datuk pada saya. Saya angguk kepala. Mata tidak berkelip melihat kain putih, macam menonton wayang gambar, cuma tidak ada iringan muzik saja. Datuk hanya menerangkan sesekali saja pada saya. Anehnya datuk tidak melihat apa yang terjadi pada kian putih. Kedua matanya pemjam rapat seperti orang tidur, dengkor nafasnya macam orang yang sedang tidur lena.

Ketika itu, saya seperti tidak berada di dalam pondok. Saya berada di satu tempat asing sungguh sunyi sepi sekali.

“Air itu diambil ketika remang-remang senja, bersama bunyi gagak,” ujur datuk.
Saya lihat Kidon membuka semua pakaian di badan. Dia sudah bogel. Tujuh bunga yang berlainan warna dimasukkan ke dalam baldi. Selesai memandikan mayat anaknya, Kidon merenjiskan pula dengan air sebanyak tujuh kali, mulutnya membaca susuatu Kidon basuh muka dan minum air yang telah digunakan membasuh mayat anaknya tadi.

Saya perhatikan,. Kidon melakukan semuanya itu dengan teliti. Setitik air pun tidak jatuh ke atas lantai. Mayat anak itu diletakkan atas para. Kidon ambil air mandi mayat anaknya. Disiramkannya ke atas kepalanya hingga ke hujung kaki.

Selesai dengan tugas itu, Kidon melumurkan mayat anaknya dengan abu dapur dan minyak kelapa. Mayat anaknya tiu dibawa masuk ke dalam satu bilik. Disitu sudah tersedia sebuah salai tergantung. Mayat anaknya diletakkan atas salai tersebut dan ditutup dengan kulit kambing.
Kidon keluar dari kamar itu. Masuk semula dengan membawa zing buruk. Zing itu diletakkan di bawah salai. Atas zing itu ditaruh kayu arang dan habuk-habuk papan. Kidon menghidupkan api. Bila kayu arang sudah menjadi bara, barulah dia beredar.

“Mayat itu disalaikan selama empat puluh empat hari, dan Kidon terpaksa berpuasa selama tujuh hari tujuh malam, amalan itu dikenali dengan nama puasa pati Geni,” datuk membisikkan ke telinga saya. Di kain putih saya lihat Kidon duduk dengan meletakkan kedua belah tangannya atas lutut kiri dan kanan. Dia membilang biji tasbih. Menurut datuk pekerjaan itu dilakukan tanpa diketahui oleh orang lain, selepas menjalani puasa tujuh hari barulah Kidon keluar rumah membuat pekerjaan biasanya iaitu menoreh getah di kebun Haji Ahmad Alam Shah. Bila mayat bayi sudah cukup disalai selama empat puluh empat hari, Kidon pun mencari dan menyediakan manisan lebah, pisang emas dan pisang embun. Kidon juga menyediakan sebuah katil lengkap dengan cadar dan bantal untuk seorang bayi.

Waktu tengah malam mayat itu pun diturunkan dari tempat salai, panjangnya cuma sejengkal dan besar lebih kurang sama besar dengan anak yang berusia dua tahun, sambil memangku bayinya di tangan kiri, Kidon membasahkan tubuhnya dengan air dengan tangan kanan. Dia terus berbisik dengan tenang ke telinga anaknya begini :

“Dengarlah anakku,
Perasaan dan hatimu
Bersatu dengan aku
Dua tubuh Satu harapanku
Kaulah yang mengerjakannya
Tujuh lapis bumi,
Tujuh lapis langit,
Bersatu di bukit Kaf
Bersemadi dalam diri kita.”

Selesai Kidon membisikkan pada telinga anaknya, dia menarik nafas panjang-panjang, kemudian bibir bayi yang kering itu ditiupnya. Dia melakukan ini selama tujuh pagi dan tujuh malam. Mayat bayi kering itu diletakkan di tempat tidur dengan berteman lampu yang terus menyala selama dua puluh empat jam. Kidon yang berbadan kurus itu, bertambah kurus kerana kurang tidur. Taou dia merasa pusa. Dalam tempoh beberapa hari lagi mayat anaknya akan dapat digunakan untuk mencari harta orang kampung. Dia terus membayangkan tentang kemewahan dan kesenangkan dirinya sendiri.

Masa yang ditunggu pun tiba. Kidon masuk ke dalam bilik bayi keringnya. Dia mencium ubun-ubun bayi kering itu. Tiba-tiba ubun-ubun bayi kering itu mengeluarkan asap setelah Kidon menggunakan jampi serapah. Bayi kering itu menjelma menjadi kucing jantan hitam. Menjilat-jilat tapak tangan Kidon. Kidon pun menepuk-nepuk kepala kucing hitam. Kidon menjilat kaki kucing dengan lidahnya. Kemudian Kidon memberikan belut kering pada kucing itu. Dalam masa beberapa saat saja, belut kering itu habis dimakan oleh kucing itu.

“Kau pergi ke rumah orang kaya, kau ambil wangnya separuh dan bawa kemari,” Kidon memerintah kucing hitam.

Kucing itu menggaru-garu paapn lantai akhirnya terjun ikut tingkap. Tugas Kidon setiap malam ialah menumpukan perhatian pada pelita minyak tanah di depannya. Jika api pelitanya bergoyang tanpa angin ertinya toyol jelmaannya dalam bahaya, bagi mengatasinya dia harus memadamkan api pelita itu dengan secepat mungkin. Toyol jelmaannya akan ghaib dari pandangan orang. Saya terkejut bila melihat Kidon tersungkur di kain putih.

“Ilmunya sudah aku tawarkan,” suara datuk keras.

Dia membuka mata. Air dalam mangkok putih tertumpah dengan sendirinya. Lilin yang padam menyala sendiri begitu juga dengan pelita minyak tanah. Saya lihat dari kain hitam keluar asap berkepul-kepil. Tulang-tulang ikan yang berserakan atas lantai berkumpul dengan sendiri dan bergerak masuk ke dalam karung di samping datuk. Bila asap dari kain hitam hilang. Datuk pun mengangkat kain hitam itu.

“Kau lihat,” ujar datuk pada saya. Saya menggigit bibir. Saya lihat mayat kering terdampar atas lantai pondok. Baunya cukup busuk. Tekak saya jadi loya dan mahu muntah dibuatnya. Datuk membiarkan mayat kering itu di situ.

“Kau pulangkan pada yang berhak,” datuk bersuara lagi sambil menyiramkan darah ayam pada mayat kering. Saya perhatikan mayat kering itu bagaikan bergerak-gerak. Bila datuk melangkah mahu duduk di tempat asalnya. Seorang lelaki muncul di muka pintu membawa parang panjang. Badannya kurus. Di luar bunyi suara burung hantu kembali menguasai malam yang sepi. Di bawah pondok terdengar bunyi suara perempuan menangis.

“Kau datang Kidon,” lantang suara datuk.

“Jangan buat aku begini, aku mahu hidup, jawab Kidon.

“Kerjamu salah di sisi agama. Kau menyiksa mayat anakmu. Kau jadi tuan pada toyol jelmaan ini. Aku tahu dalam minggu ini kau mahu mencari pasangannya, bukan begitu Kidon.”

“Memang benar, bergitulah rancangan aku, tapi aku terpaksa membatalkannya, kerana menurut firasatku ada oang yang tahu rancangan aku tu, orang itu adalah kau.”

“Sekarang, apa yang kau mahu dari aku Kidon?”

“Pulangkan toyol jelmaan itu pada aku, aku sembah kau, aku sujud pada kau, janganlah perkara ini dihebuhkan.”

“Aku tidak mahu menghebahkan pada sesiapa tapi toyolmu akan aku pulangkan ke tempatnya malam ini juga.” Datuk memberi keputusan muktamad.

Kidon terdiam seketika. Dia melompat turun dan menghilangkan diri dalam kegelapan malam. Suara langsuir ketawa kedengaran dengan jelas. Bila suara itu hilang, saya terdengan suara orang menjerit meminta tolong. Saya renung muka datuk. Dia kelihatan muram. Niat saya mahu bertanya padanya suara siapa yng menjerit itu jadi terbantut melihat wajahnya dalam keadaan begitu. Suara siapa itu? Saya bertanya dalam hati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dada saya. Dia pun rapat pada saya.

~bersambung~ 13. Penunggu Hutan Hulu KInta

Posted in Bercakap Dengan Jin | Leave a Comment »

11. Menunggang Harimau Di Tengah Malam

Posted by putera2info on October 27, 2009

Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibalingkan pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melempah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepuk dalam perut sampan.

“Dia sudah pergi,” kata datuk dan terus mengalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ datuk menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.

Dengan kereta polis kami menghantar Mr.Brown ke bunglownya. Kerana jam sudah pukul dua belas. Mr.Brown menyuruh saya dan datuk tidur di bunglownya. Kira-kira pukul dua pagi Mr.Brown menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan bunglownya sambil menjerit. Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan pekerja ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown. Mr.Brown terpaksa diikat di pangkal pokok getah di depan bunglownya dengan rotan seni. Dan datuk terpaksa menjaganya hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr.Anadurai terus menghubungi Hospital Lumut. Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah ambulan dari Hospital Lumut tiba. Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak pakaiannya dimasuk ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa ke Hospital Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital Besar Ipoh.

Lepas itu Mr.Brown dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown ditempatkan di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit Mr.Brown tidak juga mahu sembuh.

“Orang putih tu tak jujur,” datuk mengadu pada saya.

“Kenapa tok kata macam tu ?”

“Aku yakin dia tak jujur,” suara datuk merendah. Saya bertambah binggung kerana datuk tidak menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut. Datuk nampak resah saja sepanjang hari itu. Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.

“Aku mahu ke rumah orang putih bangsat tu, memanglah orang-orang dari England ni, satu bangsa yang tak boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita jadi pengkhianat pada diri kita sendiri,” datuk merunggut panjang. Dia pun mengenakan seluar hitam dan baju merah ke badannya.

“Buat apa datuk ke rumah dia ?” Dia bukan ada.”

“Kau mana tau, ini urusan aku.” Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di bawah rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. Lebih kurang pukul lima petang datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di pelantar basikalnya. Sebaik saja datuk menongkat basikal saya terus menghampirinya.

“Jangan pegang bungkusan tu.”

“Apa bendanya tok ?”

“Tanah yang diambil Mat Sallih bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg.”

“Tok nak buat apa dengan tanah itu.”

“Aku nak pulangkan balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.

Mendengar cakap datuk itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan malam itu saya menemani datuk menghanyutkan tanah di sungai. Datuk meletakkan tanah segumpal itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. Masa datuk melakukan semuanya itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma lulutnya saja yang kelihatan kumat-kamit membaca sesuatu.
Seminggu selepas datuk menghanyutkan tanah puaka itu. Datuk mendapat berita dari kerani besar ladang getah yang Mr.Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun dihantar ke England. Tempat Mr.Brown segera diganti oleh J.Mackintos dari Singapura, tetapi yang anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di bunglow. Setiap kali dia tidur di bunglow tersebut. Dia selalu saja diganggu oleh satu lembaga yang menyerupai Mr.Brown. Kadang-kadang pengurus baru tiu diangkat dari bilik tidur ke ruang dapur. Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman bunglow. Jadi, bunglow besar yang serba lengkap terbiar. Dalam tahun 1960 bunglow besar itu dibakar oleh seorang pekarja ladang getah yang naik darah kerana setiap malam dia terdengar bunyi orang menangis dalam bunglow tersebut. Sebaik saja bunglow itu hangus di makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang dari dalam bunglow itu hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok-pokok hutan.

Semua peristiwa itu dijadikan datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya begini : Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan jujur. Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Telalu sedikit manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya, bila kau menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiannya.

Saya cuma anggukkan kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan berselang, datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk memikat burung waktu malam. Saya tidak tahu bagaimana datuk teringatkan hal itu. Pada fikiran saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah memutuskan dalam hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama datuk pergi ke tempat tersebut.

“Minggu depan, petang Jumaat aku nak pergi,” datuk mengingatkan saya.

“Baguslah tu tok, barang-barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik.”

“Kau bagaimana ? Tak mahu ikut sama ?” tanya datuk.

“Saya malaslah datuk.” Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti petang Jumaat, datuk hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang dia menjenguk bini mudanya di kampung bunian. Pada suatu petang. Selepas datuk menemui isteri mudanya, dia memanggil saya. Cepat-cepat saya menghampirinya. Datuk duduk terjuntai kaki di kepala tangga.

“Ada apa datuk ?”

“Dua tiga hari ni, aku selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang, agaknya dia sakit.”

“Habis datuk nak pergi ke sana ?”

“Hajat tu memanglah begitu.”

“Kata datuk, datuk nak pergi ke Kampung Sadang.”

“Itu tak mustahak yang penting adik beradik.” Saya terdiam mendengar cakap datuk itu. Saya segera teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu datuk yang saya panggil ayah Ngah itu, dalam tahun 1947. Lepas itu saya tak pernah bertemu dengannya lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang. Tidak ada kenderaan yang boleh sampai ke sana. Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam, (sekarang sudah ada jalanraya dan kenderaan yang berulang-alik dari Chemor ke Hulu Kuang) kerana hal-hal itu saya dan datuk terpisah dengan keluarga.
Petang itu juga kami bertolak dari rumah datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami menyewa teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang. Kami tidak dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan perintah berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.

Datuk terus melaporkan dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk tidur di masjid Chemor. Sesudah memberikan butir-butir mengenai diri kami kepada pihak polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut. Sesudah menunaikan sembahyang Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring dekat tiang. Akhirnya saya terlena. Lebih kurang pukul dua malam, datuk mengejutkan saya.

“Bangun kita pergi ke Hulu Kuang.”

“Macam mana nak pergi, nanti kita kena tangkap atau ditembak askar.”

“Kau ni banyak cakap pula, bangun sajalah,” suara datuk keras.

Dia menarik tangan saya hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan. Datuk menyuruh saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.

“Sebentar lagi dia datang,” Datuk beritahu saya.

“Apa yang datang tok ?” tanya saya ingin tahu.

“Kau jangan banyak cakap,” Datuk menyergah saya.

Mukanya kelihatan bengis. Masa itu datuk sudahpun mengenakan baju hitam, seluar hitam di badan. Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. Dalam hati kecil saya timbul keraguan tentang diri datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan pengganas komunis. Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman dharurat.

“Ke tepi,” datuk menolak badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur atas lantai. Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan sekuat hati. Dia melemparkan tujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid. Kemudian datuk menekan ibu jari kanannya ke tapak tangan kiri tujuh kali berturut-turut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup kuat. Kepala lutut saya mengeletar. Dengan tiba-tiba sahaja saya rebah atas lantai masjid dan tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar muncul di depan halaman masjid sambil menguit-guitkan ekornya.

“Makanlah kau lapar,” suara datuk keras. Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji bertih. Bila harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk menggosok-gosok kepala harimau itu dengan tangannya. Dan lidah harimau yang panjang itu menjilat pipi dan hidung datuk. Harimau itu berguling-guling atas tanah sambil kakinya menampar seluruh badan datuk. Datuk mengosok perut harimau itu. Datuk mengira kuku di jari harimau. Datuk bermain-main dengan harimau macam bermain dengan anak kucing. Akhirnya datuk menepuk dahi harimau tujuh kali dengan tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan datuk tujuh kali.

“Bangun, kau dah kenyang.” Mendengar cakap datuk itu , harimau besar segera bangun sambil menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu menggaum lagi. Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya. Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya diheret hingga ke depan harimau besar.
“Ini cucu aku,” datuk memberitahu harimau besar. Saya lihat sepasang mata harimau itu merenung ganas ke wajah datuk. Datuk berdehem tiga kali berturut-turut. Harimau itu melunjukan kaki depannya. Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan saya lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta berbelang tebal. Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya jadi lembik. Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas batang leher harimau.

Bulu harimau yang kasar dan keras itu mencucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu mengerak-gerak badannya saya juga ikut bergerak.

“Peluk tengkuknya kuat-kuat,” datuk mengigatkan saya.

Antara sedar dengan tidak saya lihat datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar itu segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk-nepuk punggung harimau, macam gembala lembu menepuk punggung lembu.

“Ke Hulu Kuang,” saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah. Saya rasa harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi. Melayang-layang di udara membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. Terus menghala ke kampung Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam. Saya nampak tentera berjaga dengan senjata di tangan. Semuanya tidak memandang ke arah kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. Badan saya terasa sejuk. Belum selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudahpun tiba di kaki tangga rumah adik bongsu datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok ayam masih kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.

Sebelum harimau meninggalkan kami, datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih. Saya tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh datuk. Selesai saja harimau itu memakan bertih. Lagi sekali datuk menepuk-nepuk dahi harimau. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang diucapkan oleh datuk kerana telinganya bergerak-gerak.

“Balik ke rumah kita jaga kampung serta tanah ladang kita,” suara datuk meninggi. Harimau itu mengguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari pandangan saya. Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya. Menurut datuk pantang besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita pergi sebelum tuan rumah itu terjaga. Adik bongsu datuk terkejut , bila dia membuka pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia mengucap panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke tempatnya sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi. Dia terus menyoal datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal. Pertanyaan atau soalan itu tidak dijawab oleh datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain.

Sambil minum kopi pagi, adik bongsu datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil bertanya khabar hal nenek serta anak cucu datuk. Perbualan datuk dengan adik bongsunya sungguh rancak pagi itu. Saya tidak banyak campur dalam perbualan mereka. Saya lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun-daun pokok yang menghijau serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.

“Kau sakit, aku nampak kau kurus sangat ni,” saya terdengar suara datuk. Saya segera menoleh ke belakang. Saya lihat datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya yang cengkung dan kurus.

“Saya baru baik dari demam, dan tu kena berjaga malam pula,” jawab adik bongsu datuk.

“Hai, musim dharurat pun kena berjaga malam ?”

“Berjaga dalam rumah ?” sahut isteri adik bongsu datu dari dapur. Saya tertarik hati dengan perbualan itu. Memaksa saya duduk di sebelah datuk. Datuk saya lihat mengkerutkan keningnya.
“Kenapa pula tu. Ada pencuri ke ?” Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu datuk dan isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.

“Apa halnya cakap. Kalau boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari orang lain untuk menolongnya,” datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu datuk tersenyum. Adik bongsu datuk termenung panjang.

“Susah orang nak menolongnya,” begitu hampa nada suara adik bongsu datuk.

“Susah macam mana ?” tanya datuk.

“Kerja iblis.”

“Kita lawan cara iblis.”

“Begini, di kampung ni ada toyol jadi-jadian , sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi tikus.” Adik bongsu datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk terdiam. Lama juga datuk termenung. Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan kanannya memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali. “biasanya toyol jadi-jadian ni, ada orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya. Rumah kau ada dia masuk ?”

“Ada, dia menyerupai kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri.” Dengan penerangan adik bongsunya itu datuk dapat menduga bahawa toyol jadi-jadian itu masih belum mempunyai pasangan lagi.

Dan orang yang membela akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik bongsunya, perkara itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia harus tinggal di Hulu Kuang agak lama sedikit. Untuk mencari tuan punya toyol jadi-jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.

“Kerjanya sulit, tapi harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi,” jelas datuk dengan tenang.

“Macam mana caranya ?” soal isteri adik bongsu datuk. Mendengarkan pertanyaan itu datuk tersenyum panjang sambil memicit pangkal dagu.

“Kita tunggu kalau ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya. ” Cakap datuk itu membuat adik bongsu datuk dan isterinya berpandangan.

Dalam kepala isteri adik bongsu datuk mula terbayang tentang perempuan-perempuan di Kampung Hulu Kuang yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya. Atas persetujuan orang-orang Kampung Hulu Kuang datuk diminta duduk di kampung tersebut selama dua bulan untuk menghalau toyol jadi-jadian yang menganggu kampung mereka. Nasib datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di Hulu Kuang, terdengar salah seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung. Anak dan ibu mati serentak. Datuk pergi ke rumah keluarga yang malang itu, datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke tanah kubur.
Tetapi, sebaik sahaja datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang malam.

Dia didatangi dengan berbagai-bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas firasat yang dibawanya. Waktu dia membaca firasat itulah datuk terdengar suara perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, datuk melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan.

Datuk pun mengejutkan saya

~bersambung~ 12.Toyol Jadi-jadian

Posted in Bercakap Dengan Jin | Leave a Comment »

10. Mencari Harta Karun

Posted by putera2info on October 27, 2009

Mahu atau tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.

“Berapa lama kita di sana tok,” tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih. Memang itu perangai datuk. Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dalu. Dia mahu mempastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.

“Boleh jadi sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan.”

“Keadaan mana tok ?”

“Kalau banyak burung yang kita dapat lamalah kita di sana.”

“Bila kita nak bertolak.”

“Aku fikir pagi esok saya.”

Datuk bangun. Dia turun ke tanah. Saya kira datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang rumah melihat ayam dalam kandang. Saya barang yang mahu dibawa sudah saya kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam kawasan rumah datuk. Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr. Brown pengurus ladang getah, Sungai Bruas.

Mr. Brown terus mendapatkan datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang selalu menemui datuk, kalau dia mengalami silap urat. Kalau dia diserang penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari datuk. Kalau tidak baik baru dia menemui doktor. Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya. Dia suruh saya jadi kerani. Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari itu, tidak saya perhiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan menta datuk mengurutnya. Kalau tida masakan dia datang, fikir saya. Lama juga Mr.Brown bercakap dengan datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup faseh bercakap Melayu. Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia lama duduk di Plastine dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.

Saya terus baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama datuk. Saya bangun dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.

“Di sini, harta itu ada di sini,’ ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam peta dengan pensil merah. Datuk termenung panjang.

“Kawasan itu jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan,” tingkah datuk sambil memeluk lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya beberapa kali.

“Minggu dulu mandor saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan, macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandor saya tidak berani ambil,” jelas Mr.Brown lagi,

“Saya dah minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk meletupkan gua.”

Datuk terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu, ialah kawasan kerajaan Melayu Bruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar. Satu ketika dalu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah batu dan kawasan permakamam di raja. Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya mencari kawasan tersebut. Kawasan itu tidak dijumpai lagi. Malah orang pergi itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya. Menurut cerita arwah Haji Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran raja-raja dahulu tertanam di situ. Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang selalu terjumpa kawasan tersebut. Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat tidak akan terjumpa.

“Saya sudah lama menyiasatnya, sejak saya datang.” Mr.Brown bersuara sambil melihat peta. Datuk terus tersenyum.

“Di kawasan ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara,” Mr.Brown tanda peta dengan pensil merah.

“Dari sini, kita boleh pergi ke Padang Serai, dari situ kita pergi ke Segari. Tidak jauh dari situ ada kawasan kerajaan Manjong,” Mr.Broin berhenti menandakan peta dengan pensil merah. Saya gigit bibir. Datuk kelihatan tenang. Wajah Mr.Brown nampak cemas. Mata merenung ke peta kembali. Kemudian Mr.Brown bercerita tentang kerajaan Ganga Negara. Dia tahu semua kawasan dan wilayah kekuasaan kerajaan Gangga Negara.

“Dari mana awak tahu ?” Soal datuk.

“Di London, di sana semua fasal sejarah Malaya ada di muzium, saya datang ni bukan mahu jadi manager, tapi saya mahu siasat negeri awak.”

“Kalau dapat awak mahu buat apa ?”

“Barang-barangnya saya bawa ke London, kemudian saya tulis buku sejarah negeri awak,” ujar Mr.Brown dengan bangga. Kerana terlalu pandai Mr.Brown memujuk. Datuk mahu membantunya mencari kesan sejarah lama itu. Mr.Brown berjanji dengan datuk kalau mereka berjumpa dengan barang-barang purba. Dia tidak akan mengambilnya. Dia sekadar mahu melihat dan menyiasat serta mengambil gambar. Mr.Brown juga akan membawa barang makanan yang secukupnya selama penyiasatan itu diadakan. Selain daripada itu Mr.Brown akan membawa tiga orang pekerjanya untuk turut sama dalam rombongan itu. Dalam tilikan datuk, rombongannya akan bertemu dengan kawasan yang dihajati oleh Mr.Brown itu.

Akhirnya, rombongan itu berangkat ke tempat yang dituju. Saya cukup gembira, kerana saya tidak dikecualikan dari rombongan tersebut. Rombongan kami bertolak dari kawasan rumah datuk, kira-kira pukul enam pagi dengan sebuah jeep menuju ke sawasan pecah batu di Seputih. Dari situ berjalan kaki menuju ke tepi Sungai Bruas. Kami menaiki sebuah sampan kecil yang berbumbung. Sebelum itu, Mr.Brown dan datuk sudahpun pergi ke Kampung Kota melihat tulisan di batu nisan lama yang terdapat di situ. Menurut Mr.Brown, mencari kawasan lama itu lebih baik melalui sungai daripada mengikuti jalan darat. Ada dua sebab, kenapa Mr.Brown memilih ikut sungai, pertama mudah dan kedua orang-orang dahulu selalu membuka kawasan di tepi sungai.

Lama juga bersampan di Sungai Bruas. Akhirnya Mr.Brown menyuruh orang yang mendayung sampan rapat ke tepi. Dari situ mendaki satu kawasan bukit kecil. Kami berkhemah di situ. Dua hari kami di situ, masuk hari yang ketiga. Salah seorang daripada rombongan kami jatuh sakit. Dia menjerit tidak tentu arah. Bagaikan kemasukan hantu. Puas datuk mengubatnya. Sakitnya tidak juga mahu hilang. Matanya merah. Lidahnya sentiasa keluar. Mr.Brown mengambil keputusan untuk menghantar pulang dua orang pekerjanya itu. Sepeninggalan Mr.Brown, datuk dan saya hanya duduk di dalam khemah saja.

Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Macam-macam suara yang saya dengan. Datuk duduk di kanan saya, sekali-sekala, saya dengar datuk bercakap. Dengan siapa dia bercakap, saya tidak pasti. Tetapi suara orang yang dilawannya bercakap jelas kedengaran. Orang itu menyuruh datuk berpindah ke tempat lain, kerana kawasan yang diduduki sekarang kawasan larangan. Datuk berjanji dengan orang itu akan pindah pada pagi esok. Lepas itu, saya lihat datuk tidur dengan lena hingga ke pagi. Lebih kurang pukul sepuluh pagi Mr.Brown pun tiba. Dia membuka peta lagi. Mr.Brown sukat peta dengan kayu pembaris.

“Kita masuk ke dalam lagi,” katanya. Tanpa membantah datuk dan saya mengikut perintahnya. Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya di kawasan tersebut.
“Kita berada di kawasannya,” kata Mr.Brown pada datuk sambil membaca buku tebal yang dibawanya. Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. Matahari pun terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di situ. Airnya cukup jernih. Lepas sembahyang datuk dan Mr.Brown terus masak. Lepas makan Mr.Brown baca buku. Lampu gaslin yang terpasang dalam khemah cukup terang. Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. Saya mengantuk betul. Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang cantiknya tidak dapat saya lukiskan. Dia bagaikan gadis bangsawan duduk berjuntai kaki di balairong seri sambil membawa lagu-lagu Hindu dengan irama yang merdu dan halus. Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.

“Siapa namamu,” tanya saya. Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di rerumput yang menghijau di depan istana.

“Ke mana ?” soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon beringin rendang.

“Siapa namamu ?” ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.

“Dayang pada Tuan Puteri Zarid Gangga,” dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang. Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara. Sebaik saja sampai di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun. Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketul batu dan tanah yang dikutipnya. Datuk masih lagi mengadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan pada mereka apa yang saya alami dalam masa tidur tadi.

Pagi esoknya, kami mencapai kata sepakat untuk mengali tanah di bawah pohon beringin. Lima jam kami mengali tanah. Akhirnya kami menemukan sebuah peti besi yang dibuat dari logam kekuningan. Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana dalampeti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning. Malam pun tiba. Fatuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.

“Tengkorak ni tak ada apa-apa,” kata datuk pada Mr.Brown. Mr.Brown anggukkan kepala. Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam kelambu masing-masing. Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada tangan yang mengoyangkan bahu kanan saya. Yang pertama kali saya dengar, suara wanita menyanyi sayup-sayup di selang-seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang. Cuma yang kedengaran bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara burung tukang dan jampok bersahut-sahutan. Terfikir juga oleh saya untuk membangunkan Mr.Brown dan datuk. Bila saya kaji dalam-dalam, mereka tidak perlu dibangunkan.

Saya jatuhkan kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu. Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas. Saya membuat keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. Malam memang tidak berbintang, tetepi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang. Tiba-tiba saja hati saya membuat keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin. Saya masuk ke dalam belukar di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya suara wanita itu. Badan saya mengeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.

Saya membuat keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi tertumpu ke arah pohon beringin. Saya saksikan sebuah kepala bergolek-golek atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam sekejap mata wanita itu hilang. Kemudian berdiri betul di depan saya, Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mempu keluar dari kerongkong. Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon beringin hilir mudek di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui dalam mimpi saya yang lalu.

Kemudian wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan datuk. Lebih kurang lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke kolam tempat datuk mengambil air sembahyang. Bila wanita itu berdiri di depan kolam, dia terus menjerit. Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah, berguling-guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera ghaib. Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar suara jeritan gajah. Saya terdengar bunyi pedang belaga. Semuanya tidak kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami. Bila semuanya tidak kedengaran lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju dan kain. Lelaki hitam membalutkan tubuh wanita itu dengan jubah yang dipakainya. Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.

Sementara itu fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa lemah. Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.

“Kenapa begini,” tanya datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah. Saya mahu menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. Datuk kembali ke khemah mengambil kain hitam. Barulah saya boleh bergerak dan bersuara. Datuk memimpin saya ke khemah. Dia merunggut dan marahkan saya, kerana saya keluar tidak memberitahunya. Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning, hilang entah ke mana.

Datuk mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam. Mr.Brown tidak setuju , dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan, kemudian perut kolam itu digali. Datuk terima cadangan itu, kerana mengerinkan air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa jentera untuk mengeringkan air. Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja untuk mengeringkan kolam pun bermula. Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering. Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi. Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.

Datuk menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam zaman pemerintah Gangga Negara. Bila air kolam sudah kering betul. Datuk, Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situpun kami gali. Barang-barang yang kami temukan di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown. Dengan perintah datuk tulang-tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu lubang dekat pokok meranti. Pada sebelah malamnya, datuk membuat keputusan yang nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan itu.

“Ini merbahaya,” bantah Mr.Brown.

“Kalau awak mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya.” Suara datuk meninggi. Matanya mula merah.

“Ok saya ikut.”

“Begitulah.” Datuk pun ketawa berdekah-dekah.

Sepanjang malam di tepi kolam itu, datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, datuk bagaikan hulubalang kerajaan Melayu Melaka. Datuk terus membaca mentera di depan asap kemenyan. Sekali-sekala dia membuka silat. Tiba-tiba datuk diam. Matanya pejam. Badannya tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara. Datuk rebah di situ. Saya segera mahu menghampirinya.

“Jangan, dia menerima pertunjuk dari orang lain,” kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya. Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara burung hantu dan salakkan anjing serigala kedengaran sayup-sayup. Datuk melompat dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata: Seorang pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh hormat. Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. Dia telah menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran, badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin. Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana barang-barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian ditanam.”

“Di mana tempatnya tok, ” tanya saya tidak sabar.

“Sabar, esok saja aku ceritakan.” Suara datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke khemah semula.

Pagi esoknya, datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Bruas yang penuh dengan buaya liar ke sampai ke Tanjung Ara – dekat Pangkalan Bharu. Dari situ kami mendarat di satu kawasan berbukit. Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu penuh dengan batu-batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.

“Puteri itu telah membawa aku ke mari, ” kata datuk, “menurutnya Raja Gangga Negara, Shah Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran.” Datuk pun berhenti bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah-dekah. Barang yang dicari dan dihajati sudah ada didepan matanya.

Kawasan itu segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga dipuncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh datuk dari dijamah oleh sesiapapun. Kata datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja Gangga Negara.

Mr.Brown pun menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta-harta itu tertanam lebih kurang sepuluh meter ke dalam bumi. Bila dinamit yang dipasang itu meletup, boleh menolong melongsurkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.

Tepat pukul empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu-batu berterbangan, pokok-pokok habis tercabut. Tanah tinggi disitu kelihatan rata. Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus-putus ketawa. Bila ketawanya berhenti, Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar beratus-ratus ekor ular sebesar peha menyerang kami. Saya, datuk dan Mr.Brown lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua barang-barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown berdarah. Seluarnya habis koyak.

Kami menyusul tepi sungai Bruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudahpun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba-tiba tidak boleh bergerak. Air sungai melimpah dengan tiba-tiba. Tebingnya yang tinggi ditenggelami air. Datuk nampak cemas. Kemudian dia senyum dan berkata : “Kalau kami salah ampunkanlah.”

