Info & Tips

Knowledge of the World

  • nuffnang_bid = "50801bc826867ddc07b0abad04f947ff";
  • Iklan Berbayar

    Sebulan hanya RM10.00. Jika berminat sila e-mail kepada kami di bussinternet@gmail.com

  • PERCUMA!!!

10. Mencari Harta Karun

Posted by putera2info on October 27, 2009

Mahu atau tidak mahu, saya mesti patuh pada perintahnya. Saya pun memilih beberapa pasang pakaian yang saya fikirkan sesuai untuk dipakai waktu malam.

“Berapa lama kita di sana tok,” tanya saya sambil memasukkan pakaian ke dalam beg. Datuk yang sedang menghisap rokok daun berhenti dari menulis rajah di atas kertas putih. Memang itu perangai datuk. Kalau mahu berjalan ke mana-mana. Dia buat rajah dalu. Dia mahu mempastikan, apakah perjalanannya itu membawa tuah atau sebaliknya.

“Boleh jadi sehari dua, boleh jadi seminggu dua, bergantung pada keadaan.”

“Keadaan mana tok ?”

“Kalau banyak burung yang kita dapat lamalah kita di sana.”

“Bila kita nak bertolak.”

“Aku fikir pagi esok saya.”

Datuk bangun. Dia turun ke tanah. Saya kira datuk bersiap-siap untuk pergi ke kampung bunian menemui isteri mudanya. Dugaan saya tidak tepat. Datuk cuma pergi ke belakang rumah melihat ayam dalam kandang. Saya barang yang mahu dibawa sudah saya kemaskan. Saya melangkah ke anjung rumah. Sebuah kereta tua masuk ke dalam kawasan rumah datuk. Bila pintu kereta dibuka, keluarlah seorang lelaki Inggeris. Kepalanya separuh botak. Saya kenal orang Inggeris itu. Namanya Mr. Brown pengurus ladang getah, Sungai Bruas.

Mr. Brown terus mendapatkan datuk di belakang rumah. Pengurus ladang getah itu, memang selalu menemui datuk, kalau dia mengalami silap urat. Kalau dia diserang penyakit dia lebih dulu meminta ubat cara kampung dari datuk. Kalau tidak baik baru dia menemui doktor. Pernah dia menawarkan kerja di ladang getah pada saya. Dia suruh saya jadi kerani. Permintaan itu saya tolak. Kedatangannya pada hari itu, tidak saya perhiraukan. Saya agak tentu dia silap urat dan menta datuk mengurutnya. Kalau tida masakan dia datang, fikir saya. Lama juga Mr.Brown bercakap dengan datuk di belakang rumah. Mr. Brown cukup faseh bercakap Melayu. Dia boleh membaca dan menulis jawi. Pernah dia bercerita pada saya yang dia lama duduk di Plastine dan Iraq masa perang dunia yang pertama dulu.

Saya terus baring di anjung rumah. Mr.Brown naik ke atas anjung bersama datuk. Saya bangun dan duduk bersila macam mereka. Mr.Brown membuka peta.

“Di sini, harta itu ada di sini,’ ujarnya dengan tenang sambil menandakan kawasan dalam peta dengan pensil merah. Datuk termenung panjang.

“Kawasan itu jauh, kalau silap masuk kita sesat dalam hutan,” tingkah datuk sambil memeluk lutut. Mr.Brown tersenyum. Dia melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya beberapa kali.

“Minggu dulu mandor saya pergi menembak ayam hutan, mereka jumpa kubur besar dalam hutan, macam kubur raja. Ada emas atas kubur, tapi mandor saya tidak berani ambil,” jelas Mr.Brown lagi,

“Saya dah minta kebenaran dari tuan OCPD untuk masuk kawasan itu dan membawa barang untuk meletupkan gua.”