Sehabis sahaja datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki yang bertubuh besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak basah, mestipun ia baru timbul dari dasar sungai. Wajahnya kelihatan bengis. Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus berhadapan dengan orang itu.

“Awak mesti tahu, tidak seorangpun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu milik kami. Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang yang awak letupkan itu awak tangkap, ular-ular itu akan bertukar menjadi harta karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhinati kami,” lelaki bertubuh besar bersuara.

Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang

~bersambung~ 11. Menunggang Harimau Ditengah Malam

Posted in Bercakap Dengan Jin | Leave a Comment »

9. Panjat Bilik Anak Dara

Posted by putera2info on October 27, 2009

Sepanjang malam itu, datuk tidak tidur. Dia duduk termenung di anjung rumah hingga matahari pagi terbit di kaki langit. Cuma ada satu saja yang datuk rasa agak ganjil, setelah menemui manusia berkepala anjing dia tidak mendengar suara perempun menjerit atau menerima pengaduan dari anak buahnya sama ada mereka bertemu atau memburu manusia berkepala anjing.

“Agaknya, dia sudah lari dari sini,” beritahu datuk pada nenek ketika sarapan pagi. Nenek tidak menjawab. Dia cuma merenung muka saya dengan wajah yang sangsi.

“Lari atau menyiapkan diri,” terungkap dari mulut nenek. Datuk tersenyum. Saya terus menghirup air kopi.

“Biasanya perkara yang jahat tidak lama berkuasa,” suara datuk lembut.

“Maksud awak ?”

“Yang jahat tidak diperkenankan oleh Tuhan,” sahut datuk dan terus bangun.

Datuk menyuruh saya pergi ke Paya Besar untuk melihat anak-anak getah yang baru ditanam semula. Dia juga menyuruh saya menebang pokok-pokok pisang di celah anak-anak getah.

“Tebang yang mana kau agak boleh merosakkan anak getah kita,” pesan datuk. Saya mengangguk. Ke Paya Besarlah saya pagi itu dengan basikal tua membawa sebilah parang. Lebih kurang pukul tiga petang saya kembali ke rumah. Terkejut juga saya, bila melihat ada beberapa orang duduk di anjung rumah berbincang dengan datuk. Saya kira mereka membincangkan peraturan berjaga malam. Saya terus ke sungai untuk mandi. Lepas itu makan dan membaca suratkhabar jawi, memang datuk tidak pernah tinggal membeli akhbar sejak dari zaman muda lagi.

Tanpa di duga datuk memanggil saya. Cepat-cepat saya campakkan surat akhbar dan meluru padanya.

“Ada apa tok ?”

“Malam ini, kau turut sama berjaga.”

“Sayaaa…..” suara saya mati di situ. Kawan-kawan datuk mengetawakan saya.

“Kau takut ?” tanya datuk sesudah suara ketawa kawan-kawannya mati. Semua biji mata kawan-kawan datuk tertumpu ke muka saya.

“Tidak,” jawab saya tegas. Kawan-kawan datuk berpandangan sama sendiri. Saya ditugaskan berjaga dekat surau hingga ke rumah Haji Shafie, kawan saya yang disyurkan oleh datuk ialah Bidin yang agak tiga suku sedikit perangainya.

Sementara menanti malam tiba, saya berpeluang menyoal datuk tentang kehilangan Imam Hamid. Tidak banyak yang mahu diceritakan oleh datuk tentang Imam Hamid. Datuk cuma mengatakan Imam Hamid meninggalkan kampung kerana urusan peribadi. Menurut datuk manusia berkepala anjing ini memang sudah lama wujudnya. Tapi dapat diatasi oleh orang yang cukup handal dalam ilmu kebatinan.

“Tapi orang yang macam tu dak ada lagi,” keluh datuk. Di mukanya terbayang rasa kecewa dan kesal yang amat sangat. Dia bimbang kalau manusia kepala anjing itu tidak dapat dihancurkan, bukan satu perkara yang mustahil ada gadis yang menjadi korbannya.

“Macam mana orang tu boleh jadi begitu tok ?” soal saya. Datuk renung muka saya tepat-tepat. Dia mengaru pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya merenung kosong ke depan.

“Kadang berpunca dari keturunan, ” ujar datuk.

“Caranya.”

“Boleh jadi masa dulu ada datuk neneknya mengamalkan ilmu itu untuk mempertahankan diri, bukan untuk tujun jahat, maklumlah orang zaman duu banyak mengembara dalam hutan terpaksa banyak menggunakan berbagai ilmu,” datuk berhenti bercakap. Dia telan air lior dua tiga kali. Matanya masih juga merenung ke depan.

“Biasanya yang datang dari keturunan tu,” jadi bila dia terdesak dan tak sedarkan diri, umpamanya dipukul oleh orang dengan tidak tentu fasal baru dia jadi, jenis ni tidak merbahaya, boleh dibuang dengan ancak dan rakit ke dalam tujuh kuala sungai. Dan orang itu akan sempurna terus,” saya mendengar cakap datuk dengan penuh teliti.

“Di kampung kita ni macam mana ?” soal saya.

“Orang ini menuntut, tapi silap bawa, fasal tu dia mengganas.”

“Silap macam mana ?”

“Tujuan dai menuntut untuk diri sendiri, tapi masa dia menuntut tu, boleh jadi dia menjalani pertapaan, masa itu dia dipengaruhi syaitan untuk membawa kerja yang tidak baik.”

“Jadi.”

Mendengar cakap saya itu, datuk jadi tergamam. Bila rasa tergamamnya hilang. Dia tersenyum dan terus menepuk bahu saya dua tiga kali.

“Dia terus jadi syaitan,” tambah datuk

“Kerana itulah bila mahu menuntut ilmu keduniaan, terlebih dahulu mengisi dada dengan ilmu agama, dapat membesakan mana yang direlakan oleh agama dan yang mana pula ditegahnya. Tak boleh main ikut-ikut silap-silap gaya kita terkeluar dari ajaran agama.

“Keluar macam mana.”

“Takbur dan menafikan kebesaran dan kekuasaan Tuhan, sedangkan sesuatu yang berlaku adalah atas kehendaknya, kita boleh jadi murtad,” Datuk segera bangun. Memang kalau dia masih ada depan saya, banyak lagi pertanyaan yang mahu saya tanyakan. Datuk tahu perangai saya. Dia memilih jalan mudah dengan meninggalkan saya.

Tepat pukul sepuluh malam. Saya dan Bidin tiga suku mudar-mandir dari satu kawasan ke satu kawasan. Kemudain menuju ke kawasan rumah Haji Shafie dengan membawa sebatang kayu panjangnya kira-kira empat kaki. Saya tidak suka dengan perangai Bidin tiga suku yang suka bercakap besar. Sesekali dia bersilat tidak tentu fasal. Tidak boleh terdengar katak melompat. Dia buka silat. Kalau dekat dengannya bertabur darah kepala kena kayu di tanganya. Memang saya tahu, Bidin tiga suku baru dua bulan belajar silat cekak.

“Kau jalan seorang dulu Din, aku nak rehat di tangga surau,” kata saya sambil duduk di anak tangga bongsu. Ketika itu sudah pukul sebelas lebih, bulan mula mengambang. Suara salakkan anjing. Mula kedengaran. Sayup-sayup.

“Ok, kalau aku jumpa, aku lipat empat,”

“Jangan begitu, tak baik.” Saya terdiam. Bidin tiga suku terus meronda. Dua minit kemudian Bidin tiga suku datang pada saya.

“Kenapa ?” tanya saya sambil melihat muka Bidin tiga suku yang pucat lesi. Dia tidak bersuara, jari kelingkingnya menunjukkan ke arah pangkal pokok mempelam. Dada saya berdebar. Saya beranikan diri pergi ke pangkal pokok mempelam. Sebaik saja saya sampai ke pangkal pokok tersebut. Saya terserempak dengan seekor kucing hitam belang putih menangkap tikus. Saya segera mendapatkan Bidin tiga suku kembali.

“Tak ada apa pun di situ ?” kata saya.

“Di situ, aku jumpa dia, biarlah aku balik dulu, perut aku sakit,” kata Bidin tiga suku terputus-putus. Saya membenarkan dia pulang. Tahulah saya kenapa Bidin tiga suku jadi begitu. Saya terus berjaga tanpa Bidin tiga suku. Berjaga tanpa kawan bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Dua tiga kali aya membuat keputusan untuk pulang, tapi kerana memikirkan keselamatan orang ramai saya terpaksa juga berjaga. Suara lolongan anjing makin hebat. Sekali-sekala terdengar bunyi suara burung jampok. Tingkah meningkah dengan suara burung hantu.

Angin malam terus juga bertiup, dedaun bergerak. Saya keraskan semangat dan terus meronda. Kalau ada apa-apa yang meragukan hati, saya akan terus memukul bedok memberitahu kawan-kawan lain. Saya terus berjalan di bawah sinaran bulan yang agak kabur itu. Waktu saya sampai ke pangkal pokok mempelam bagi kali yang ketiga. Saya lihat kucing hitam berbelang putih masih lagi bermain dengan tikus yang ditangkapnya. Saya berdiri di situ. Tiba-tiba bahu saya ditepuk dari belakang. Darah saya tersirap. Badan saya mengeletar. Tidak berani saya menoleh ke belakang saya benar-benar jadi kelam-kabut. Saya mula mahu menjerit, tapi sepasang tangan mencekup mulut saya dengan keras. Saya berhempas pulas berusaha melepaskan diri. Saya terasa mulut saya tidak dicekup lagi. Segera saya menoleh ke belakang.

“Pak Imam.”

“Iya, jangan bising,” Imam Hamid memberi amaran. Dia berkain pelikat. Berbaju Melayu putih dan bersongkok putih. Matanya merah merenung ke muka saya.

“Ke mana Pak Imam menghilang.”

“Itu bukan urusan kau.”

“Pak Imam yang jadi……,” belum sempat saya menghabiskan perkataan, Imam Hamid menarik tangan saya ke bawah pokok mempelam. Dia suruh saya duduk dan dia berdiri gagah di depan saya tidak memalingkan pandangan ke mana-mana. Saya tentang wajahnya dengan harapan di bawah sinaran bulan yang muram, saya dapat melihat pertukaran wajahnya dari manusia kepada anjing. Apa yang saya harapkan tidak terjadi. Pak Imam tetap berwajah manusia. Suara salakkan anjing terus menerus. Burung kian kuat berbunyi. Angin malam menggugurkan mempelam tua. Dengan mendadak saja bulu tengkok saya berdiri.

“Datuk kau berjaga sebelah mana ?”

“Sebelah barat Pak Imam ?”

“Bagus, satu peluang yang baik.”

“Apa yang Pak Imam cakapkan ini.”

“Kau mana tahu,” suaranya keras sekali. Dia menarik tangan saya dengan kasar menuju ke surau. Tidak lama kami berdiri dekat surau. Pak Imam menarik tangan saya menuju ke rumah Pak Jalil. Dia berdiri betul-betul dekat tingkap bilik Minah anak dara Pak Jalil. Saya makin yakin, bahawa manusia berkepala anjing yang dicari selama ini, adalah Pak Imam. Cara yang paling baik saya pilih ialah memukul kepala Pak Imam dekat kayu bila dia terlali.

Sesungguhnya Pak Imam cukup berhati-hati dalam kerjanya. Dia tahu dan ingat tiap langkah yang sudah dan langkah yang akan dibuatnya.

“Saya panggil orang kampung Pak Imam.”

“Jangan, tegahnya. Saya bertambah bingung dengan sikap dan tindak-tanduk Pak Imam Hamid.
“Mari berlindung,” Pak Imam Hamid menolak badan saya hingga jatuh atas tanah. Kemudian kami merangkak perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok asam jawa yang dikelilingi oleh semak samun. Pak Imam Hamid mendongak ke langit melihat bulan. Wajahnya nampak muram, kerana bulan dilangit dilindungi oleh awan tebal. Bila awan tebal berlalu bulan tersembul indah di dada langit. Wajah Pak Imam nampak berseri-seri. Mulutnya mula kumat-kamit membaca sesuatu. Dada saya mula berdebar.

Dalam keadaan yang mendebarkan itu, saya lihat Pak Imam Hamid menukar baju dan kain dengan seluar. Seluruh badan Imam Hamid dibalut oleh kain hitam. Songkok putihnya juga ditukar hitam.

“Aku mahu jadi anjing,” katanya sambil menekan batang leher saya ke bumi. Hidung saya mencium tanah. Imam Hamid meniarap. Sama rata dengan tanah. Dia memberitahu saya supaya jangan lari atau menjerit. Kalau saya tidak menurut perintahnya, dia akan menikam saya dengan lawi ayam. Saya bertambah menggeletar. Suara anjing bertambah kuat. Angin makin kencang bertiup. Berdetup-detap bunyi ranting menimpa bumi. Bulan terus mengamban. Suara katak bertambah rancak menyanyi. Imam Hamid masih meniarap. Matanya merenung ke arah runpun senduduk dan serunai laut di sebelah kanan rumah Pak Jalil. Dua ekor anjing hitam keluar dari situ meraung panjang ke bulan. Ekornya terpacak ke langit. Rumpun seduduk dan serunai laut bergerak hebat. Imam Hamid tidak berkata sepatah apa pun. Mulutnya terus kumat-kamit. Saya lihat matanya tidak berkedip memandang belukar kecil di depannya.

“Lihat katanya.” Saya memandang ke depan, seorang lelaki berkulit hitam berkepala anjing keluar dari celah semak itu. Di meraung bagaikan anjing merenung bulan. Lembaga manusia berkepala anjing melompat ke arah tingkap tempat Minah tidur.

“Datuk kau di mana ?” bisik Imam Hamid.

“Macam saya cakap tadi. Orang ini membalas dendam, selagi keluarga datuk kau tidak dirosakkan dia tidak akan berhenti,”

Saya segera teringat Pak Jalil memang ada hubungan keluarga dengan datuk, malah dalam perkiraan datuk, Minah mahu dijadikannya isteri pada seorang cucunya. Jadi cakap Imam Hamid ini memang ada benarnya. Fikir saya sendirian. Dalam berfikir begitu saya lihat manusia berkepala anjing menepuk dinding, dan daun tingkap rumah Pak Jalil terkuak dengan sendirinya.
Manusia berkepala anjing melompat ke atas. Bertenggik di bendul tingkap. Saya bertambah kelam-kabut. Imam Hamid bangun menuju ke bawah rumah. Dia terus bertempik dan menjerit sekuat hati., kemudian diikuti dengan suara azan yang nyaring. Saya terus menuju ke surau lalu memukul beduk. Bila saya pulang ke tempat asal, saya lihat Imam Hamid sedang berhadapan dengan manusia berkepala anjing. Manusia berkepala anjing terus menyerang Imam Hamid.

Dengan tenang Imam Hamid mengelak serangan itu. Saya mendekati Imam Hamid. Dia menyuruh saya pergi jauh. Jelas kedengaran Imam Hamid membaca ayat-ayat suci masa dia bertarung dengan manusia berkepala anjing. Saya terus berdoa semoga orang-orang kampung akan datang segera ke tempat Imam Hamid. Dalam keadaan yang gawat itu, saya lihat manusia berkepala anjing tidak berdaya menyerang Imam Hamid. Dia lemah. Ketika itulah Imam Hamid memasukkan jawi ayam ke perut manusia berkepala anjing. Imam Hamid meneruskan pembacaan ayat-ayat suci.

Manusia berkepala anjing berguling-guling atas tanah. Seluruh isi rumah Pak Jalil terjaga. Dan orang-orang kampung pun tiba. Datuk meluru ke depan, Imam Hamid segera menghalang.

“Jangan dekat dia, biarkan di situ nanti kita akan tahu siapa dia.”

“Biar saya tikam,” kata datuk.

“Jangan, kita cuma boleh menikam hanya sekali, kalau dua kali kita tikam dia tidak akan mati,” terang Imam Hamid. Datuk akur dengan perintahnya itu.Bila manusia berkepala anjing itu berhenti menggelupur, kepalanya segera hilang dan diganti dengan kepala manusia.

“Anjang Dollah,” kata datuk. Imam Hamid senyum, saya bertambah bingung. Macam mana orang yang sudah mati boleh hidup kembali. Perkara itu segera tanyakan pada Imam Hamid. Dengan senyum Imam Hamid menjawab, “roh dan badannya tidak di terima bumi, keran mengamalkan ilmu salah.”

“Begitu,” sahut saya lembut. Saya lihat bekas tempat manusia berkepala anjing itu berguling terdapat batang pisang. Datuk terus memotong batng pisang itu tujuh kerat. Dua dibuang ke dalam semak dan yang lima lagi dicampakkan ke laut pada keesokan harinya.Atas arahan Imam Hamid, dia menyuruh penduduk kampung membaca Yassin empat puluh empat malam berturut. Perintah itu juga dituruti oleh orang-orang kampung. Sejak itu kampung saya tidak diserang oleh manusia berkepala anjing hingga sekarang.

Dua bulan lepas peristiwa itu, datuk mengajak saya pergi ke Kampung Sungai Sadang. Datuk ke situ kerana, dia diajak oleh kenalan rapatnya menangkap burung waktu malam. Saya membantah rancangannya, tapi datuk yang terkenal dengan keras kepala itu tidak peduli dengan bantahan saya.

~bersambung~ 10. Mencari Harta Karun

Posted in Bercakap Dengan Jin | Leave a Comment »

8. Manusia Berkepala Anjing

Posted by putera2info on October 27, 2009

Imam Hamid mengedutkan dahinya hingga berlapis empat. Dia renung muka datuk. Dia renung muka saya hingga kepucatan yang terhampir di wajahnya hilang.

“Mustahak ke ?” soalnya agak ragu.

“Memang mustahak, perkara yang mahu diceritakan ni ada hubungannya dengan diri Pak Imam.”

“Dengan diri saya ?”

“Iya,” datuk angguk kepala.

Tanpa banyak bicara Imam Hamid mengikut datuk dan saya ke rumah. Kami bertiga duduk bersila di anjung rumah. Macam selalu datuk bila berbual suka bersandar. Sebelah kakinya berdiri lutut. Ini memang amalan datuk. Menurut datuk duduk begitu bukan duduk yang kosong. Duduk yang ada makna. Susah kalau musuh mahu menyerang, payah hantu syaitan mahu mengoda.

“Apa dia perkara yang mustahak tu?” Imam Hamid mula mendesak. Datuk tersenyum. Serentak dengan itu nenek pun meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.

“Begini,” datuk menggeliat dan terus bercerita :

“Anjang Dollah sudah mati, pagi esok kita terpaksa uruskan mayatnya untuk di tanam. Dia mati dibunuh syaitan yang dibelanya.” Imam Hamid terkejut. Kemudain dia senyum. Sepasang matanya merauti paras datuk. Saya cuma diam sahaja. Tidak baik campur orang tua-tua bercakap.

“Pemintaan saya diberkati Allah.” Itu yang terhambur dari mulut Imam Hamid. Matanya bercahaya memandang muka saya.

“Dengan apa Pak Imam membinasakan kerja laknat tu, “datuk terus bertanya. Imam Hamid gosok batang hidungnya beberapa kali.

“Dengan ayat Quran, kau harus tahu tidak ada kuasa yang dapat mengatasi kekuasaan Tuhan, lagi pun dalam Quran sudah lengkap semuanya. Kerja jahat memang tidak diberkati Tuhan.” Itulah yang diberitahu oleh Imam Hamid pada datuk. Datuk angguk kepala. Imam Hamid pun terus bercerita pada datuk tentang diri Anjang Dollah. Menurut Imam Hamid, Anjang Dollah memanglah dukun yang tidak bersih. Ia tidak mengamalkan ilmu kedudukannya untuk kebaikan manusia. Dia bekerja bergurukan syaitan. Kerjanya mengorek kubur perempuan mati beranak, suka ambil kain kapan rambut orang yang baru mati beranak.

“Agaknya dia dukun sihir Pak Imam,” dengan mendadak datuk bersuara. Imam Hamid mengakuinya sambil berkata : ” Dia sudah dipengaruhi syaitan sanggup mengambil darah orang mati beranak untuk makanan syaitan yang dipeliharanya.”

“Siapa pula yang di belanya tu ?” saya tanya. Datuk merenung dengan marah pada saya.

“Hantu itu, adik perempuannya sendiri, dia potong kepalanya dan hal tu tak dikesan oleh sesiapapun.”

“Dahsyatnya,” ujar datuk.

“Memang dahsyat dan aku menduga dia akan mengorek kubur anak aku. Jadi aku bersedia untuk menghantarkannya.” Imam Hamid berhenti bercerita. Dia minta diri untuk pulang ke rumahnya. Mula daripada malam itulah datuk mendapat tahu, bahawa Imam Hamid bukan sebarang orang. Dia banyak ilmu dunia dan akhirat. Sifat orang terpuji pada diri Imam Hamid kerana dia tidak mahu menunjukkan kebolehannya di mata orang ramai. Inilah yang mengkagumkan diri datuk.

Sebaik sahaja Imam Hamid pulang. Saya dan datuk tidak dapat tidur. Rumah datuk diganggu dengan bermacam-macam cara. Pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Kelambu datuk terbakar sendiri. Paling mengerikan bila rumah dibaling dengan batu dan kayu. Datuk tidak bertindak dia cuma membiarkan sahaja. Dia cukup tenang duduk di tengah rumah. Bila datuk mahu pergi ke perigi untuk mengambil air sembahyang. Dia terkejut. Ruang luas di anjung rumahnya penuh dengan daun buluh dan batang pisang.

“Syaitan, semuanya kerja syaitan,” keluh datuk. Dia terus ke perigi. Saya juga ikut ke perigi. Kami sembahyang subuh bersama. Selesai sahaja datuk sembahyang semua daun pisang dan batang buluh hilang. Pagi itu, kami berdua segera pergi ke tanah kubur. Sampai sahaja di kawasan tanah perkuburan. Imam Hamid dan beberapa orang kawannya sudah berada di situ. Mayat Anjang Dollah sudah dimasukkan ke dalam guni. Dua orang anak muda sudapun mengandar guni yang berisi mayat Anjang Dollah.

Datuk segera mendapatkan Imam Hamid minta kebenaran untuk melihat mayat Anjang Dollah. Permintaan datuk itu tidak dihampakannya. Sebaik sahaja datuk melihat mayat Anjang Dollah dalam guni. Air mukanya segera berubah. Jadi cemas.

“Kenapa jadi macam itu ?” Datuk dengan tiba-tiba bersuara.

“Itulah pembalasan yang dapat kita lihat, bila orang melakukan kerja-kerja yang bertentangan hukum Allah,” bisik Imam Hamid pada datuk. Mayat Anjang Dollah pun dibawa ke rumah. Dia dimandi dan dikapan, akhirnya disemadikan di tanah perkuburan.

Cerita tentang Anjang Dollah pun padam dari jadi pokok perbualan orang-orang kampung. Datuk mula berkawan dengan Imam Hamid. Tujuan utama datuk berkawan ialah untuk menambahkan ilmu buat dirinya. Orang yang selalu dibawa oleh datuk ke rumah Imam Hamid, saya sendiri. Kadang-kadang saya jadi bosan dan benci dengan perangai datuk itu. Bila saya memprotes, datuk cuma ketawa sahaja. Dia berharap benar-benar supaya saya ambil tahu tentang kepandaian orang Melayu dalam beberapa bidang tertentu yang menurut datuk kebolehan dan kepandaian itu sudah mulai pupus. Pada dasarnya , saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh datuk itu.

“Aku tak mahu kau jadi dukun atau pawang,” kata datuk pada satu malam.

“Tak guna saya ikut datuk.”

“Ada gunanya,”

“Apa gunanya, sekadar untuk tahu sahaja tak lebih dari itu, aku mahu kau jadi doktor atau peguam.”

“Jadi dukun, sama juga tarafnya dengan doktor.”

“Itu pendapat yang salah,” dalih datuk.

Kerana malam itu terlalu dingin, saya minta pada datuk untuk tidur dalam biliknya. Permintaan saya itu diizinkan oleh datuk dengan syarat saya tidak dibenarkan mengusik semua perkakas datuk dalam biliknya. Pesan datuk itu saya akur. Waktu saya menolak pintu bilik datuk, saya lihat jam di ruang tengah baru pukul sebelas malam. Sepatutnya saya tidur lebih awal dari itu kerana esoknya saya mesti pergi ke Kuala Lumpur untuk temuduga sebagai buruh hutan atau forest labourer.
Datuk sudahpun memberikan beberapa petua untuk temuduga tersebut. Antaranya, bila saya mahu melangkah harus dimulakan dengan kaki kanan. Tidak boleh berpatah balik. Bila berhadapan dengan orang yang menemuduga kelak. Saya harus membengkokkan jari telunjuk saya sambil berkata.