Datuk terdiam. Saya mula resah. Saya tahu kawasan yang disebutkan oleh Mr.Brown itu, ialah kawasan kerajaan Melayu Bruas lama yang sekarang menjadi hutan belukar. Satu ketika dalu, pernah orang-orang kampung yang sesat dalam hutan kerana mencari rotan terjumpa kawasan istana lama, lengkap dengan taman bunga, rumah batu dan kawasan permakamam di raja. Bila orang itu pergi untuk kedua kalinya mencari kawasan tersebut. Kawasan itu tidak dijumpai lagi. Malah orang pergi itu, diserang demam panas berbulan-bulan lamanya. Menurut cerita arwah Haji Hamid, kawasan itu cukup keras, Mahkota, emas berlian dan pedang kebesaran raja-raja dahulu tertanam di situ. Orang-orang yang jujur dan ikhlas saja yang selalu terjumpa kawasan tersebut. Arwah Haji Hamid dua kali terjumpa kawasan tersebut. Anehnya, kalau sesiapa yang berniat mahu mencarinya, sampai kiamat tidak akan terjumpa.

“Saya sudah lama menyiasatnya, sejak saya datang.” Mr.Brown bersuara sambil melihat peta. Datuk terus tersenyum.

“Di kawasan ini, dulu ada kota kerajaan Gangga Negara,” Mr.Brown tanda peta dengan pensil merah.

“Dari sini, kita boleh pergi ke Padang Serai, dari situ kita pergi ke Segari. Tidak jauh dari situ ada kawasan kerajaan Manjong,” Mr.Broin berhenti menandakan peta dengan pensil merah. Saya gigit bibir. Datuk kelihatan tenang. Wajah Mr.Brown nampak cemas. Mata merenung ke peta kembali. Kemudian Mr.Brown bercerita tentang kerajaan Ganga Negara. Dia tahu semua kawasan dan wilayah kekuasaan kerajaan Gangga Negara.

“Dari mana awak tahu ?” Soal datuk.

“Di London, di sana semua fasal sejarah Malaya ada di muzium, saya datang ni bukan mahu jadi manager, tapi saya mahu siasat negeri awak.”

“Kalau dapat awak mahu buat apa ?”

“Barang-barangnya saya bawa ke London, kemudian saya tulis buku sejarah negeri awak,” ujar Mr.Brown dengan bangga. Kerana terlalu pandai Mr.Brown memujuk. Datuk mahu membantunya mencari kesan sejarah lama itu. Mr.Brown berjanji dengan datuk kalau mereka berjumpa dengan barang-barang purba. Dia tidak akan mengambilnya. Dia sekadar mahu melihat dan menyiasat serta mengambil gambar. Mr.Brown juga akan membawa barang makanan yang secukupnya selama penyiasatan itu diadakan. Selain daripada itu Mr.Brown akan membawa tiga orang pekerjanya untuk turut sama dalam rombongan itu. Dalam tilikan datuk, rombongannya akan bertemu dengan kawasan yang dihajati oleh Mr.Brown itu.

Akhirnya, rombongan itu berangkat ke tempat yang dituju. Saya cukup gembira, kerana saya tidak dikecualikan dari rombongan tersebut. Rombongan kami bertolak dari kawasan rumah datuk, kira-kira pukul enam pagi dengan sebuah jeep menuju ke sawasan pecah batu di Seputih. Dari situ berjalan kaki menuju ke tepi Sungai Bruas. Kami menaiki sebuah sampan kecil yang berbumbung. Sebelum itu, Mr.Brown dan datuk sudahpun pergi ke Kampung Kota melihat tulisan di batu nisan lama yang terdapat di situ. Menurut Mr.Brown, mencari kawasan lama itu lebih baik melalui sungai daripada mengikuti jalan darat. Ada dua sebab, kenapa Mr.Brown memilih ikut sungai, pertama mudah dan kedua orang-orang dahulu selalu membuka kawasan di tepi sungai.

Lama juga bersampan di Sungai Bruas. Akhirnya Mr.Brown menyuruh orang yang mendayung sampan rapat ke tepi. Dari situ mendaki satu kawasan bukit kecil. Kami berkhemah di situ. Dua hari kami di situ, masuk hari yang ketiga. Salah seorang daripada rombongan kami jatuh sakit. Dia menjerit tidak tentu arah. Bagaikan kemasukan hantu. Puas datuk mengubatnya. Sakitnya tidak juga mahu hilang. Matanya merah. Lidahnya sentiasa keluar. Mr.Brown mengambil keputusan untuk menghantar pulang dua orang pekerjanya itu. Sepeninggalan Mr.Brown, datuk dan saya hanya duduk di dalam khemah saja.

Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena. Macam-macam suara yang saya dengan. Datuk duduk di kanan saya, sekali-sekala, saya dengar datuk bercakap. Dengan siapa dia bercakap, saya tidak pasti. Tetapi suara orang yang dilawannya bercakap jelas kedengaran. Orang itu menyuruh datuk berpindah ke tempat lain, kerana kawasan yang diduduki sekarang kawasan larangan. Datuk berjanji dengan orang itu akan pindah pada pagi esok. Lepas itu, saya lihat datuk tidur dengan lena hingga ke pagi. Lebih kurang pukul sepuluh pagi Mr.Brown pun tiba. Dia membuka peta lagi. Mr.Brown sukat peta dengan kayu pembaris.

“Kita masuk ke dalam lagi,” katanya. Tanpa membantah datuk dan saya mengikut perintahnya. Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya di kawasan tersebut.
“Kita berada di kawasannya,” kata Mr.Brown pada datuk sambil membaca buku tebal yang dibawanya. Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. Matahari pun terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di situ. Airnya cukup jernih. Lepas sembahyang datuk dan Mr.Brown terus masak. Lepas makan Mr.Brown baca buku. Lampu gaslin yang terpasang dalam khemah cukup terang. Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. Saya mengantuk betul. Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang cantiknya tidak dapat saya lukiskan. Dia bagaikan gadis bangsawan duduk berjuntai kaki di balairong seri sambil membawa lagu-lagu Hindu dengan irama yang merdu dan halus. Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.

“Siapa namamu,” tanya saya. Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di rerumput yang menghijau di depan istana.

“Ke mana ?” soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon beringin rendang.

“Siapa namamu ?” ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.

“Dayang pada Tuan Puteri Zarid Gangga,” dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang. Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara. Sebaik saja sampai di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun. Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketul batu dan tanah yang dikutipnya. Datuk masih lagi mengadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan pada mereka apa yang saya alami dalam masa tidur tadi.

Pagi esoknya, kami mencapai kata sepakat untuk mengali tanah di bawah pohon beringin. Lima jam kami mengali tanah. Akhirnya kami menemukan sebuah peti besi yang dibuat dari logam kekuningan. Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana dalampeti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning. Malam pun tiba. Fatuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.

“Tengkorak ni tak ada apa-apa,” kata datuk pada Mr.Brown. Mr.Brown anggukkan kepala. Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam kelambu masing-masing. Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada tangan yang mengoyangkan bahu kanan saya. Yang pertama kali saya dengar, suara wanita menyanyi sayup-sayup di selang-seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang. Cuma yang kedengaran bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara burung tukang dan jampok bersahut-sahutan. Terfikir juga oleh saya untuk membangunkan Mr.Brown dan datuk. Bila saya kaji dalam-dalam, mereka tidak perlu dibangunkan.

Saya jatuhkan kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu. Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas. Saya membuat keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. Malam memang tidak berbintang, tetepi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang. Tiba-tiba saja hati saya membuat keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin. Saya masuk ke dalam belukar di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya suara wanita itu. Badan saya mengeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.

Saya membuat keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi tertumpu ke arah pohon beringin. Saya saksikan sebuah kepala bergolek-golek atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam sekejap mata wanita itu hilang. Kemudian berdiri betul di depan saya, Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mempu keluar dari kerongkong. Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon beringin hilir mudek di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui dalam mimpi saya yang lalu.

Kemudian wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan datuk. Lebih kurang lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke kolam tempat datuk mengambil air sembahyang. Bila wanita itu berdiri di depan kolam, dia terus menjerit. Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah, berguling-guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera ghaib. Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar suara jeritan gajah. Saya terdengar bunyi pedang belaga. Semuanya tidak kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami. Bila semuanya tidak kedengaran lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju dan kain. Lelaki hitam membalutkan tubuh wanita itu dengan jubah yang dipakainya. Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.