“Aku tidak mematahkan jariku, tapi mematahkan hati orang yang menyoal. Biar dia simpati dan kasih pada diriku.” Sebaik sahaja berkata begitu, saya disuruh salawatkan Nabi tiga kali sambil membaca ayat Kulya.

Semuanya saya lakukan dalam hati. Saya masuk ke dalam bilik datuk rebahkan badan atas katil. Tiba-tiba saya rasa katil bergerak. Saya bangun dan menoleh ke kanan. Badan saya mengeletar. Seorang lelaki berbadan tegap, bermandikan peluh, berdiri di situ. Muka lelaki itu kelihatan hitam. Bila direnung lama-lama muka lelaki itu berubah menjadi muka anjing yang garang mula dari pangkal lehernya.

Lelaki itu menjelerkan lidah anjing dan cuba menjilat badan saya. Saya terus menjerit, serentak dengan itu datuk melompat ke dalam bilik dengan keris di tangan. Manusia berpala anjing merenung muka datuk dan bersedia untuk menerkam padanya. Datuk angkat tangan kiri separas dada. Tangan kanannya menunjuk ke arah manusia berkepala anjing. Jari manis dan jari kelingking datuk berkait antara satu sama lain. Manusia kepala anjing melompat ke sebelah kiri, kemudian hilang di balik dinding. Serentak dengan itu juga tingkap bilik datuk terbuka kemudian bagaikan dihempas oleh sesuatu benda, papan tingkap memukul jenang, seluruh bilik bergegar. Barang-barang yang tersangkut di situ jatuh berserak ke lantai.

Datuk menerpa ke tepi tingkap. Dilihatnya bulan sedang mengambang. Angin tidak bertiup tetapi pokok rambutan gading di depan rumah bergerak. Beberap minit kemudian terdengar salakkan anjing bersahut-sahutan. Datuk meniup tingkap. Dia menyuruh saya pindah ke bilik lain yang dekat dengan bilik nenek.

“Jaga cucu kita ni baik-baik,” datuk beritahu nenek

“Awak na ke mana ?”

“Aku nak selesai masalah baru ini di rumah Imam Hamid.”

“Awak nak pergi seorang.”

“Tentulah,” suara datuk keras.

Baru lima langkah datuk melangkah di halaman terdengar jeritan orang perempuan dari rumah Hussein Janggut. Datuk bergegas ke situ.

“Kenapa Sin ?” datuk tercungap-cungap.

“Bilik anak dara saya di masuk orang berkepala anjing.”

“Kemudian apa jadinya ?”

“Dia cuba membawa anak dara saya keluar dari rumah ni,” sungut Hussein Janggut parau. Dalam beberapa detik sahaja rumah Husein Janggut mula dikerumuni orang kampung. Malam itu sahaja sekurang-kurangnya lima buah rumah yang ada anak dara telah didatangi oleh mahluk manusia berkepala anjing. Seluruh kampung Paya Liam jadi gempar. Malam itu juga bentuk dibentuk jawatankuasa pengawal kampung. Seluruh isi perut kampung Paya Lima berazam mahu menangkap manusia aneh itu. Perkara itu segera dilaporkan kepada pihak polis.

Dua malam kemudian atas inisiatif Imam Hamid, orang lelaki Paya Lima dikumpulkan di surau. Mengadakan pembacaan Yassin untuk hindarkan manusia kepala anjing berluluasa di kampung tersebut. Ibubapa yang mempunyai anak dara diminta supaya jangan membenarkan anak dara mereka berjalan waktu malam, terutama ketika bulan mula mengambang. Setiap anak dara disuruh membawa pisau atau parang bila mahu tidur. Pintu dan tingkap harus dikunci. Datuk dan Imam Hamid sungguh runsing dengan kejadian itu.

Dalam sibuk-sibuk perkara manusia berkepala anjing, Imam Hamid menghilangkan diri dari kampung tersebut. Dengan itu beberapa tuduhan mula dilemparkan oleh orang-orang kampung pada Imam Hamid. Datuk bertindak tegas. Dia menolak semua tuduhan itu dengan alasan yang dapat diterima oleh orang-orang kampung.

“Cara yang paling selamat kita lakukan ialah bejaga pada setiap malam.” Itu nasihat datuk pada orang-orang kampung. Beberapa orang dukun memberikan petua pada anak dara dan teruna supaya menaruh inai di jari manis. Dukun-dukun juga menasihatkan setiap rumah harus menyimpan Quran dan membacanya pada setiap malam. Dengan itu akan melumpuhkan kegiatan manusia kepala anjing datang ke rumah yang ada anak dara dan teruna.

Dukun-dukun atau pawang mengesahkan bahawa manusia kepala anjing itu adalah manusia yang datangnya dari kampung berhampiran yang sedang mengamalkan ilmu salah. Dia sedang menuntut ilmu seri pandang yang antara lain memaksa penuntut ilmu menjadi anjing. Dia akan menjadi manusia yang kacak dan cantik, bila dia sudah dapat memperkosa empat puluh orang gadis atau dapat menghisap darah anak teruna sebanyak empat puluh empat orang. Kalau dia tidak dapat berbua begitu, dia akan terus menjadi anjing berbadan manusia hingga hari kiamat. Kalau dia berjaya, dia akan dapat menguasai hantu syaitan yang akan memberikan kemewahan pada dirinya.

Malam itu, datuk pulang dari surau sesudah membaca Yassin. Waktu datuk mahu melintasi parit kecil yang memisahkan Kampung Paya Besar dengan Paya Lima, datuk terpandang pokok keduduk dan serunai laut tepi parit bergerak-gerak. Datuk sembunyikan diri di balik pokok besar. Di langit bulan mula mengambang, makin kuat sinar bulan memanah bumi, makin kuat pokok-pokok kecil di situ bergerak.

Anjing mula bersuara keras. Datuk membuat keputusan untuk mengetahui apakah gerangan yang bergerak dalam hutan kecil itu. Bila bulan sudah cukup mengambang. Datuk melihat satu lembaga manusia bergerak dan berjalan macam anjing, mencium tanah dan pokok-pokok di situ.

“Syaitan,” sergah datuk. Lembaga itu terus menyalak macam anjing. Dari merangkak lembaga itu tegak berdiri. Dengan tiba-tiba sahaja beberapa ekor anjing besar mengelilingi lembaga itu.

“Engkau rupanya memang aku cari selam ini,” suara datuk keras. Bila dia melihat manusia berkepala anjing hitam itu dengan matanya yang bercahaya ke merah-merahan. Bulunya cukup tebal. Giginya putih tajam dan air lior melilih di muncungnya. Rupanya cukup mengerikan. Manusia berkepala anjing itu mula menerkam pada datuk. Macam selalu datuk yang memang pandai bersilat itu mengelak dengan mudah. Perbuatan datuk itu menaikan darah manusia berkepala anjing itu. Ia melolong dengan kuatnya. Empat ekor anjing hitam di sampingnya datang menyerang datuk. Anehnya semua anjing-anjing itu hilang entah ke mana, bila datuk membaca ayat Al-Kursi. Dengan itu menguatkan hati datuk, bahawa dia berhadapan dengan syaitan.

Sekarang, datuk berhadapan dengan manusia berkepala anjing satu sama satu. Tidak mudah bagi datuk untuk menewaskannya. Manusia berkepala anjing tidak menyerang datuk, tapi dia menenung muka datuk dengan matanya yang bersinar tajam. Dua kali datuk jatuh terlentang. Belumpun sempat manusia berkepala anjing menerkam padanya datuk segera bangun. Datuk pun menggunakan ilmu kebatinannya untuk menentang manusia kepala anjing. Di samping itu datuk juga menggunakan ayat-ayat al-Quran. Datuk mula terasa musuh yang ditentangnya beransur lemah.

Benarlah, manusia kepala anjing itu mula rabah ke bumi. Dengan sekilas pandang datuk sudah dapat mengenali manusia berkepala anjing.

“Aku kenal kau,” pekik datuk. Serentak dengan itu tempat manusia berkepala anjing terus ghaib. Datuk menang dalam perjuangan ini. Tapi datuk memang tidak menduga manusia yang jadi kepala anjing itu, adalah manusia yang dikenalinya. Dia pernah bercakap dengan orang itu. Memang di luar dugaan perkara itu boleh berlaku. Apakah orang itu melakukan semuanya kerana mahu membalas dendam. Persoalan ini timbul dalam kepala datuk sepanjang malam.

~bersambung~ 9. Panjat Bilik Anak Dara

Posted in Bercakap Dengan Jin | Leave a Comment »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.