Sementara itu fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa lemah. Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.

“Kenapa begini,” tanya datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah. Saya mahu menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. Datuk kembali ke khemah mengambil kain hitam. Barulah saya boleh bergerak dan bersuara. Datuk memimpin saya ke khemah. Dia merunggut dan marahkan saya, kerana saya keluar tidak memberitahunya. Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning, hilang entah ke mana.

Datuk mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam. Mr.Brown tidak setuju , dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan, kemudian perut kolam itu digali. Datuk terima cadangan itu, kerana mengerinkan air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa jentera untuk mengeringkan air. Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja untuk mengeringkan kolam pun bermula. Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering. Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi. Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.

Datuk menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam zaman pemerintah Gangga Negara. Bila air kolam sudah kering betul. Datuk, Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situpun kami gali. Barang-barang yang kami temukan di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown. Dengan perintah datuk tulang-tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu lubang dekat pokok meranti. Pada sebelah malamnya, datuk membuat keputusan yang nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan itu.

“Ini merbahaya,” bantah Mr.Brown.

“Kalau awak mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya.” Suara datuk meninggi. Matanya mula merah.

“Ok saya ikut.”

“Begitulah.” Datuk pun ketawa berdekah-dekah.

Sepanjang malam di tepi kolam itu, datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, datuk bagaikan hulubalang kerajaan Melayu Melaka. Datuk terus membaca mentera di depan asap kemenyan. Sekali-sekala dia membuka silat. Tiba-tiba datuk diam. Matanya pejam. Badannya tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul-kepul naik ke udara. Datuk rebah di situ. Saya segera mahu menghampirinya.

“Jangan, dia menerima pertunjuk dari orang lain,” kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya. Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara burung hantu dan salakkan anjing serigala kedengaran sayup-sayup. Datuk melompat dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata: Seorang pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh hormat. Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. Dia telah menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran, badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin. Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana barang-barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian ditanam.”

“Di mana tempatnya tok, ” tanya saya tidak sabar.

“Sabar, esok saja aku ceritakan.” Suara datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke khemah semula.

Pagi esoknya, datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Bruas yang penuh dengan buaya liar ke sampai ke Tanjung Ara – dekat Pangkalan Bharu. Dari situ kami mendarat di satu kawasan berbukit. Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu penuh dengan batu-batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.

“Puteri itu telah membawa aku ke mari, ” kata datuk, “menurutnya Raja Gangga Negara, Shah Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran.” Datuk pun berhenti bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah-dekah. Barang yang dicari dan dihajati sudah ada didepan matanya.

Kawasan itu segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga dipuncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh datuk dari dijamah oleh sesiapapun. Kata datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja Gangga Negara.

Mr.Brown pun menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta-harta itu tertanam lebih kurang sepuluh meter ke dalam bumi. Bila dinamit yang dipasang itu meletup, boleh menolong melongsurkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.

Tepat pukul empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu-batu berterbangan, pokok-pokok habis tercabut. Tanah tinggi disitu kelihatan rata. Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus-putus ketawa. Bila ketawanya berhenti, Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar beratus-ratus ekor ular sebesar peha menyerang kami. Saya, datuk dan Mr.Brown lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua barang-barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown berdarah. Seluarnya habis koyak.

Kami menyusul tepi sungai Bruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudahpun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba-tiba tidak boleh bergerak. Air sungai melimpah dengan tiba-tiba. Tebingnya yang tinggi ditenggelami air. Datuk nampak cemas. Kemudian dia senyum dan berkata : “Kalau kami salah ampunkanlah.”

Sehabis sahaja datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki yang bertubuh besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak basah, mestipun ia baru timbul dari dasar sungai. Wajahnya kelihatan bengis. Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus berhadapan dengan orang itu.

“Awak mesti tahu, tidak seorangpun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu milik kami. Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang yang awak letupkan itu awak tangkap, ular-ular itu akan bertukar menjadi harta karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhinati kami,” lelaki bertubuh besar bersuara.

Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang

~bersambung~ 11. Menunggang Harimau Ditengah Malam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: